Monday, September 15, 2008

Home and away.








Make-up and hair by Ahmad Jamaluddin. Outfits by Louis Vuitton with the Damier Graphite Collection (released worldwide August 2008). Accessories also by Louis Vuitton (sunglasses, ring, watch and shoes.)

KTM kindly allowed us access to their properties and provided an exclusive train for the photo shoot.

The Eastern & Oriental Express kindly allowed us access to their interior cabins.

Thank you Louis Vuitton, KTM and Eastern & Oriental Express. For the cover story and more pictures, buy a copy of Metro Ahad on 28th September (the Sunday before Raya).

Sunday, September 14, 2008

Pengalaman pahit Nubhan


Oleh Wanda Idris
Foto Wahida Zainal



DIA mungkin tidak bergelar juara, hanya menduduki tempat ketiga pada pertandingan Akademi Fantasia musim ke-enam (AF6) lalu. Namun itulah merupakan satu-satunya pertandingan nyanyian yang dimasukinya dan berjaya pula ke tahap itu.

Lebih menarik, selepas keluar daripada akademi dan disunting menjadi artis Artistes United Records (AUR) dia mengecapi populariti mengalahkan juaranya, Stacy.

Tapi tahukah anda, Nubhan yang dikenali hari ini sebagai seorang penyanyi berbakat besar sebelum ini pernah melakukan pelbagai kerja.

Ini termasuklah mengutip telur ayam dan melakukan kerja kontrak untuk mencari duit poket bagi Nubhan meraikan sambutan Syawal.

“Itu antara kerja yang tak dapat saya lupakan. Ia bukan sahaja memenatkan malah saya pernah bekerja selama dua jam sahaja sebelum ‘cabut lari’,” kata Nubhan.

Menurut pemuda tinggi lampai yang mempunyai senyuman manis ini, dia bekerja kontrak selama hampir tiga minggu semata-mata untuk mencari wang poket semasa bulan Ramadan.

Dia melakukan pelbagai tugas termasuk membancuh simen dan mengecat rumah dengan bayaran upah sebanyak RM20 sehari.

“Punyalah penat. Bayangkan kerja kontrak dalam bulan puasa. Selain kerja kontrak, kerja kutip telur pun memeritkan. Kerja kutip telur saya lakukan selepas tamat persekolahan.

“Saya ikut kawan-kawan saya yang nak bekerja di ladang ternak ayam. Sudahlah busuk, rebannya pula panjang dan kita kena kutip sambil tundukkan badan. Kerja itu saya buat dua jam sahaja dan kemudian, saya dan kawan saya ‘lari,” ceritanya sambil ketawa.

Menurut Nubhan, selepas tamat persekolahan, banyak kerja lain yang dia lakukan termasuk bekerja membantu kakaknya di kantin sekolah. Dia juga pernah menjadi pembantu khidmat pelanggan di sebuah pasar raya sebelum bertukar kerja di sana sini termasuk di pusat tuisyen dan agensi pelancongan.

“Saya juga pernah cuba jadi pekerja pam minyak. Tapi selalunya semuanya tak bertahan. Masa itu budak-budak. Cuba cari kerja yang selesa dan selalunya sebulan dua sahaja saya kekal bekerja di satu-satu tempat,” katanya lagi.

Dan kerja terakhir yang dilakukan sebelum bergelar bintang AF adalah sebagai eksekutif di syarikat perbankan tetapi meletakkan jawatan selepas enam bulan bekerja semata-mata untuk menyertai AF6.

Nyata, pertaruhannya menjadi dan kini dia semakin dikenali walaupun bakatnya pernah diragui gara-gara suara ‘angsa’, gelaran yang diberikan pengetuanya, Ramli MS apabila nyanyiannya sumbang pada konsert mingguan.

Kini semakin popular dengan lagu hitsnya, Ada Untukmu, Nubhan mengakui menjadi artis merupakan kerjaya yang ingin dilakukan untuk masa depannya.

Justeru, kesempatan ditawarkan bernaung di bawah pengurusan Artistes United Records (AUR), milik Ning & Associates, sejak 16 Julai lalu, Nubhan mengakui tidak mahu mempersia-siakan peluang yang ada di depan mata.

“Ini peluang sekali seumur hidup. Bukan senang nak dapat dan bukan mudah pula memilih label terbaik.

“Tapi saya bertuah dan ia juga merupakan satu kepercayaan yang tidak boleh ditolak dan dipersia-siakan,” ujarnya.

Mahu mencontohi kejayaan bosnya, Ning baizura, Nubhan yang kini dalam proses pembikinan album perdananya mengakui bukan jalan mudah untuk bergelar artis popular.

Berjanji akan bekerja kuat untuk bergelar artis berwibawa, kini Nubhan juga sedang memantapkan skil vokal dan imejnya.

Kerana itulah, kata Nubhan, elaun yang diberikan selama tiga bulan terperap di akademi, digunakan untuk membina imej diri selain memberi sebahagian lagi kepada kedua-dua ibu bapa di kampung.

“Mungkin ketika ini saya masih belum begitu serius dalam kerja-kerja pembikinan album namun ketika inilah masa terbaik untuk menjalani latihan vokal dan persembahan.

“Ia menjadi aspek yang penting untuk menjadi artis yang berjaya seperti Kak Ning dan saya memang banyak belajar tentangnya daripada Kak Ning,” ujar Nubhan lagi.

Mengakui jalannya dalam bidang seni masih jauh, Nubhan juga bersedia melakukan beberapa perubahan terutama daripada segi sikapnya yang menjadi bualan ramai.

Dianggap tidak profesional, tidak peka pada majlis dan sebagainya adalah antara lontaran gosip yang kini mengena Nubhan.

Namun tidak mahu melatah, Nubhan mengakui, dia kini belajar untuk mengatasi sikap-sikap lurus bendulnya yang menjadi bualan ramai.

‘Blur’, menjadi antara perkataan yang dilontarkan kepada Nubhan dan tegas Nubhan, itulah perkara yang mahu dikikisnya apabila mula bergelar atas di pentas seni terbuka.

Mengakui tidak suka mengambil kisah hal sekelilingnya dengan alasan tidak mahu membebani otaknya dengan perkara remeh temeh, Nubhan akur bahawa untuk menjadi popular dan mengukuhkan nama di bidang seni perlu mengubah sikap yang satu ini.


Dipetik dari Pancaindera (Mingguan Malaysia)

Tuesday, September 2, 2008

Syahdu berbuka

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Tetap ligat ketika Ramadan: Puasa tak bataskan pergerakan Farah, Nubhan dan Aizat


RAMADAN datang lagi dan kali ini Hip dapat mengumpulkan tiga bintang comel, Farah, Aizat dan Nubhan yang dulunya bersaiz agak besar tetapi kini sudah langsing serta bergaya. Pada mulanya fokus Hip hanya pada isu itu tetapi akhirnya secara kebetulan, tanpa disedari mereka juga adalah anak seni yang mula melakar nama dalam program realiti nyanyian yang cukup popular iaitu Akademi Fantasia. Yang penting, mereka bertiga kurus secara sihat.

Di satu lokasi yang dirahsiakan, mereka dikumpulkan dalam suasana yang cukup gamat dan meriah. Mereka sama-sama berbuka puasa secara pot luck. Farah membawa ayam goreng kegemaran ramai, Kentucky Fried Chicken manakala Aizat pula membawa kuih karipap yang cukup enak hingga licin pinggan dihabiskan mereka. Nubhan pula tidak sempat membawa juadah berbuka gara-gara tersekat dengan kesesakan lalu lintas di jalan raya.

Tapi tidak mengapa, sikap profesional mereka memudahkan sesi fotografi berbuka puasa ini dijalankan kerana gelagat dan keletah masing-masing cukup menyeronokkan. Menurut Farah, biarpun dia jarang berjumpa dengan Aizat dan Nubhan, tetapi dia ternyata seronok dapat berbuka puasa bersama-sama. Kata Farah lagi, karipap yang dibawa Aizat memang sangat sedap. Tapi kalau Farah nak tahu, karipap itu Aizat beli khas untuk fotografi ini.


Kurus selepas lihat Rosma


FARAH memang antara bintang Akademi Fantasia musim kedua yang masih utuh meneruskan legasi seninya biarpun program realiti itu sudah bersiaran selama enam musim. Sepanjang hujung minggu di dalam bulan Ramadan ini, Farah, 23, sekali lagi terbabit bersama personaliti Astro dan bintang Akademi Fantasia dalam program Marhaban Di Astro.

“Selain itu, Farah akan berlakon drama untuk stesen radio ERA dengan beberapa orang pelakon termasuk Farish Aziz. Farah sudah selesai menjalani penggambaran tele filem yang judul sementaranya ialah Popular dan dijangka disiarkan selepas raya nanti.

“Julai lalu, Farah baru balik dari Taiwan untuk penggambaran program Rasa Halal Orient musim kedua yang akan disiarkan pada bulan puasa di Astro Oasis. Insya-Allah, kalau jadi raya kelapan nanti Farah akan ke Hong Kong pula untuk sambungan penggambaran program yang sama,” kata Farah yang masih setia menanti kemunculan album keduanya.

Berbanding Aizat dan Nubhan, Farah sebelum ini bukanlah dalam kategori berbadan yang sangat besar tetapi dianggap tembam. Motivasi untuknya tampil kurus datang dari dalam diri sendiri apabila melihat gadis lain boleh berpakaian cantik dan pandai melawa.

“Di awalnya Farah selalu membuat senaman di gim sambil mendapat bimbingan jurulatih peribadi. Tapi kini di atas kesibukan, Farah tidak mampu mengikut jadual untuk ke gim. Apabila Farah lihat orang lain yang kurus dan cantik, Farah mula bagi kata semangat kepada diri sendiri untuk menjadi seperti mereka. Sebagai contohnya, macam Farah tengok Rosma, dia boleh kurus sebab rajin buat senaman.

“Apa yang Farah nak tekankan kalau nak kurus sekalipun biarlah dalam keadaan sihat. Jangan paksa diri untuk berlapar takut memakan diri pula nanti. Sekarang ini, Farah belasah makan apa yang rasa teringin. Farah cuma jaga soal minuman saja dan jarang makan pada waktu malam,” kata Farah yang kini mempunyai berat badan ideal sebanyak 47 kg.


Tak dilayan kerana gemuk


AIZAT, 19, pula semakin meledak apabila lagu Hanya Kau Yang Mampu semakin menjadi perhatian dan siulan ramai. Aizat kini juga dalam perancangan untuk menghasilkan pembungkusan semula album sulungnya, Percubaan Pertama.

Kata Aizat, atas sebab tidak dapat menyertai pencalonan Anugerah Industri Muzik, Aizat ingin mencukupkan syarat dengan menambah dua lagi lagu. Ramadan ini selain mendapat undangan membuat persembahan di majlis berbuka puasa, Aizat akan cuba memastikan masanya bersama keluarga tetap ada.

“Insya-Allah kalau jadi, Aizat akan menyanyikan lagu tema untuk sebuah drama bagi slot Lagenda di TV3. Aizat juga sudah merakamkan dua lagu runut bunyi bagi filem Talentime arahan Yasmin Ahmad. Judul-judul lagu itu ialah I Go dan Just One Boys ciptaan sepenuhnya Pete Teo.

“Pada masa yang sama Aizat sudah mula belajar di ICOM, Setapak mulai 8 Ogos lalu. Aizat ambil bidang pra asas muzik,” kata Aizat yang berjaya mengurangkan berat badannya daripada 113 kg menjadi 78 kg.

Bulan puasa ini menjadi medan terbaik untuk mengurangkan berat badan tetapi perlu kena pada caranya, hal itu diakui sendiri Aizat. Tanpa berselindung, Aizat memberitahu dia pernah tidak dilayan, berdepan dengan diskriminasi yang tidak pernah dipinta.

“Pada kebiasaannya, saya akan berbuka dengan sekadar kurma, air kosong dan sembahyang maghrib. Selepas sembahyang, baru saya ambil makanan dalam kuantiti berat. Sebaik-baiknya selepas bersahur jangan tidur balik.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah rasa terpinggir sewaktu berbadan besar, kadang-kadang orang nak pandang sebelah mata pun tak ingin. Biarpun sudah kurus, saya rasa macam sama saja dan saya menghargai diri saya seadanya.

“Seboleh-bolehnya saya mahu penggemar muzik memberi fokus kepada lagu nyanyian saya berbanding soal wajah dan saiz saya kini. Jika dipuji yang positif, siapalah yang tak mahu. Itu satu nilai tambah untuk saya dan bagus untuk stamina saya di atas pentas termasuk aspek vokal,” ungkap Aizat.



Berat badan pernah cecah 100kg

MUNGKIN ada yang tidak sedar sebenarnya Nubhan, 22, pernah berbadan gempal hingga mencecah berat badan, 100 kg. Tapi kini, Nubhan sudah memiliki berat badan sebanyak 70 kg. Itu satu pencapaian hebat buat dirinya. Akui Nubhan, peluang berada jauh daripada keluarga kerana menuntut ilmu menjadi satu ruang untuk dirinya mengurangkan berat badan.

“Dua tahun saya belajar dalam sijil pelancongan dan duduk menyewa rumah di Ulu Selangor. Nak makan pun tak kedai jauh daripada rumah sewa. Jadi saya manfaatkan peluang ini untuk membuang lemak yang ada di badan. Bayangkan kalau saya ada di rumah, saya boleh melantak makan nasi sehingga lima kali. Tambah pula kalau ada masakan tempoyak, saya boleh jadi gila hingga tak ingat dunia.

“Cuma satu saja jangan tiru amalan saya apabila saya diet secara tidak seimbang dengan hanya memakan sayur saja, rambut saya mula gugur. Tapi kini, saya sudah mula mengambil makanan berkhasiat dan stabil. Saya tidak lagi pelahap seperti dulu,” kata Nubhan yang cukup meledak dengan lagu Ada Untukmu.

Kerjaya seninya kini semakin memuncak, apatah lagi sudah mula menyertai syarikat Ning Baizura, Artistes United Records selama tiga tahun. Kes Nubhan lebih kurang Dafi yang menyertai KRU Music biarpun masih di bawah naungan Maestro. Bulan Ramadan ini insya-Allah, Nubhan mula sibuk membikin album sulungnya.

“Saya bertuah dapat rezeki dilamar Ning Baizura kerana ini satu peluang untuk saya terus melangkah lebih jauh. Saya juga bersyukur lagu single, Ada Untukmu juga memberi impak yang cukup baik untuk saya memulakan pacuan seni. Lagu itu diiringi dengan lirik yang cukup puitis dan saya rasa amat senang dapat melantunkan lagu itu. Selain itu, saya juga terbabit mengalih suara satu watak untuk filem Teenage Mutant Ninja Turtles,” kata Nubhan yang mengatakan puasa adalah satu terapi terbaik untuk mengawal nafsu makan dan sebagainya.


Profil Farah AF2

* Nama sebenar: Farah Diana Anuar
* Nama komersial: Farah
* Umur: 23 tahun
* Tarikh lahir: 25 Januari 1985
* Tempat lahir: Kuala Lumpur
* Bilangan adik beradik: Anak ketiga daripada enam beradik
* Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk
* Album: Antara Dua dan 9 Langkah (belum lagi muncul)
* Drama: Akademi
* Filem: Man Laksa
* Pencapaian: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH05
* Laman web: www.farahfanclub.com
* Tagline di AF2: Breep breep
* Mekap Farah: E’sham (012-2869864)



Profil Aizat AF5

* Nama sebenar: Muhammad Aizat Amdan
* Nama komersial: Aizat
* Asal: Kuala Lumpur
* Umur: 19 Tahun
* Tarikh Lahir: 21 Januari 1989
* Kerjaya: Penyanyi & komposer
* Album: Percubaan Pertama
* Tagline di AF5: Kasi gegar
* Emel: run10_absolution@hotmail.com



Profil Nubhan AF6

* Nama sebenar: Ahmad Nubhan Ahamad
* Nama komersial: Nubhan
* Tarikh lahir: 2 April 1986
* Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
* Umur: 22 tahun
* Pencapaian: Tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam
* Emel: nubhanc@yahoo.com.my
* Tagline di AF6: Cayalah
* Laman web: www.cayalahnubies.com


Dipetik dari Berita Harian

Monday, September 1, 2008

Assalamualaikum Nubies.




Nubhan ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari dan memohon keampunan dan kemaafan daripada semua warga Nubies sekiranya ada salah dan silap, terkasar bahasa hingga menyinggung perasaan.

Harapan Nubhan, jalinan silaturrahim yang terbina antara kita semua tidak akan terputus begitu sahaja. Semoga Allah swt. mengampuni dosa kita dan senantiasa memberi rahmatNya kepada kita.

Akhir kata, semoga amal dan ibadah bulan yang mulia kita kali ini adalah yang terbaik dari yang terdahulu.

Selamat berpuasa.

Amin.