Oleh Normah Becok
HIP, Berita Harian
MEMANG boleh dikatakan rezeki berganda buat pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam, Nubhan. Cik Normah cakap begitu sebab selepas lagu nyanyiannya berjudul Ada Untukmu meledak hingga memanjat carta beberapa stesen radio di Malaysia, ada satu lagu lagi yang menggunakan judul Keajaiban Kelapan dikatakan bakal menyengat dan dimuatkan dalam album sulungnya.
Kedua-dua lagu itu ada kesinambungannya. Cuba perhatikan bait lirik puitis lagu Ada Untukmu yang berbunyi, “Akan ku kotakan janji kita, mendirikan Taj Mahal cinta, seteguh kasih Shah Jahan kepada Mumtaznya.”
Amboi! ‘feeling you’ lagu Ada Untukmu ini yang liriknya ditulis Abie Abdullah. Begitu juga dengan lirik lagu Keajaiban Kelapan yang menggunakan khidmat penulis lirik yang sama.
Cik Normah diberitahu Keajaiban Kelapan itu merujuk kepada kalimah dan kata azimat penuh makna iaitu cinta. Syahdu Cik Normah dengar, hingga terusiklah hati ini. Cik Normah juga insan yang sentiasa menghargai cinta dan sangat setia pada yang satu. Tugu cinta Cik Normah seteguh monumen bersejarah di Monas dan Lubang Buaya, Indonesia. Tiba-tiba pula Cik Normah teringatkan momen indah saat bercuti bersama rakan wartawan hiburan di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Amboi hebat sungguh ilham penulis lirik itu sehingga ingin mengabadikan cinta sebagai keajaiban kelapan selepas tujuh keajaiban (7 Wonders) di dunia yang kita sudah tahu. Kita tunggu sajalah perkembangan lagu itu tak lama lagi. Insya-Allah, kawan Cik Normah beritahu, pada Ramadan ini, Nubhan akan mula sibuk merakamkan album sulungnya bersama syarikat milik Ning Baizura, Artistes United Records.
Dipetik dari Berita Harian









