Friday, October 31, 2008

Nubhan rai peminat


Oleh Siti Nor 'Ain Mohd Zain
am@hmetro.com.my


Finalis Akademi Fantasia 6 (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan juga tidak ketinggalan meraikan peminatnya dengan mengadakan rumah terbuka di kampungnya di Kampung Tebing Tinggi, Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, 26 Oktober lalu.

Majlis dinamakan Ghayo Kek Kampung, nyata berjaya menarik peminatnya untuk bertemu dengan artis berusia 22 tahun yang kini popular dengan lagu Ada Untukmu.

Malah selepas mendapat tempat ketiga dalam AF6 Mei lalu, Nubhan sibuk memenuhi undangan menyanyi.

Rumah terbuka itu bukan saja menarik kedatangan peminat di dalam negara malah ada dari Brunei datang untuk bertentang mata dengannya.

Bukan sekadar datang untuk makan atau berhibur dengan nyanyiannya, peminat turut bergembira dengan sukaneka yang diadakan di halaman rumahnya.

Malah tanpa kerjasama kelab peminatnya iaitu Nubies, jamuan rumah terbuka Nubhan mungkin tidak semeriah itu.

Nubhan yang ditemui mengakui pada usia yang masih muda dalam bidang seni, sokongan peminat amat penting bagi memastikan kedudukannya di dunia hiburan.

"Selain keluarga, peminat banyak memberi semangat kepada saya malah umpama tulang belakang sejak saya berada dalam AF6 lagi," katanya.

Menurutnya, sejak keluar dari AF6, rezekinya dalam industri hiburan semakin bertambah, sekali gus membuatkan rutin hariannya semakin sibuk.

"Rumah terbuka inilah saya mendapat ruang beramah mesra dan menghiburkan peminat yang menyokong saya dalam industri hiburan.

"Saya terharu dengan sokongan dan bantuan diberikan kelab peminat. Tanpa mereka tidak mungkin majlis ini dapat dianjurkan dengan jayanya," kata Nubhan.

Bekas pekerja bank itu berkata, sejak menjadi penyanyi, hidupnya mengalami perubahan besar dengan jadual kerja padat dan dikenali ramai.

"Kini saya kena peka dengan penampilan diri kerana segala tingkah laku diperhatikan. Saya juga kena berfikir banyak kali sebelum melakukan sesuatu.

"Saya berjanji akan berusaha melakukan yang terbaik agar tidak menghampakan harapan peminat yang sentiasa menyokong saya," katanya.

Malah Nubhan juga tidak mudah melatah apabila digosipkan dengan juara AF6, Stacy kerana menganggap ia asam garam dunia seni.

"Saya mengakui hubungan kami berdua memang rapat sejak dalam AF6 lagi tetapi kami tidak lebih dari seorang kawan baik," katanya.

Nubhan berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album pertamanya bersama Artistes United Records Sdn Bhd (AURSB). Album itu dijangka siap hujung tahun ini dan memuatkan kira-kira 10 lagu.

"Saya berharap semuanya berjalan lancar dan album itu mendapat sambutan apabila dipasarkan nanti.

"Selain itu, saya juga sedang menimbang tawaran berlakon filem dengan memastikan skrip dan watak yang diberi bersesuaian agar saya dapat memberikan yang terbaik kepada semua pihak," katanya.


Dipetik dari Harian Metro

Wednesday, October 29, 2008

Kisah gemuk Aizat, diva Nubhan

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my



DUA nama ini boleh dilihat agak 'besar' sejak kebelakangan ini. Siapa yang tidak kenal dengan Nubhan dan Aizat, dua jejaka kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF).

Meskipun tidak bergelar juara, tuah mereka datang tatkala program itu berakhir. Jika tidak masakan, lagu-lagu dendangan mereka berdua juga dengan mudah mendapat tempat di hati peminat.

Kebetulan kedua-dua bekas bintang AF ini bertemu apabila sama-sama terlibat dalam konsert anjuran LFI Event & Entertainment di Papar Sabah dan peluang ini digunakan dengan menggandingkan mereka dalam sesi fotografi yang berlangsung di Borneo Dinawan Island Resort.

Mereka dilihat memiliki karakter yang cukup berbeza. Kalau Nubhan lebih banyak berdiam diri, Aizat pula lebih banyak berkata-kata dan sesekali memetik gitar kesayangannya yang diusung ke hulu-hilir tanpa disuruh.

Walaupun bukan daripada AF musim yang sama, mereka berdua mempunyai cerita yang cukup menarik untuk dicungkil sedalam-dalamnya.

Bedah untuk kurus?

Pelatun lagu popular, Sahabat, Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita ini semakin hari semakin diminati. Bukan saja dek lagu dendangannya yang mesra telinga tetapi juga perubahan imejnya daripada seorang remaja yang 'bulat' kepada seorang remaja yang semakin susut berat badannya.

Malah, penampilannya juga semakin menarik. Sesuai dengan lagu-lagu yang dibawakannya.

Sungguhpun Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan yang kini berusia 19 tahun, semakin diminati, ada juga cerita-cerita kurang enak tentang pengurangan berat badannya yang dulu pernah mencapai sehingga 120 kilogram.

Ada yang mengatakan dia mengambil jalan mudah dengan melakukan pembedahan dan ada juga yang mendakwanya mengambil bahan terlarang untuk kurus dalam kadar segera.

Aizat yang mendengar soalan panas Kosmo! ini hanya mampu tergelak besar sambil mengatakan dia bukan gila untuk merosakkan diri sendiri.

"Tidaklah, mana ada saya buat bedah-bedah tu semua. Sebenarnya saya lagi takut dengan pembedahan sebab boleh mati. Saya tidak sanggup dan tidak percaya pada benda yang senang.

"Semua benda yang kita inginkan haruslah disertakan dengan usaha kalau tidak pasti tidak dapat apa yang kita nak. Macam saya bersenam, kurangkan makan. Selain untuk kesihatan bila saya kurus, itu satu perkara yang bagus sebab itu saya ingin kekalkan,"ujar Aizat.

Dia yang tidak berkecil hati dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya menganggap ia adalah lumrah dunia seni, dan sejak dia terlibat dalam AF musim ke lima dia sudah pun bersedia daripada metal dan fizikal.

"Benda ini biasalah, bukan semua benda yang saya buat orang suka. Saya tidak kisah pun sebab saya tidak lakukan apa-apa kesalahan kecuali mengecilkan sikit saiz badan saya (ketawa).

"Saya tidak pernah menipu, apa saja yang saya buat biarlah keluarga yang tahu segalanya. Sekarang ini, saya selesa dan bahagia dengan diri saya yang baru," terang Aizat.

Bukan diva! - Nubhan

Akhir-akhir ini, banyak pihak yang menyentuh tentang perangai dan sikap Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 22, yang dikatakan sombong, berlagak diva dan susah bergaul dengan orang sekeliling.

Semua cerita negatif ini sedikit sebanyak telah mencalarkan kredibiliti Nubhan sebagai seorang penyanyi profesional. Dia yang tekun mendengar semua tohmahan itu hanya terdiam kaku.

"DUA remaja yang masih mencari rentak selesa dalam dunia muzik dan lagu yang menjadi minat mereka."


Kemudian dia menjawab: "Cerita saya berlagak diva atau sombong itu saya tidak tahu nak cakap macam mana lagi. Sebenarnya saya memang jenis orang yang tidak banyak bercakap.

"Lagipun saya ni artis baru, saya takut dan tidak tahu apa yang mahu diborakkan dengan orang sekeliling. Nanti kalau saya cakap benda yang salah nanti takut pula orang fikir yang bukan-bukan, bila saya diam orang kata saya sombong pula.

"Lepas ini saya akan belajar untuk bercakap banyak sikit . Saya akui selain masih gemuruh di pentas saya juga masih dalam proses belajar terutamanya bab berkomunikasi dengan orang ramai," terangnya sambil tertawa kecil.



Dia yang merupakan artis naungan Artistes United Records (AUR) juga didakwa kurang berdisiplin dek kerana gagal menghadiri satu sesi fotografi yang telah diaturkan untuk sebuah majalah.

Masalah timbul apabila dia seharusnya digandingkan dengan seorang selebriti wanita, dan setelah cuba dihubungi sepanjang hari tiada jawapan yang diterima baik daripada Nubhan mahupun pihak pengurusannya.

"Sebenarnya masa hari itu, saya pakai kad sim yang lain, jadi memang tidak dapatlah kalau orang hubungi saya, lagi pun masa itu saya langsung tidak diberitahu tentang sesi fotografi. Kalau saya tahu memang saya akan datang.

"Saya sedar tentang hal ini, pada tengah malam apabila saya tukar balik kad sim lama dan lihat banyak pesanan. Memang saya risau, pagi-pagi buta itu juga saya terus telefon pihak pengurusan dan bertanyakan hal ini.

"Memang salah kami sebab pihak pengurusan pun terlupa dan mereka sibuk ketika itu, apa pun saya minta maaf sangat-sangat kepada pihak berkenaan," ujarnya.

Tambah Nubhan lagi, sejak daripada peristiwa itu dia mendapat pengajaran baru iaitu dia sendiri akan periksa jadual hariannya bukan saja bergantung sepenuhnya kepada pihak pengurusan.

"Itu memang sepatutnya, saya sedar yang lepas ini saya kena lebih peka dengan jadual sendiri dan apa yang berlaku. Tidak terlalu mengharapkan pihak pengurusan. Apa saya berharap perkara seumpama ini tidak akan berulang," kata anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi.

Saling kagum

Walau cerita kurang enak menyelusuri perjalanan seni dua anak muda ini, tetapi mereka berdua menganggap ia sebagai satu dugaan yang harus ditempuh apabila tekad untuk berada dalam dunia hiburan.

Aizat yang kini dalam proses membuat lagu untuk pembungkusan semula album perdananya Percubaan Pertama, manakala Nubhan yang sedang dalam proses merakam lagu untuk album pertamanya memberitahu mereka saling kagum dengan bakat seni masing-masing.

"Sebagai seorang penyanyi, saya cukup kagum dengan Nubhan, sebab saya rasa lagu nyanyiannya Ada Untukmu sesuai dengan nada suaranya. Suara dan genre lagu kami agak berbeza tetapi kalau mahu berduet boleh saja tetapi mahu ke Nubhan nak berduet dengan saya (ketawa)," ujar Aizat.

Nubhan yang berada di sebelah hanya tersenyum dan berkata, kalau ada rezeki pastinya dia tidak akan menolak untuk berduet sama dengan rakannya itu.

"Boleh saja, tetapi sekarang ini album pertama pun saya tidak lepas lagi, tunggulah dulu. Saya boleh saja, sebab saya pun suka lagu-lagu Aizat.

"Kalau boleh saya pun mahu belajar untuk cipta lagu macam Aizat, sebab sebagai penyanyi kalau cipta lagu sendiri kita lagi tahu apa yang kita mahukan dalam sebuah lagu. Sekarang ini saya masih sibuk, kalau ada masa terluang saya akan cuba untuk buat lagu sendiri," luahnya yang boleh bermain gitar.

Sebelum mengakhiri bicara dua pemuda ini sempat berkongsi istilah muzik pada mereka berdua.

"Muzik satu seni yang tiada titik noktah, ia juga menyatukan manusia, dan jika sudah minat, selagi mampu kita pasti akan teruskan, bukan saja untuk diri tetapi untuk semua orang yang menghayati muzik," kata Aizat sambil diiakan Nubhan.


Dipetik dari Kosmo!

'Ghayo Kek Kampung'

Oleh Hussain Said

NUBHAN melayan tetamu yang datang ke rumah terbukanya.


Program istimewa sempena Syawal eratkan hubungan Nubhan dengan peminat, ahli keluarga

TANPA peminat siapalah saya! Jawapan itu adalah ungkapan klise yang sering kedengaran apabila seseorang artis menjawab pertanyaan wartawan mengenai sokongan peminat terhadap karier seni mereka.

Namun, tidak semua penyanyi baru sanggup berkorban untuk mendekati dan menghargai sokongan yang diberikan peminat kepada mereka selama ini dan hanya menjadi ungkapan itu hanya manis dan sekadar meniti dibibir saja. Tetapi tidak bagi Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan, 22.

Menyedari peminat adalah tulang belakang kepada karier seninya, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia Ke-6 itu mengambil keberkatan Syawal dengan mengadakan jamuan rumah terbuka khusus buat meraikan peminatnya, 26 Oktober lalu.

Program dinamakan 'Ghayo Kek Kampung' di kampungnya di Tebing Tinggi, Juasseh, Kuala Pilah itu bukan berjaya menarik kedatangan peminatnya bukan saja dalam negara tetapi ada yang sanggup datang dari Brunei untuk bertentang mata dengan penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu itu.

Peminat penyanyi bersuara gemersik itu jelas berpuashati dengan layanan yang diberikannya kerana mereka bukan setakat dijamu dengan pelbagai makanan yang lazat tetapi turut dihiburkan dengan beberapa lagu dan berpeluang berduet dengannya.

Menariknya, jamuan yang diadakan secara bergotong royong dengan ahli keluarga, kelab peminatnya, Nubhan FC dan penduduk kampung itu turut dimeriahkan dengan permainan sukaneka bagi merapatkan hubungannya dengan peminat.

Nubhan yang ditemui mengakui di usia yang muda dan masih setahun jagung dalam bidang seni, sokongan peminat amat penting bagi memastikan kelangsungan karier dan kedudukannya di persada seni hiburan terus mekar.

“Ini adalah kali kedua saya menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri, kali pertama pada 11 Syawal lalu membabitkan keluarga dan penduduk satu taman di Seremban tetapi kali ini saya menganjurkan di kampung halaman saya.

“Berbeza dan menariknya rumah terbuka kali ini kerana ia diadakan bagi menghargai keluarga, peminat dan penduduk kampung yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini.

“Jadi, inilah masa terbaik saya beramah mesra dengan mereka dan saya cukup seronok apabila ramai yang hadir dan bersama-sama menjayakan program ini,” katanya yang turut gembira dengan kehadiran rakannya di Akademi Fantasia 6, Toi dan Faizal.

NUBHAN kini tidak lagi bernaung di bawah syarikat milik Ning Baizura yang menguruskan kerjaya Nikki dan Yanie.


Rancak siapkan album sulung

Bercakap mengenai perkembangan terbarunya, Nubhan berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album pertamanya bersama Artistes United Records Sdn Bhd (AURSB) yang dijangka dipasarkan hujung tahun ini.

"Sepatutnya, rakaman album sudah siap pada Ramadan lalu tetapi kesakitan belakang yang dialami dan sibuk dengan pelbagai majlis dan rancangan untuk program hari raya, saya hanya sempat merakamkan dua tiga lagu.

"Bagaimanapun, saya akan menyambung proses rakaman selepas ini dan jika tidak ada aral melintang, Insya'Allah album saya akan berada di pasaran hujung tahun ini.

"Selain itu, saya juga sedang menimbang tawaran berlakon filem dengan memastikan skrip dan watak yang diberi bersesuaian agar saya dapat memberikan lakonan yang mantap untuk memuaskan hati semua pihak," katanya.

Nubhan juga yakin karier nyanyiannya tidak terjejas sekalipun Ning Baizura tidak lagi bersama AURSB selepas mengumumkan pembubaran syarikat pengurusannya, Ning & Associate Sdn Bhd (NASB) yang dikongsi bersama Vernon Kedit, baru-baru ini.

Bukan menjadi rahsia kejayaan dan kekuatan imej penyanyi bersuara soprano itu dalam persada seni suara menjadi antara faktor utama Nubhan menerima lamarannya untuk menyertai AURSB, anak syarikat NASB.

"Walaupun agak sedih tetapi saya perlu menghormati keputusannya. Perjuangan harus diteruskan kerana saya bernaung di bawah AURSB yang dikendalikan Vernon.

"Saya berharap sentuhan Vernon yang berjaya mengangkat dan menjadikan Ning Baizura sebagai bintang di persada seni suara, saya berharap sentuhan emasnya itu turut dapat membantu dan mengangkat nama saya pula," katanya.


Dipetik dari HIP, Berita Harian

Wednesday, October 22, 2008

Dengarnya... Nubhan berangan diva?


Oleh Normah Becok



CIK Normah simpati sangat dengan nasib kawan Cik Normah yang ditugaskan membuat sebuah liputan konsert di Sabah baru-baru ini. Macam-macam dugaan yang dihadapinya. Mujurlah dia kuat iman, hadapinya dengan penuh senyuman. Tapi dalam hati menggelegak siapa tahu kan.

Yang Cik Normah nak kongsi cerita bukan mengenai perjalanan konsert itu yang kucar kacir tapi mengenai seorang artis yang diundang membuat persembahan dalam konsert itu. Biarlah Cik Normah sebut namanya okey!. Nubhan yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Akademi Fantasia musim keenam.

Kebelakangan ini, ada saja kisah yang tak menarik kedengaran mengenainya. Termasuklah mengirimkan kad raya kosong tanpa tulisan. Ayoo... takkan nak tandatangan pun tak sempat adik oii. Cik Normah dengar ada di kalangan wartawan yang cuba menegur sikapnya supaya lebih terbuka dan matang. Yelah dah jadi artis kenalah bijak mengendali apa juga situasi.

Ketika di Sabah, kawan Cik Normah memerhati saja gelagat Nubhan. Dia lebih suka bersendirian dan tidak gemar bercampur dengan rakan artis. Ada kedengaran yang cakap dia sekarang ini sudah berangan ala-ala feeling diva ‘gitu’ sejak lagu dia berjudul Ada Untukmu meletup dan menyertai syarikat pengurusan artis popular lagi. Kawan Cik Normah puji lagi sikap artis lain macam Izwan Pilus, Farawahida, Fazli Zainal dan Aizat yang boleh masuk dengan semua orang.

Lucunya, kawan Cik Normah dengar sesuailah dia berangan sebab yang uruskan dia pun berangan juga. Cik Normah tak nak sebut siapa pengurusnya tapi tahulah siapakan. Cik Normah bukan nak menjatuhkan Nubhan mahupun sesiapa, coretan ini sekadar menegur supaya kembali berpijak kepada bumi nyata. Cik Normah lakukan ini sebab sayangkan Nubhan, jangan sampai dah terjatuh baru nak terngadah.

Cik Normah harap teguran ini diambil secara positif oleh pihak Nubhan. Kalau sebaliknya, ‘tak dapatlah den nak nolong’. Cik Normah pun tak sabar ni nak tunggu kesudahan kisah yang berlaku antara Ning Baizura dan Vernon. Khabarnya akan ada sidang media tak lama lagi, menjelaskan segala-galanya. Tunggu jer la.


Dipetik dari HIP, Berita Harian

Sunday, October 12, 2008

Nubhan & Stacy bercinta?


HELLO,

Saya ni minat sangat dengan si Nubhan dan Stacy AF6 tu. Stacy tu dah la comel dan suaranya memang 'power' dan tidak boleh disangkal lagi. Nubhan pula tinggi, kacak dan mempunyai suara yang begitu unik. Cuma saya ni nak tahu adakah mereka ini berpasangan? Mereka sering bergurau yang mereka ni konon-kononnya bercinta seperti dalam drama Ada Cinta Di Hari Raya yang mengisahkan percintaan mereka.

Semasa program Destinasi Fantasia di Gold Coast, yang disiarkan di Astro, saya tengok mereka sangat rapat macam sepasang kekasih. Sebab itu saya keliru adakah mereka ini bercinta?

Saya nak tahu sangat kerana saya ni memang peminat mereka. Kalau mereka ada hubungan saya lihat mereka memang secocok.

* Peminat yang keliru.


Dipetik dari Pancaindera