KL, 30 JAN 2009: Nak tergelak pun ada Murai Batu apabila mendengar bintang AF6, Nubhan akan dilelong. Yelah, selalunya artis lelong barang-barang terpakai yang menjadi milik peribadi tetapi ini tidak, tuan tubuh sendiri rela dilelong dan 'dikerjakan' peminatnya esok.
Idea ini sebenarnya datang daripada pengurus Nubhan sendiri, Vernon Kedit. Kata Vernon, selalunya orang nak lelong baju, gaun, kasut dan aksesori tetapi demi satu kelainan, dia mahu memberikan peluang kepada peminat Nubhan untuk 'membeli' Nubhan dengan harga paling tinggi.
Kemudian, untuk tempoh beberapa lama, mereka boleh membuat apa saja kepada Nubhan kecuali sesuatu perbuatan yang di luar batasan kemanusiaan atau dianggap melampau. Itulah komitmen Nubhan demi membantu Tabung NSTP Untuk Gaza.
"Sesiapa yang menawarkan Nubhan dengan 'harga' yang paling tinggi, dia akan mampu meluangkan masa bersama Nubhan untuk beberapa ketika pada satu tarikh yang sesuai kelak. Tapi janganlah suruh dia buat kerja-kerja yang berat atau 'mendera' Nubhan sebab dia pun baru pulih daripada sakit belakangnya.
"Pendek kata, kita boleh berbincang lebih lanjut tentang syarat-syarat yang ditetapkan dengan pihak yang menderma dan semua ini salah satu cara untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara Nubhan dengan peminatnya," kata Vernon yang tidak pernah kekeringan idea.
Acara lelong itu akan berlangsung esok, Sabtu, 31 Januari di Amcorp Mall, Petaling Jaya antara jam 10 pagi hingga 6 petang. Bagaimanapun kata Vernon pada hari itu, hanya gambar besar Nubhan yang menjadi pengganti diri untuk acara lelongan kerana kebetulan Nubhan berada di Kota Kinabalu untuk menjayakan konsert uji bakat Akademi Fantasia 7 (AF7).
Jadi bagi yang tiada agenda pada hari itu, mereka bolehlah datang ke Amcorp Mall pada hari itu untuk memeriahkan karnival kebajikan itu yang dianjurkan oleh NSTP dan Berita Harian itu. Jumpa di sana esok.
MURAI BATU: Bangga dengan semangat artis yang hendak membantu walaupun terkejut dengan sikap segelintir penghibur kaya raya yang tidak berminat menyokong kegiatan amal sebegini.
Sumber: Murai.com.my
No comments:
Post a Comment