Friday, October 31, 2008

Nubhan rai peminat


Oleh Siti Nor 'Ain Mohd Zain
am@hmetro.com.my


Finalis Akademi Fantasia 6 (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan juga tidak ketinggalan meraikan peminatnya dengan mengadakan rumah terbuka di kampungnya di Kampung Tebing Tinggi, Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, 26 Oktober lalu.

Majlis dinamakan Ghayo Kek Kampung, nyata berjaya menarik peminatnya untuk bertemu dengan artis berusia 22 tahun yang kini popular dengan lagu Ada Untukmu.

Malah selepas mendapat tempat ketiga dalam AF6 Mei lalu, Nubhan sibuk memenuhi undangan menyanyi.

Rumah terbuka itu bukan saja menarik kedatangan peminat di dalam negara malah ada dari Brunei datang untuk bertentang mata dengannya.

Bukan sekadar datang untuk makan atau berhibur dengan nyanyiannya, peminat turut bergembira dengan sukaneka yang diadakan di halaman rumahnya.

Malah tanpa kerjasama kelab peminatnya iaitu Nubies, jamuan rumah terbuka Nubhan mungkin tidak semeriah itu.

Nubhan yang ditemui mengakui pada usia yang masih muda dalam bidang seni, sokongan peminat amat penting bagi memastikan kedudukannya di dunia hiburan.

"Selain keluarga, peminat banyak memberi semangat kepada saya malah umpama tulang belakang sejak saya berada dalam AF6 lagi," katanya.

Menurutnya, sejak keluar dari AF6, rezekinya dalam industri hiburan semakin bertambah, sekali gus membuatkan rutin hariannya semakin sibuk.

"Rumah terbuka inilah saya mendapat ruang beramah mesra dan menghiburkan peminat yang menyokong saya dalam industri hiburan.

"Saya terharu dengan sokongan dan bantuan diberikan kelab peminat. Tanpa mereka tidak mungkin majlis ini dapat dianjurkan dengan jayanya," kata Nubhan.

Bekas pekerja bank itu berkata, sejak menjadi penyanyi, hidupnya mengalami perubahan besar dengan jadual kerja padat dan dikenali ramai.

"Kini saya kena peka dengan penampilan diri kerana segala tingkah laku diperhatikan. Saya juga kena berfikir banyak kali sebelum melakukan sesuatu.

"Saya berjanji akan berusaha melakukan yang terbaik agar tidak menghampakan harapan peminat yang sentiasa menyokong saya," katanya.

Malah Nubhan juga tidak mudah melatah apabila digosipkan dengan juara AF6, Stacy kerana menganggap ia asam garam dunia seni.

"Saya mengakui hubungan kami berdua memang rapat sejak dalam AF6 lagi tetapi kami tidak lebih dari seorang kawan baik," katanya.

Nubhan berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album pertamanya bersama Artistes United Records Sdn Bhd (AURSB). Album itu dijangka siap hujung tahun ini dan memuatkan kira-kira 10 lagu.

"Saya berharap semuanya berjalan lancar dan album itu mendapat sambutan apabila dipasarkan nanti.

"Selain itu, saya juga sedang menimbang tawaran berlakon filem dengan memastikan skrip dan watak yang diberi bersesuaian agar saya dapat memberikan yang terbaik kepada semua pihak," katanya.


Dipetik dari Harian Metro

Wednesday, October 29, 2008

Kisah gemuk Aizat, diva Nubhan

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my



DUA nama ini boleh dilihat agak 'besar' sejak kebelakangan ini. Siapa yang tidak kenal dengan Nubhan dan Aizat, dua jejaka kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF).

Meskipun tidak bergelar juara, tuah mereka datang tatkala program itu berakhir. Jika tidak masakan, lagu-lagu dendangan mereka berdua juga dengan mudah mendapat tempat di hati peminat.

Kebetulan kedua-dua bekas bintang AF ini bertemu apabila sama-sama terlibat dalam konsert anjuran LFI Event & Entertainment di Papar Sabah dan peluang ini digunakan dengan menggandingkan mereka dalam sesi fotografi yang berlangsung di Borneo Dinawan Island Resort.

Mereka dilihat memiliki karakter yang cukup berbeza. Kalau Nubhan lebih banyak berdiam diri, Aizat pula lebih banyak berkata-kata dan sesekali memetik gitar kesayangannya yang diusung ke hulu-hilir tanpa disuruh.

Walaupun bukan daripada AF musim yang sama, mereka berdua mempunyai cerita yang cukup menarik untuk dicungkil sedalam-dalamnya.

Bedah untuk kurus?

Pelatun lagu popular, Sahabat, Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita ini semakin hari semakin diminati. Bukan saja dek lagu dendangannya yang mesra telinga tetapi juga perubahan imejnya daripada seorang remaja yang 'bulat' kepada seorang remaja yang semakin susut berat badannya.

Malah, penampilannya juga semakin menarik. Sesuai dengan lagu-lagu yang dibawakannya.

Sungguhpun Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan yang kini berusia 19 tahun, semakin diminati, ada juga cerita-cerita kurang enak tentang pengurangan berat badannya yang dulu pernah mencapai sehingga 120 kilogram.

Ada yang mengatakan dia mengambil jalan mudah dengan melakukan pembedahan dan ada juga yang mendakwanya mengambil bahan terlarang untuk kurus dalam kadar segera.

Aizat yang mendengar soalan panas Kosmo! ini hanya mampu tergelak besar sambil mengatakan dia bukan gila untuk merosakkan diri sendiri.

"Tidaklah, mana ada saya buat bedah-bedah tu semua. Sebenarnya saya lagi takut dengan pembedahan sebab boleh mati. Saya tidak sanggup dan tidak percaya pada benda yang senang.

"Semua benda yang kita inginkan haruslah disertakan dengan usaha kalau tidak pasti tidak dapat apa yang kita nak. Macam saya bersenam, kurangkan makan. Selain untuk kesihatan bila saya kurus, itu satu perkara yang bagus sebab itu saya ingin kekalkan,"ujar Aizat.

Dia yang tidak berkecil hati dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya menganggap ia adalah lumrah dunia seni, dan sejak dia terlibat dalam AF musim ke lima dia sudah pun bersedia daripada metal dan fizikal.

"Benda ini biasalah, bukan semua benda yang saya buat orang suka. Saya tidak kisah pun sebab saya tidak lakukan apa-apa kesalahan kecuali mengecilkan sikit saiz badan saya (ketawa).

"Saya tidak pernah menipu, apa saja yang saya buat biarlah keluarga yang tahu segalanya. Sekarang ini, saya selesa dan bahagia dengan diri saya yang baru," terang Aizat.

Bukan diva! - Nubhan

Akhir-akhir ini, banyak pihak yang menyentuh tentang perangai dan sikap Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 22, yang dikatakan sombong, berlagak diva dan susah bergaul dengan orang sekeliling.

Semua cerita negatif ini sedikit sebanyak telah mencalarkan kredibiliti Nubhan sebagai seorang penyanyi profesional. Dia yang tekun mendengar semua tohmahan itu hanya terdiam kaku.

"DUA remaja yang masih mencari rentak selesa dalam dunia muzik dan lagu yang menjadi minat mereka."


Kemudian dia menjawab: "Cerita saya berlagak diva atau sombong itu saya tidak tahu nak cakap macam mana lagi. Sebenarnya saya memang jenis orang yang tidak banyak bercakap.

"Lagipun saya ni artis baru, saya takut dan tidak tahu apa yang mahu diborakkan dengan orang sekeliling. Nanti kalau saya cakap benda yang salah nanti takut pula orang fikir yang bukan-bukan, bila saya diam orang kata saya sombong pula.

"Lepas ini saya akan belajar untuk bercakap banyak sikit . Saya akui selain masih gemuruh di pentas saya juga masih dalam proses belajar terutamanya bab berkomunikasi dengan orang ramai," terangnya sambil tertawa kecil.



Dia yang merupakan artis naungan Artistes United Records (AUR) juga didakwa kurang berdisiplin dek kerana gagal menghadiri satu sesi fotografi yang telah diaturkan untuk sebuah majalah.

Masalah timbul apabila dia seharusnya digandingkan dengan seorang selebriti wanita, dan setelah cuba dihubungi sepanjang hari tiada jawapan yang diterima baik daripada Nubhan mahupun pihak pengurusannya.

"Sebenarnya masa hari itu, saya pakai kad sim yang lain, jadi memang tidak dapatlah kalau orang hubungi saya, lagi pun masa itu saya langsung tidak diberitahu tentang sesi fotografi. Kalau saya tahu memang saya akan datang.

"Saya sedar tentang hal ini, pada tengah malam apabila saya tukar balik kad sim lama dan lihat banyak pesanan. Memang saya risau, pagi-pagi buta itu juga saya terus telefon pihak pengurusan dan bertanyakan hal ini.

"Memang salah kami sebab pihak pengurusan pun terlupa dan mereka sibuk ketika itu, apa pun saya minta maaf sangat-sangat kepada pihak berkenaan," ujarnya.

Tambah Nubhan lagi, sejak daripada peristiwa itu dia mendapat pengajaran baru iaitu dia sendiri akan periksa jadual hariannya bukan saja bergantung sepenuhnya kepada pihak pengurusan.

"Itu memang sepatutnya, saya sedar yang lepas ini saya kena lebih peka dengan jadual sendiri dan apa yang berlaku. Tidak terlalu mengharapkan pihak pengurusan. Apa saya berharap perkara seumpama ini tidak akan berulang," kata anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi.

Saling kagum

Walau cerita kurang enak menyelusuri perjalanan seni dua anak muda ini, tetapi mereka berdua menganggap ia sebagai satu dugaan yang harus ditempuh apabila tekad untuk berada dalam dunia hiburan.

Aizat yang kini dalam proses membuat lagu untuk pembungkusan semula album perdananya Percubaan Pertama, manakala Nubhan yang sedang dalam proses merakam lagu untuk album pertamanya memberitahu mereka saling kagum dengan bakat seni masing-masing.

"Sebagai seorang penyanyi, saya cukup kagum dengan Nubhan, sebab saya rasa lagu nyanyiannya Ada Untukmu sesuai dengan nada suaranya. Suara dan genre lagu kami agak berbeza tetapi kalau mahu berduet boleh saja tetapi mahu ke Nubhan nak berduet dengan saya (ketawa)," ujar Aizat.

Nubhan yang berada di sebelah hanya tersenyum dan berkata, kalau ada rezeki pastinya dia tidak akan menolak untuk berduet sama dengan rakannya itu.

"Boleh saja, tetapi sekarang ini album pertama pun saya tidak lepas lagi, tunggulah dulu. Saya boleh saja, sebab saya pun suka lagu-lagu Aizat.

"Kalau boleh saya pun mahu belajar untuk cipta lagu macam Aizat, sebab sebagai penyanyi kalau cipta lagu sendiri kita lagi tahu apa yang kita mahukan dalam sebuah lagu. Sekarang ini saya masih sibuk, kalau ada masa terluang saya akan cuba untuk buat lagu sendiri," luahnya yang boleh bermain gitar.

Sebelum mengakhiri bicara dua pemuda ini sempat berkongsi istilah muzik pada mereka berdua.

"Muzik satu seni yang tiada titik noktah, ia juga menyatukan manusia, dan jika sudah minat, selagi mampu kita pasti akan teruskan, bukan saja untuk diri tetapi untuk semua orang yang menghayati muzik," kata Aizat sambil diiakan Nubhan.


Dipetik dari Kosmo!

'Ghayo Kek Kampung'

Oleh Hussain Said

NUBHAN melayan tetamu yang datang ke rumah terbukanya.


Program istimewa sempena Syawal eratkan hubungan Nubhan dengan peminat, ahli keluarga

TANPA peminat siapalah saya! Jawapan itu adalah ungkapan klise yang sering kedengaran apabila seseorang artis menjawab pertanyaan wartawan mengenai sokongan peminat terhadap karier seni mereka.

Namun, tidak semua penyanyi baru sanggup berkorban untuk mendekati dan menghargai sokongan yang diberikan peminat kepada mereka selama ini dan hanya menjadi ungkapan itu hanya manis dan sekadar meniti dibibir saja. Tetapi tidak bagi Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan, 22.

Menyedari peminat adalah tulang belakang kepada karier seninya, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia Ke-6 itu mengambil keberkatan Syawal dengan mengadakan jamuan rumah terbuka khusus buat meraikan peminatnya, 26 Oktober lalu.

Program dinamakan 'Ghayo Kek Kampung' di kampungnya di Tebing Tinggi, Juasseh, Kuala Pilah itu bukan berjaya menarik kedatangan peminatnya bukan saja dalam negara tetapi ada yang sanggup datang dari Brunei untuk bertentang mata dengan penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu itu.

Peminat penyanyi bersuara gemersik itu jelas berpuashati dengan layanan yang diberikannya kerana mereka bukan setakat dijamu dengan pelbagai makanan yang lazat tetapi turut dihiburkan dengan beberapa lagu dan berpeluang berduet dengannya.

Menariknya, jamuan yang diadakan secara bergotong royong dengan ahli keluarga, kelab peminatnya, Nubhan FC dan penduduk kampung itu turut dimeriahkan dengan permainan sukaneka bagi merapatkan hubungannya dengan peminat.

Nubhan yang ditemui mengakui di usia yang muda dan masih setahun jagung dalam bidang seni, sokongan peminat amat penting bagi memastikan kelangsungan karier dan kedudukannya di persada seni hiburan terus mekar.

“Ini adalah kali kedua saya menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri, kali pertama pada 11 Syawal lalu membabitkan keluarga dan penduduk satu taman di Seremban tetapi kali ini saya menganjurkan di kampung halaman saya.

“Berbeza dan menariknya rumah terbuka kali ini kerana ia diadakan bagi menghargai keluarga, peminat dan penduduk kampung yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini.

“Jadi, inilah masa terbaik saya beramah mesra dengan mereka dan saya cukup seronok apabila ramai yang hadir dan bersama-sama menjayakan program ini,” katanya yang turut gembira dengan kehadiran rakannya di Akademi Fantasia 6, Toi dan Faizal.

NUBHAN kini tidak lagi bernaung di bawah syarikat milik Ning Baizura yang menguruskan kerjaya Nikki dan Yanie.


Rancak siapkan album sulung

Bercakap mengenai perkembangan terbarunya, Nubhan berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album pertamanya bersama Artistes United Records Sdn Bhd (AURSB) yang dijangka dipasarkan hujung tahun ini.

"Sepatutnya, rakaman album sudah siap pada Ramadan lalu tetapi kesakitan belakang yang dialami dan sibuk dengan pelbagai majlis dan rancangan untuk program hari raya, saya hanya sempat merakamkan dua tiga lagu.

"Bagaimanapun, saya akan menyambung proses rakaman selepas ini dan jika tidak ada aral melintang, Insya'Allah album saya akan berada di pasaran hujung tahun ini.

"Selain itu, saya juga sedang menimbang tawaran berlakon filem dengan memastikan skrip dan watak yang diberi bersesuaian agar saya dapat memberikan lakonan yang mantap untuk memuaskan hati semua pihak," katanya.

Nubhan juga yakin karier nyanyiannya tidak terjejas sekalipun Ning Baizura tidak lagi bersama AURSB selepas mengumumkan pembubaran syarikat pengurusannya, Ning & Associate Sdn Bhd (NASB) yang dikongsi bersama Vernon Kedit, baru-baru ini.

Bukan menjadi rahsia kejayaan dan kekuatan imej penyanyi bersuara soprano itu dalam persada seni suara menjadi antara faktor utama Nubhan menerima lamarannya untuk menyertai AURSB, anak syarikat NASB.

"Walaupun agak sedih tetapi saya perlu menghormati keputusannya. Perjuangan harus diteruskan kerana saya bernaung di bawah AURSB yang dikendalikan Vernon.

"Saya berharap sentuhan Vernon yang berjaya mengangkat dan menjadikan Ning Baizura sebagai bintang di persada seni suara, saya berharap sentuhan emasnya itu turut dapat membantu dan mengangkat nama saya pula," katanya.


Dipetik dari HIP, Berita Harian

Wednesday, October 22, 2008

Dengarnya... Nubhan berangan diva?


Oleh Normah Becok



CIK Normah simpati sangat dengan nasib kawan Cik Normah yang ditugaskan membuat sebuah liputan konsert di Sabah baru-baru ini. Macam-macam dugaan yang dihadapinya. Mujurlah dia kuat iman, hadapinya dengan penuh senyuman. Tapi dalam hati menggelegak siapa tahu kan.

Yang Cik Normah nak kongsi cerita bukan mengenai perjalanan konsert itu yang kucar kacir tapi mengenai seorang artis yang diundang membuat persembahan dalam konsert itu. Biarlah Cik Normah sebut namanya okey!. Nubhan yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Akademi Fantasia musim keenam.

Kebelakangan ini, ada saja kisah yang tak menarik kedengaran mengenainya. Termasuklah mengirimkan kad raya kosong tanpa tulisan. Ayoo... takkan nak tandatangan pun tak sempat adik oii. Cik Normah dengar ada di kalangan wartawan yang cuba menegur sikapnya supaya lebih terbuka dan matang. Yelah dah jadi artis kenalah bijak mengendali apa juga situasi.

Ketika di Sabah, kawan Cik Normah memerhati saja gelagat Nubhan. Dia lebih suka bersendirian dan tidak gemar bercampur dengan rakan artis. Ada kedengaran yang cakap dia sekarang ini sudah berangan ala-ala feeling diva ‘gitu’ sejak lagu dia berjudul Ada Untukmu meletup dan menyertai syarikat pengurusan artis popular lagi. Kawan Cik Normah puji lagi sikap artis lain macam Izwan Pilus, Farawahida, Fazli Zainal dan Aizat yang boleh masuk dengan semua orang.

Lucunya, kawan Cik Normah dengar sesuailah dia berangan sebab yang uruskan dia pun berangan juga. Cik Normah tak nak sebut siapa pengurusnya tapi tahulah siapakan. Cik Normah bukan nak menjatuhkan Nubhan mahupun sesiapa, coretan ini sekadar menegur supaya kembali berpijak kepada bumi nyata. Cik Normah lakukan ini sebab sayangkan Nubhan, jangan sampai dah terjatuh baru nak terngadah.

Cik Normah harap teguran ini diambil secara positif oleh pihak Nubhan. Kalau sebaliknya, ‘tak dapatlah den nak nolong’. Cik Normah pun tak sabar ni nak tunggu kesudahan kisah yang berlaku antara Ning Baizura dan Vernon. Khabarnya akan ada sidang media tak lama lagi, menjelaskan segala-galanya. Tunggu jer la.


Dipetik dari HIP, Berita Harian

Sunday, October 12, 2008

Nubhan & Stacy bercinta?


HELLO,

Saya ni minat sangat dengan si Nubhan dan Stacy AF6 tu. Stacy tu dah la comel dan suaranya memang 'power' dan tidak boleh disangkal lagi. Nubhan pula tinggi, kacak dan mempunyai suara yang begitu unik. Cuma saya ni nak tahu adakah mereka ini berpasangan? Mereka sering bergurau yang mereka ni konon-kononnya bercinta seperti dalam drama Ada Cinta Di Hari Raya yang mengisahkan percintaan mereka.

Semasa program Destinasi Fantasia di Gold Coast, yang disiarkan di Astro, saya tengok mereka sangat rapat macam sepasang kekasih. Sebab itu saya keliru adakah mereka ini bercinta?

Saya nak tahu sangat kerana saya ni memang peminat mereka. Kalau mereka ada hubungan saya lihat mereka memang secocok.

* Peminat yang keliru.


Dipetik dari Pancaindera

Artis dan kad-kad Hari Raya


Oleh NIEZAM ABDULLAH

Bagaikan satu kemestian, setiap kali Hari Raya Aidilfitri, artis-artis kita tidak ketinggalan menyediakan kad ucapan Selamat Hari Raya untuk diberikan kepada mereka yang istimewa.

Selain peminat, kad yang ditempah khas itu tentu juga diberikan buat teman-teman wartawan. Pada tahun ini ramai artis sanggup memperuntukan masa menempah kad untuk insan yang mereka anggap istimewa itu.

Antara artis-artis yang mengirimkan kad raya seperti Amy Mastura, Deja Moss, Mila, Aizat, Riz, Nubhan, Faizal Ismail dan Izwan Pilus.

Tidak ketinggalan stesen radio dan televisyen yang menampilkan wajah personaliti mereka seperti Suria FM, Era FM dan Media Prima Berhad.

Datuk Siti Nurhaliza juga tidak melepaskan peluang mengabadikan kemeriahan Syawal dengan mengirimkan kad ucapan bersama artis dan petugas Siti Nurhaliza Production.

Sebelum ini antara artis yang dianggap paling istimewa kerana kad Hari Rayanya ditulis menggunakan tulisan tangan sendiri ialah Erra Fazira.

Mencari kelainan, setiap individu yang menerima kad daripada Erra akan membaca kata-kata dan ucapan yang berbeza. Tetapi pada tahun ini Erra tidak mengirimkan kadnya mungkin kerana kesibukan tetapi cukup ia diwakili oleh suaminya Engku Emran yang mengirimkan kad bagi pihak Erra.

Begitu juga Amy Mastura. Sejak bergelar artis, beliau tidak pernah lupa menempahkan kad khas sebagai tanda ingatannya untuk mereka yang banyak menyokong kerjaya beliau.

Dengan ucapan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin, Amy turut menitipkan kata-kata nasihat di dalam kadnya iaitu, “Sayangi jantungmu nikmati hidup” yang antara lain berkehendakkan kita menjaga kesihatan.

Bagi artis-artis baru, menghasilkan kadHari Raya adalah satu kepuasan kerana menganggap ia dapat menggembirakan hati penerimanya.

Izwan Pilus tempah 700 keping

Baru dua tahun bergelar artis, tahun ini merupakan kali pertama penyanyi Izwan Pilus mencetak kad ucapan Hari Rayanya sendiri.

Berlatarbelakangkan Masjid Wilayah Persekutuan, fotografi tersebut dilakukan ketika beliau menghadiri majlis perkahwinan Deja Moss dengan Fendy pada hujung Ogos lalu.

Menempah sebanyak 700 keping kad berbentuk poskad, Izwan memperuntukan kos sebanyak RM350 untuk diberikan kepada peminatnya.

“Ketika buat persembahan saya banyak terima kad-kad peminat dan saya kumpul semua kad mereka.

“Kedatangan Syawal ini saya ambil peluang membalas kad tersebut dengan mengirimkan kad ucapan daripada saya yang agak istimewa,” katanya.

Dapat harga murah – Mila

Berlatarbelakangkan warna merah jambu, tahun ini merupakan tahun kedua Mila menghasilkan kad ucapan selamat Hari Rayanya.

Mencetak sebanyak 500 keping Mila agak bertuah kerana pada tahun ini reka letak kad tersebut dihasilkan oleh peminatnya sendiri.

Dalam masa yang sama Mila dapat mencetak kad dengan harga murah iaitu 80 sen sekeping selepas berunding terus di tempat percetakan tanpa melalui orang tengah.

“Saya dapat buat kad dengan harga yang cukup murah kerana tak ada orang tengah. Kalau tak mesti mahal,” katanya.

Pada tahun lalu Mila memperuntukan sebanyak 1,000 keping kad tetapi pada tahun ini memadai 500 keping sahaja.

Fotografi untuk kad raya Mila tahun ini diambil selepas membuat rakaman rancangan Hari Raya di RTM pada bulan Ramadan lalu yang dirakamkan oleh seorang ahli kelab peminatnya.

Nubhan cari kelainan

Kali pertama menjadi artis, maka pertama kalilah penyanyi ini menghasilkan kad ucapan selamat Hari Rayanya. Menempah sebanyak 300 keping, urusan menghasilkan kad tersebut dilakukan oleh syarikat pengurusannya Artistes United Records.

Berbeza seperti kad-kad artis lain, Nubhan tidak berbaju Melayu sebaliknya mencari kelainan dengan memakai pakaian kasual berlatarbelakangkan stesen keretapi.

“Gambar ini diambil semasa saya mengadakan sesi fotografi Hari Raya dengan sebuah akhbar,” katanya.

Nak cari kelainan, sebab itulah saya tak pakai baju Melayu. Takut nanti sama macam orang lain pula,” katanya.

Akan mengadakan majlis jamuan raya di rumahnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 26 Oktober ini, Nubhan akan tetap memberikan kad-kad tersebut kepada peminat yang bakal berkunjung pada majlis itu nanti.

Ikut langkah artis senior – Riz

Melihat aris-artis senior lain menghasilkan kad ucapan Hari Raya, maka terbuka hati Riz untuk melakukan tindakan yang serupa.

Menghabiskan kira-kira RM350, Riz mencetak kira-kira 550 keping kad yang dibuat selepas berbincang dengan ahli kelab peminatnya.

Kad tersebut agak istimewa kerana gambarnya diambil ketika Riz menjalani penggambaran klip video di sebuah rumah kampung di Terengganu.

“Masa di rumah tu saya ambil kesempatan gunakan kamera saya untuk beraksi di beberapa sudut di rumah tersebut sebelum memilih gambar terbaik,” katanya.

Selain peminat dan wartawan, kata Riz kad tersebut turut dikirimkan kepada krew Astro yang sama-sama bekerja dengannya semasa di dalam Akademi Fantasia tak lama dulu.

Deja Moss tidak sempat tempah

Mungkin kerana kesibukan, pada tahun ini penyanyi Deja Moss hanya sempat membeli kad yang sudah siap untuk dikirimkan kepada rakan-rakannya.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini kad ucapan daripada Deja Moss tentu sekali akan menampilkan wajahnya sendiri.

Tetapi kali ini suaminya, Fendy hanya membelinya di kedai kerana kesuntukan masa untuk membuat tempahan seperti mana yang biasa dilakukan Deja.

“Tahun ni kami beli kad kira-kira 200 keping dengan bajet yang tidak sebesar mana pun,” kata Deja.

Cukup sekadar nama – Aizat

Tidak seperti artis baru lain yang menampilkan gambar tetapi Aizat mengambil langkah berbeza apabila dia hanya meletakkan namanya sahaja pada kad ucapan.

Nama yang tertera pada kad itu dilakarkan menjadi sebatang jalan raya berliku dengan sebuah kenderaan menuju ke kampung untuk pulang beraya.

Menggunakan wangnya sendiri, kad tersebut ditempah sebanyak 400 keping dengan harganya RM2 setiap satu.

Kata Aizat, memadai dia sekadar meletakkan nama tanpa ada gambarnya agar kad tersebut kelihatan lebih unik.

“Kad saya ringkas reka bentuknya tetapi ia menarik kerana lakarannya berbeza yang saya rasakan orang lain tak akan buat macam itu,” ujar beliau.


Dipetik dari Pancaindera

Wednesday, October 8, 2008

Cebisan Syawal Nubhan

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

NUBHAN kini mengalami transisi dalam hidup selepas bergelar artis.


AIDILFITRI 2008 yang disambut Rabu lalu nyata memperlihat detik manis buat Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih dikenali sebagai Nubhan.

Menyambut kehadiran lebaran sebagai anak seni buat pertama kali, pada pandangan mata kasar, ia sangat indah lalu sukar terucap dengan kata.

Apa tidaknya, transisi daripada seorang jejaka tipikal kampung yang tiada sesiapa kenal atau ambil peduli, sekarang Nubhan disanjungi, malah sosok tinggi lampai ini juga mulai dipuja peminat.

Berbicara lebih lanjut tentang cebisan Syawal ini, Nubhan mengaku cukup teruja berpeluang merayakan Hari Raya Aidilfitri sebagai artis buat julung kali dalam lipatan sejarah hidupnya.

"Perasaan seronok itu memang ada, tetapi saya lihat tiada sebarang yang istimewa ataupun indah untuk sambutan perayaan tahun ini.

"Persiapan raya dilakukan secara ala kadar sahaja, tanpa perlu berboros meskipun saya kini bergelar artis," ungkap Nubhan spontan, pantas naluri mudanya menghambur sikap merendah diri.

Gara-gara wajah manisnya mekar menghiasi kaca TV selama tiga bulan berturut-turut, nama Nubhan terus membasahi minda dan menjadi sebutan masyarakat.

Lalu, tidak hairanlah publisiti itu berhasil meletakkan empunya badan sebagai anak seni yang semakin meningkat popular setelah melangkah kaki keluar Akademi Fantasia 6 (AF6).

Set sofa untuk famili

Sudah menajdi lumrah, setiap anak mempunyai angan-angan mahu membahagiakan insan yang disayangi terutama ibu-bapa, yang sebelum ini bergolok-bergadai membesarkan mereka.

Anak muda berusia 22 tahun ini tidak terkecuali menanam impian sendiri, sama juga seperti anak-anak orang lain yang dilahirkan ke muka bumi ini.

Bibir nipisnya terus melantun baris ayat, menjelaskan setiap insan yang memegang status sebagai anak punya hasrat masing-masing.

"Kalau boleh saya hendak belikan mereka itu dan ini, termasuk rumah, kereta, meraikan ulang tahun perkahwinan mereka berdua dan bermacam lagi.

"Siapa saja tidak mahu menggembirakan hati kedua orang tua mereka, bukan?" ujar anak bongsu daripada lapan beradik ini dalam nada lembut.

Jejaka yang dilahirkan pada 2 April 1986 menghadiahkan set sofa buat keluarga di kampung setelah menerima gaji sebagai penyanyi.

"Pada bulan pertama, saya tidak dapat gaji lagi. Jadi saya terpaksa pendam niat untuk beli hadiah kepada mereka.

"Masuk bulan kedua, saya dapat gaji, tapi tidaklah banyak. Saya ambil keputusan untuk berikan mak dan ayah kerusi baru

"Mereka baru saja pindah rumah di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira lapan bulan lalu, jadi saya lihat pembelian perabot baru dapat mengisi ruang kosong dalam kediaman itu.

"Saya ajak keluarga pergi ke kedai dan cakap kepada mak untuk pilih mana satu sofa yang dia suka.

"Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada, saya lihat mak dan ayah seronok sangat apabila saya belikan mereka sofa baru," sahutnya jelas memperlihat riak gembira menerusi sinaran mata kuyunya.

TERUJA berhari raya sebagai artis pada Syawal kali ini.


Pertama kali beraya sebagai artis

Sesi fotografi di Pesta Taman, lokasi kediaman milik penulis novel terkenal Malaysia, Ahadiat Akashah di Gombak, Nubhan pantas menyelongkar bermacam kisah lebaran yang pernah dirai Nubhan sebelum ini.

Dengan pepohon hijau yang merimbun liar, sesekali terdengar jeritan nyaring sang cengkerik, menjadi saksi lantas melatari setiap bait bicara anak kelahiran Kuala Pilah ini.

Nubhan yang sebelum ini sarat sikap pemalu, bertukar sisi lain, kerap tertawa dan bercanda tatkala diminta berkongsi nostalgia sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tidak dinafikan, berbeza benar sambutan lebaran bagi Nubhan khususnya. Menjadi selebriti, selepas menjangkau usia 21 tahun bergelar orang kebanyakan, telah melontar dirinya untuk lebih bersedia pada Syawal ini.

Dia perlu bersedia dari pelbagai segi agar tiada kekurangan yang timbul saat menyambut tetamu datang berduyun-duyun kelak.

Ada sinar bahagia pada wajahnya apabila bercerita tentang kunjungan peminat yang beraya di terataknya kelak.

"Memang bahagia dan saya bersyukur kerana Tuhan melimpahkan rezeki sebegini kepada saya.

"Teruja rasanya menjalani pengalaman pertama berhari raya sebagai artis," tutur Nubhan sambil mengimbas perjalanan hidupnya yang berubah sekelip mata.

Justeru, sempena Aidilfitri tahun ini, dia sudah bersedia dengan bajet sendiri untuk disedekah kepada tetamu yang datang beraya.

"Saya mahu berkongsi rezeki yang Tuhan limpahkan pada saya," katanya yang pulang beraya di Juasseh.

Masih seperti tahun sebelum ini, Nubhan tidak ketinggalan mengagihkan sejumlah bajet untuk untuk diagihkan pada anak-anak saudara dan tetamu cilik.

Cuma tahun ini, nampaknya duit yang mengalir di koceknya lebih deras sejak memegang gelaran orang terkenal.

GLAMOR dalam busana raya bersama Yanie dan Nikki yang turut menjadi artis di bawah naugan syarikat milik Ning Baizura.


Dia hanya tersenyum saat soalan nakal tentang duit raya diajukan. Menyedut nafas dalam-dalam, Nubhan kemudian tersenyum dan bersuara.

"Sudah tentu saya keluarkan peruntukan untuk diberi kepada anak saudara seramai enam orang itu.

"Saya juga sediakan duit raya kepada peminat kecil yang datang ke rumah," jawab Nubhan yang hanya mengenakan sepasang baju Melayu untuk Syawal ini.

Rindu beraya dengan nenda

Mengenai saat yang paling dinanti setiap kali lebaran kata Nubhan, suasana malam raya begitu menggembirakan dirinya.

Kata Nubhan, sama seperti orang lain, dia sekeluarga bergotong-royong menyudahkan segala persiapan, bermula pembahagian tugas memasak hingga mengemas rumah.

"Biasanya tugas saya adalah memotong rumput di halaman rumah yang boleh tahan luasnya.

"Lepas itu, saya akan bakar rumput yang dipotong supaya laman kediaman saya kelihatan indah pada hari raya."

Ditanya tentang masakan tradisi keluarganya di pagi raya, kata Nubhan: "Biasanya saya dan seluruh keluarga makan rendang, nasi himpit, lemang dan ketupat.

"Tiada apa yang istimewa, sama saja macam makanan tempat lain."

Diberi kesempatan memberi ucapan raya, Nubhan menyusun sepuluh jari memohon keampunan kepada setiap individu yang mungkin tanpa silap, telah terguris hati dan perasaan dengan perilakunya.

"Pada kesempatan ini, saya ingin ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta maaf zahir dan batin.

"Kepada Nubbies dan peminat yang selama ini memberi sokongan, terima kasih banyak saya ucapkan.

"Jemput-jemputlah datang ke rumah Syawal ini," pesan Nubhan melabuh bicara.


Dipetik dari Kosmo!

Monday, September 29, 2008

Rindu orang kampung

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Tiga bintang Akademi Fantasia kongsi cerita sebelum fajar Syawal menjelma


DUA hari saja lagi, umat Islam bakal menyambut Aidilfitri dan ketika ini warga kota mula sibuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Balik kampung memang satu kemestian, apatah lagi raya hanya disambut sekali dalam setahun.

Inilah peluang terbaik untuk bersama-sama keluarga dan rakan taulan, menginsafi diri dan sama-sama memohon supaya ukhwah yang sedia terjalin terus bersemi.

Tika ini ada yang sudah berada di kampung halaman menghitung hari terbitnya fajar Syawal dan ada juga yang terpaksa berkorban atas komitmen kerja hingga tidak dapat beraya dengan keluarga. Kalau dapat cuti sekalipun, mungkin selepas berlalunya raya pertama.

Bagi sesetengah golongan selebriti seperti Farah, dia hanya akan bergegas pulang beraya hanya pada malam raya sejurus selepas program Sampaikan Raya di TV3 selesai.

Tahun ini genaplah empat tahun, Farah beraya sebagai artis dan Aizat pula baru dua tahun. Berlainan dengan Nubhan yang sangat teruja menyambut raya buat pertama kali setelah bergelar artis. Keriuhan dan kegamatan beraya serta momen perjalanan balik kampung buat mereka memberi tafsiran dan pengalaman berbeza.


DARI kiri, Aizat, Farah dan Nurbahan

Hip tampilkan gaya istimewa versi balik kampung, gandingan tiga bekas graduan Akademi Fantasia, Farah, Aizat dan Nubhan. Hujan rahmat jatuh ke bumi mengiringi perjalanan seakan merestui ‘percutian’ mereka menanti kehadiran Syawal kelak.

Di Hong Kong pada hari raya kelapan

BAGI Farah Diana Anuar yang cukup diingati dengan tagline breep breep sewaktu berada di Akademi Fantasia musim kedua seperti kebiasaan dia akan pulang beraya di Guar Cempedak dan Sungai Petani, Kedah. Farahlah yang sentiasa dinanti kehadirannya oleh sanak saudara di kampung.

Kata Farah, dia akan bertolak ke Hong Kong pada raya kelapan nanti kerana terbabit dengan rakaman program Rasa Halal Orient musim kedua di Astro Oasis. Sebagaimana manusia lain, Farah dan keluarganya pernah merasai nikmat keseronokan pulang beraya menaiki bas.

“Ingat lagi masa Farah belajar di sekolah rendah dan pulang beraya dengan keluarga menaiki bas. Sebelum senang sedikit sekarang, Farah pernah melalui kehidupan macam orang biasa. Seronok sebenarnya naik bas sebab dapat tengok gelagat orang di perhentian bas.

“Bayangkan kalau kami naik bas, suara adik beradik Farah yang bergema paling kuat mengalahkan penumpang lain. Lagak bising kami, macam bas itu milik bapa Farah,” kata Farah sambil menampakkan barisan giginya yang cantik.

“Jika dulu, Farah dan adik beradik lain akan sama-sama berlumba mengumpul duit raya kerana duit itu akhirnya akan digunakan kami semua untuk membeli keperluan sekolah. Apabila bergelar artis, saudara mara bertambah prihatin dekat Farah sebab nak ambil peluang beraya bersama dan berjumpa. Setiap tahun, Farah macam biasa akan peruntukkan duit untuk membuat persiapan raya dan duit raya. Pertambahan bajet raya, bergantung kepada rezeki Farah.

“Tiap-tiap tahun Farah memang akan merancang membuat rumah terbuka di Putrajaya. Selalunya peminat yang tahu rumah Farah akan datang beraya,” demikian ungkap Farah yang sepanjang Ramadan lalu muncul dalam drama radio, Macam-Macam Cinta di Hot FM dan mengikuti Marhaban Di Astro.

Tak sabar beraya dengan peminat

NUBHAN pula berasa teruja dan berdebar menanti saat menjelangnya lebaran buat pertama kali menyambutnya sebagai artis. Nubhan juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka untuk peminat, namun belum pasti bila waktunya.

Nubhan akan beraya di Juaseh, Negeri Sembilan bersama keluarganya dan persiapan raya untuk dirinya dan keluarga tidak dilupakan. Musim raya ini juga, Nubhan akan muncul dengan beberapa program raya di Astro.

“Tahun ini saya membantu keluarga membuat persiapan raya dan hiasan rumah. Bantulah apa yang patut. Saya tidak sabar untuk beraya dengan peminat. Saya tidak lupa memperuntukkan duit raya untuk anak saudara dan peminat kecil.

“Beraya di kampung berbeza di bandar kerana meriahnya lagi seronok. Sebelum ini saya memang tidak pernah gagal untuk beraya di kampung. Saya sudah biasa pulang beraya menaiki bas dan motosikal sewaktu zaman belajar dan bekerja sebelum ini. Masa raya inilah kita dapat berkumpul dengan keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.

“Jangan lupa untuk menonton lakonan saya di dalam telefilem Ada Cinta Di Hari Raya, Gold Coast Special dan Jangan Lupa Raya, Insya-Allah semuanya untuk siaran Astro Ria. Album sulung saya, insya-Allah akan menyusul tak lama lagi,” kata Nubhan yang menyertai syarikat Ning Baizura, Artistes United Records selama tiga tahun.

Giliran hulur duit raya

AIDILFITRI tahun ini pastinya berbeza diraikan Aizat kerana abangnya Amar sudah kembali menetap dan bekerja di Malaysia. Cuma abangnya, Anas akan beraya di Australia. Jika tahun lalu, Aizat masih menerima duit raya, nampak gayanya pada tahun ini, Aizat akan memberi duit raya pula kepada orang lain.

Menurut Aizat yang berat badannya turun empat kilogram (kg) lagi daripada 80 kg menjadi 76 kg, peluang pulang beraya di Raub, Pahang pastinya dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Pulang beraya ini ibaratnya pergi ke tempat yang tenang seketika daripada kesibukan kota dan komitmen kerja. Paling dihargai apabila dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga dan sanak saudara di musim raya. Peluang begini selalunya akan saya gunakan sepenuh hati. Tahun ini kami akan naik hanya sebuah kereta untuk pulang beraya kerana tahun-tahun sebelum ini, kami pernah konvoi bersama-sama keluarga.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, selepas seminggu beraya, Aizat akan mengadakan rumah terbuka, menjemput rakan media dan peminat. Aizat teringin sebenarnya merasai pengalaman membeli tiket raya dan menaiki bas, tapi Aizat sudah dilahirkan sebegini,” kata Aizat yang dilahirkan dalam keluarga yang agak berada. Insya-Allah, Aizat akan muncul dengan album pembungkusan semula, Percubaan Pertama yang mungkin memuatkan dua lagu bonus selain dua atau tiga klip video.

Aizat juga tengah mencipta lagu untuk Jaclyn Victor dan Shawal. Aizat juga akan menyanyikan sebuah lagu tema untuk drama arahan Isma Yusof tidak lama lagi.


PROFIL: Farah AF2

Nama sebenar: Farah Diana Anuar

Nama komersial: Farah

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 25 Januari 1985

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Bilangan adik beradik: Anak ketiga daripada enam beradik

Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk

Album: Antara Dua dan 9 Langkah (belum lagi muncul)

Drama: Akademi

Filem: Man Laksa

Pencapaian: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH05

Laman web: www.farahfanclub.com

Tagline di AF2: Breep breep

Mekap Farah: E'sham (012-2869864)


PROFIL: Aizat AF5

Nama sebenar: Muhammad Aizat Amdan

Nama komersial: Aizat

Asal: Kuala Lumpur

Umur: 19 Tahun

Tarikh Lahir: 21 Januari 1989

Kerjaya: Penyanyi & komposer

Album: Percubaan Pertama

Tagline di AF5: Kasi gegar

Emel: run10_absolution@hotmail.com


PROFIL: Nubhan AF6

Nama sebenar: Ahmad Nubhan Ahamad

Nama komersial: Nubhan

Tarikh lahir: 2 April 1986

Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Umur: 22 tahun

Pencapaian: Tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam

Emel: nubhanc@yahoo.com.my

Tagline di AF6: Cayalah

Laman web: www.cayalahnubies.com


Dipetik dari Berita Harian

Sunday, September 28, 2008

Glamor raya Nubhan


Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Biasanya dua tiga hari sebelum hari raya seperti hari ini, lelaki berusia 22 tahun ini sudah ada di kampung, sekurang-kurangnya untuk memasang pelita di halaman rumahnya di Juaseh, Kuala Pilah. Kata Nubhan, memasang pelita menjadi tradisi keluarganya.

Namun, kebiasaan itu terpaksa dilupakan kerana tuntutan tugas artis yang memerlukannya menjayakan beberapa program, termasuk rakaman telefilem Ada Cinta Di Hari Raya di Batu Kikir dan memenuhi undangan berbuka puasa bersama anak yatim.

“Kalau ikutkan hati, saya nak balik awal. Nak buat semua kerja persiapan raya macam dulu. Namun apa nak buat, ada kerja perlu dilunaskan. Nasib baik keluarga faham dan mereka tidak kisahpun,” katanya yang akan pulang ke kampung sehari sebelum raya.

Kebiasaan juga buat keluarga Nubhan, mereka akan merebus tulang lembu untuk dibuat sup ‘gear box’. Proses rebusan biasanya dimulakan sehari sebelum sambutan Aidilfitri. Begitu juga dengan ketupat dan lemang hasil air tangan ibunya yang menjadi kegemaran Nubhan.

“Sodap bang!” katanya dalam loghat Negeri Sembilan ketika ditemubual pada minggu kedua Ramadan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, insiden dimasukkan ke Hospital Seremban pada 19 September lalu, sekurang-kurangnya mempertemukan lelaki ini dengan ahli keluarganya. Kecederaan tulang belakang akibat kemalangan jalan raya ketika berusia lima tahun kembali lagi.

Semalaman dia ditahan di wad. Mulanya bimbang juga, tetapi menurut Nubhan, doktor memberitahu yang kecederaannya tidak kronik dan penyakit berkaitan tulang belakang selalu terjadi kepada sesiapa. Dia dikira bernasib baik kerana tidak serius hingga membabitkan pembedahan.

“Memang takut juga sebab sakitnya makin teruk. Tak sangka langsung sebab saya selalu berasa sakit belakang tetapi tidak sangka sampai masuk hospital. Saya ingatkan sakit macam biasa, jadi saya tidak peduli sangat dan bertahan kerana biasanya akan reda sekejap lagi.

“Sakit kali ini saya rasa sejak dua tiga bulan lalu, ia datang sekejap-sekejap. Sebab itu saya buat tak tahu hinggalah selesai penggambaran Ada Cinta Di Hari Raya di Batu Kikir,” katanya yang menjalani rawatan fisioterapi susulan tiga hari sekali sebanyak lima sesi.

Insiden itu membuatkannya lebih berhati-hati, memberi pengajaran kepadanya supaya tidak memandang ringan mengenai sakit atau kesihatan diri.

Buat masa ini juga Nubhan tidak dibenarkan mengangkat benda berat dan tidak boleh berdiri terlalu lama atau berjalan jauh.

Ketika berbuka puasa dengan anak yatim di Subang Jaya, Isnin lalu, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk menemani mereka membeli-belah kelengkapan raya. Memang terkilan tetapi kesihatan harus diutamakan, katanya.

Malah, ketika berpindah ke rumah sewa baru di Bukit Serdang minggu ini juga, Nubhan meminta rakan serumahnya, Naim, untuk mengangkat barang. Nasib baik Naim memahami.

Bagaimanapun, gambar yang dipaparkan untuk muka depan Selebriti Metro Ahad hari ini dirakam awal puasa lalu. Proses fotografi yang memakan masa hampir empat jam dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Louis Vuitton Sdn Bhd (LV) ini memberi satu lagi pengalaman berharga buat Nubhan sebagai artis.

Biarpun mengakui penat (termasuk berpuasa), penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu ini tidak sedikitpun merungut kerana dia tahu bukan mudah mencari yang terbaik.

“Saya puas hati dengan kerja-kerja fotografi. Sebagai artis, saya tidak perlu merungut kerana ia menjadi sebahagian daripada tugas saya. Masing-masing ada tanggungjawab, kalau saya penat, wartawan dan jurugambar juga penat.

“Masing-masing tahu tugas sendiri dan kita semua mahu mencari hasil yang terbaik. Saya bangga kerana fotografi ini mendapat kerjasama pihak yang besar iaitu KTMB dan LV,” katanya.

LV membawa Koleksi Lelaki Musim Luruh 2008 dengan himpunan beg Damier Graphite, cermin mata Metalised Mahina dan Grey Aviators, cincin Emprente dengan emas putih dan jam tangan Speedy dan Tambour.

Fotografi berkonsepkan balik kampung dengan glamor ini turut dibantu oleh kereta api mewah, Eastern & Oriental Express yang kebetulan ‘berlabuh’ sementara di stesen lama KTMB.

Kebetulan, kata Nubhan, dia jarang menaiki kereta api. Biasanya balik kampung hanya dengan kereta dan dulu menggunakan bas. Jadi pengalaman ini akan diingati.

“Mungkin satu hari nanti, mana tahu saya akan naiki kereta api juga untuk ke destinasi di seluruh Malaysia,” katanya ketawa.


Dipetik dari Metro Ahad

Thursday, September 25, 2008

Dengarnya... Nubhan baru pulih!


Oleh Normah Becok



CIK Normah tumpang gembira apabila Nubhan sudah beransur pulih daripada sakit selisih tulang belakangnya. Terkejut juga Cik Normah apabila dapat tahu bintang AF6 itu jatuh sakit.

Itulah, sakit tak mengenal tua atau muda, kalau sekali datang tak sempat bagi salam pun. Cik Normah pun ngeri apabila sebut bab sakit ini. Tetapi kita hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan. Nak tak nak, kita kenalah hadapi dugaan ini dengan kekuatan.

Sebenarnya Cik Normah dengar cerita daripada kawan Cik Normah seorang supermodel yang baru meningkat naik mengenai kisah Nubhan lagi. Tapi bukanlah mengenai kisah sakit yang dialami Nubhan itu, sebaliknya mengenai alkisah peminat Nubhan.

Gara-gara minat dekat Nubhan dan ditambah pula di bulan Ramadan yang berkat ini, peminatnya siap menamakan anak buahnya yang baru lahir sebagai Muhammad Nubhan Ramadhan.

Amboi, sampai ke tahap begitu sekali peminat Nubhan ye! Tak salah pun, tapi Cik Normah sudi kongsi dan siarkan di ruangan tersohor yang menjadi ikutan ramai pihak ini.

Apabila sebut bab anak ni, Cik Normah memang sensitif sebab almaklumlah Cik Normah belum dikurniakan anak. Cik Normah pun macam Dynas yang tak pernah putus berusaha dan mengharap supaya kehidupan kami nanti akan ceria dengan kehadiran anak. Insya-Allah. Doakanlah Cik Normah cepat dapat anak ye!


Dipetik dari Berita Harian

Wednesday, September 24, 2008

Soseh Soseh: Bintang realiti tak ingat lirik lagu

Tapi jika tidak ditegur, SS bimbang kerjaya seninya tidak ke mana kerana tenggelam dengan dunia glamor dan populariti.

Sebagai penyanyi, bagi SS dua perkara asas paling penting perlu dilakukan adalah menyanyi mengikut irama dan mengingati lirik. Tetapi jika salah satu perkara penting ini gagal dilaksanakan, bagaimana hendak menjadi penghibur yang baik?

Masalah lupa lirik di kalangan peserta bintang AF6 ini bukan baru. Sebelum ini ramai rakan media menegur Nubhan yang sering lupa lirik apabila menyanyi.

Terbaru seorang lagi rakannya, Lufya turut menghadapi masalah sama. Perkara berlaku ketika dia menghiburkan tetamu pada majlis pelancaran Zucchero Cafe milik pelakon dan pengacara AC Mizal.

SS difahamkan, sewaktu mendendangkan lagu Selamat Hari Raya, tiba-tiba dia lupa lirik. Bagi menghilangkan rasa panik, sempat juga Lufya bergurau dengan berkata melihat wajah tetamu membuatkan dia terus terlupa apa lirik seterusnya.

Bagaimanapun selepas dibantu pengacara majlis, dia masih gagal menyanyikan lagu itu sehingga ia tamat. Hairannya hendak kata lupa kerana sudah berusia, masalahnya umur mereka masih muda remaja. Album pun belum ada. Kalau sudah ada beratus katalog lagu perlu diingat, lainlah cerita.

Bayangkan apabila perkara seperti ini berlaku, apa perasaan pihak yang membayar mereka untuk menyanyi di majlis dianjurkan. Sudahlah buat kerja tidak betul tetapi mahu dibayar penuh.

Pada SS, kerja sebagai penyanyi ini tanggungjawabnya sama saja dengan profesion lain. Kalau tidak serius, kerja apa pun yang dilakukan tidak akan menjadi.

Apa yang SS kesalkan, mereka ini ada ramai peminat. Contohnya Nubhan yang menerima penghargaan tertinggi daripada peminat apabila namanya diabadikan kepada anak baru dilahirkan. Sampai begitu sekali mereka memandang tinggi kepada bintang AF6 ini.

Sayangnya perkara paling mudah iaitu mengingati lirik pun mereka tidak dapat lakukan dengan baik. Ia bukan untuk kepentingan sesiapa tetapi diri mereka sendiri. Alangkah kecewanya peminat apabila sedang leka melayani lagu dendangan mereka tiba-tiba terhenti kerana penyanyi lupa lirik. Hodohnya!


Dipetik dari Harian Metro

Dengarnya...Nubhan beransur pulih

Oleh Normah Becok

BEBERAPA hari saja lagi kita akan menyambut Aidilfitri. Cik Normah sudah buat persiapan tapi ala kadar saja sebab Cik Normah jenis orang yang tak suka membazir. Walaupun persiapan sederhana tapi tiap-tiap tahun hari raya Cik Normah tetap disambut dengan meriah.

Cuma Cik Normah kasihankan seorang pendatang baru iaitu bekas peserta program realiti berwajah Cina, siapa lagi kalau bukan si Nubhan. Pasti rayanya tidak berapa meriah tahun ini sebab Cik Normah dengar cerita, jejaka dari Negeri Sembilan itu kini sedang sakit. Kasihan Nubhan, muda-muda lagi dah sakit.

Cik Normah dengar Nubhan diserang penyakit selisih tulang belakang. Penyakit ini kalau tak silap Cik Normah bahaya juga. Tapi kepada peminat Nubhan, jangan bimbang sebab Nubhan sudah pun menjalani pembedahan dan dengar khabarnya dia sudah pun keluar hospital.

Khabarnya tulang belakangnya yang membengkak sudah kembali ke posisi normal. Baguslah sebab nanti susah pula Nubhan nak menyambut raya, maklumlah tahun inikan kali pertama Nubhan jadi penyanyi. Mesti ramai peminat yang nak datang ke rumahnya berhari raya. Kalau sakit, susahlah sikit nak layan peminatnya.

Peminat Nubhan terutama wanita jangan takut sebab Nubhan masih dibenarkan menyanyi cuma doktor tidak menggalakkan dia menari atau membuat pergerakan yang boleh menjejaskan kesihatannya. Tak silap Cik Normah juga, Nubhan perlu menjalani rawatan fisioterapi tiga hari sekali.

Cik Normah mendoakan supaya Nubhan cepat-cepatlah sembuh, tapi ingat sikit janganlah terlalu banyak bergerak. Nanti kalau penyakit itu berulang bukan ke susah? Bukan saja Nubhan yang susah, peminat wanitanya juga tentu susah hati sama!

Dipetik dari Berita Harian



Nubhan Beransur Pulih

JUMAAT lalu, penyanyi lepasan Akademi Fantasia yang popular yang lagu Ada Untukmu, Ahmad Nubhan Ahamad, 22 atau Nubhan dimasukkan ke Hospital Seremban, Negeri Sembilan kerana kecederaan belakang. Doktor mengesahkan dia mengalami selisih tulang belakang hingga mengakibatkan bengkak sekali gus memberi kesan kepada saraf kakinya.

Nubhan yang menderitai penyakit berkenaan sejak berusia lima tahun setelah mengalami kemalangan terpaksa ditahan selama seminggu bagi menjalani rawatan dan terapi. Menurut Nubhan, sakit belakang sudah lama tidak menyerangnya setelah dia menjalani pelbagai rawatan sejak di bangku sekolah rendah lagi namun ia kembali menyerang ketika dia menjalani penggambaran drama Ada Cinta Di Hari Raya di kampungnya di Juasseh, Negeri Sembilan minggu lalu.

Bagaimanapun Sabtu lalu, pengurus Nubhan iaitu Vernon memaklumkan berita gembira di dalam blognya, http://mrmanager.blogspot.com bahawa keadaan penyanyi itu sudah pun beransur pulih. Malah doktor pakar yang merawatnya juga dikatakan mengakui bahawa bengkak yang dialami Nubhan sudah surut manakala tulang belakangnya yang selisih juga sudah kembali ke tempat asal. Satu lagi khabar gembira buat peminat Nubhan ialah dia disahkan oleh doktor boleh membuat persembahan asalkan tidak melakukan pergerakan yang banyak.

Hasilnya, Nubhan sempat meluangkan masa untuk menjayakan program Marhaban Di Astro yang berlangsung di Jusco Bukit Tinggi, Klang pada Ahad lalu. Apa yang menyentuh hati Nubhan hingga dia hampir-hampir menitiskan air mata, para peminatnya yang dikenali sebagai ‘Nubies’ hadir dengan memakai baju oren tanda sokongan mereka kepadanya pada hari berkenaan.

Dipetik dari Sinar Harian



Nubhan lupa lirik lagi?

ADUH!!! Wahai adikku Nubhan, terkandas lagi ke? Bila Marilyn dapat tahu Nubhan lupa lirik lagi sekali, terkejut akak.

Maklumlah, sejak bernaung di bawah syarikat penyanyi popular, Ning Baizura, apa yang Marilyn nampak, Nubhan semakin maju dalam kariernya.

Tapi bila Marilyn dapat tahu daripada teman Marilyn yang Nubhan lupa lirik lagi ketika menyanyi lagu raya di majlis berbuka puasa anjuran Astro baru-baru ini, agak terbeliak la juga mata bundar Marilyn ni.

“Aduh, sayang bila Nubhan lupa lirik lagi. Teringat Nubhan masa awal-awal keluar dari Akademi Fantasia minggu keenam (AF6), dia tersalah lirik.

“Tapi Nubhan bukanlah macam dulu, lupa lirik terus cabut. Dia tetap habiskan nyanyian dia. Kira profesional la juga. Suara dia pun makin merdu,” kata teman Marilyn.

Tak apa, yang penting adik masih berani berdiri di atas pentas biarpun tersalah lirik. Itu satu tanda kemajuan, tahniah!

Dipetik dari Kosmo!

Tuesday, September 23, 2008

Very Important Nubie

Selamat sejahtera Nubies,

Kami telah bersepakat untuk menubuhkan satu kumpulan sokongan yang diberi nama Very Important Nubie atau panggilan singkatnya VIN.


Kenapa VIN ditubuhkan?

Nubhan FC adalah sebuah kelab yang besar yang mempunyai ahli berdaftar dengan website seramai hampir 3000 orang. Jika terdapat sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh Nubhan FC, pentadbiran kelab memerlukan lebih ramai tenaga manusia yang dapat menyumbang kepada kelancaran sesuatu aktiviti itu. Dengan erti kata lain, VIN akan bertindak sebagai pembantu kepada AJK yang sedia ada.


Apakah skop kerja VIN?

Seperti yang telah diterangkan diatas, skop kerja VIN termasuklah menolong AJK-AJK yang sedia ada jika terdapat sebarang aktiviti atau event. Selain itu, VIN yang menunjukkan komitmen yang bagus berpotensi untuk dilatih menjadi pelapis kepada AJK yang ada pada masa akan datang. VIN tidak akan terlibat dalam mesyuarat dan sebarang keputusan yang diambil oleh pentadbiran kelab dan AJK. Walau bagaimanapun, pentadbiran kelab yang mengamalkan dasar terbuka amat mengalu-alukan idea/pendapat/komen/cadangan yang dilontarkan oleh VIN. Bukan sahaja VIN malah semua Nubies juga.


Bagaimanakah untuk menjadi seorang VIN?

Perlantikan VIN akan dibuat oleh Nubhan dengan nasihat AJK-AJK tertinggi Nubhan FC. AJK-AJK tertinggi akan memerhatikan (observe) orang-orang yang dirasakan layak untuk dilantik sebagai VIN.


Kriteria VIN

1. Mestilah proaktif
2. Boleh memberi komitmen yang tinggi
3. Sanggup menyumbang dan berkorban dari segi tenaga dan masa
4. Creative, boleh bercakap (someone who can talk) dan boleh melontarkan pendapat dan idea
5. Team player (mempunyai semangat kerjasama yang baik)


Bilakah perlantikan VIN akan dibuat?

Perkara ini adalah on-going (berterusan). Mana-mana Nubies yang dirasakan layak akan dilantik dari semasa ke semasa.

Pada mereka yang berminat untuk menjadi seorang VIN, buktikan pada kami anda mampu dan layak. Peluang terbuka kepada semua.

(dipetik dari pengumuman Cik Presiden)


VINs (Very Important Nubie) as appointed by Nubhan yesterday, 22nd September, 2008, with immediate effect.

(in alphabetical order)


Male VINs:
  1. Ajoy
  2. Ajym
  3. Farell Ezal Carmillo
  4. Tokwan

Female VINs:
  1. YB Chieth
  2. Edna
  3. Fit
  4. Halle Braggs Red Cherry Nervous
  5. Harney
  6. Ilah
  7. Kikey
  8. KTCats
  9. Kyrun
  10. LadyM
  11. MissMulan
  12. Nord
  13. Thinnie
  14. Tweety Cute (not present at meeting)
  15. Tykah

  • VINs are not elected but appointed at the sole discretion of Nubhan as and when necessary upon the advice of the AJK and remain as VINs in perpetuity or until they resign or are incapacitated or terminated or elected to an AJK's post at an AGM.
  • VINs carry and uphold the good name of Nubhan and of the club.
  • The responsibilities of VINs are to support, assist and supplement the AJK in managing club matters and organising events.
  • VINs may be invited to attend AJK meetings as observers (pemerhati) but they do not exercise executive powers and do not have voting rights in an AJK meeting, though they may express their opinions.
  • VINs also act as the secondary tier level of the club's management after the AJK and may be co-opted as sub-committee members for sub-committees headed by AJKs.
  • When club members are gathered, in the absence of an AJK, a VIN is the most senior person present.
  • Upon the resignation of an AJK or when an AJK is incapacitated mid-term (excepting the posts of President, Vice-President, Secretary and Treasurer), a VIN may be appointed by Nubhan upon the advice of the Advisors (Penasihat) to fill the AJK's post for the duration of the term until the next AGM.
  • There is no limit to the number of VINs appointed.

Saturday, September 20, 2008

Nubhan dikejarkan ke hospital selepas alami kekejangan


Oleh Rudy Imran
Harian Metro


KUALA LUMPUR: Pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad, 22, atau Nubhan dikejarkan ke hospital kelmarin, selepas tidak mampu berjalan dan mengalami kekejangan berpanjangan.

Penyanyi yang kini sedang popular dengan lagu Ada Untukmu itu terpaksa ditahan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan bagi membolehkan doktor melakukan pemeriksaan lanjut.

Sewaktu dihubungi, Nubhan berkata, penyakit itu dideritai sejak berusia lima tahun selepas mengalami kemalangan.

“Ketika belajar di sekolah menengah penyakit yang saya alami beransur pulih selepas menjalani pelbagai rawatan.

“Bagaimanapun, kelmarin ia berlaku lagi dan kali ini keadaan lebih teruk apabila saya langsung tidak boleh berjalan.

“Kejadian berlaku sebaik saya selesai menjalani penggambaran Ada Cinta Di Hari Raya, di kampung kelahiran saya di Juasseh,” katanya.

Menurut Nubhan, doktor memberitahu dia mengalami selisih tulang belakang mengakibatkan ia membengkak dan memberi kesan kepada saraf terutama urat kaki.

“Syukur apabila doktor menerangkan ia tidak terlalu kronik sehingga boleh mengakibatkan lumpuh memandangkan saya muda dan tubuh masih kuat.

“Bagaimanapun saya perlu menjalani rawatan rapi dan melakukan fisioterapi sepanjang seminggu ditempatkan di hospital ini,” katanya.

Sementara itu pengurusnya, Vernon Kedit menjelaskan bagi membolehkan rawatan dilakukan dengan sempurna Nubhan tidak boleh menerima pelawat kecuali ahli keluarga rapat.

Segala aktivitinya sepanjang minggu ini sehingga Aidilfitri terpaksa dibatalkan.


Dipetik dari Harian Metro

Monday, September 15, 2008

Home and away.








Make-up and hair by Ahmad Jamaluddin. Outfits by Louis Vuitton with the Damier Graphite Collection (released worldwide August 2008). Accessories also by Louis Vuitton (sunglasses, ring, watch and shoes.)

KTM kindly allowed us access to their properties and provided an exclusive train for the photo shoot.

The Eastern & Oriental Express kindly allowed us access to their interior cabins.

Thank you Louis Vuitton, KTM and Eastern & Oriental Express. For the cover story and more pictures, buy a copy of Metro Ahad on 28th September (the Sunday before Raya).

Sunday, September 14, 2008

Pengalaman pahit Nubhan


Oleh Wanda Idris
Foto Wahida Zainal



DIA mungkin tidak bergelar juara, hanya menduduki tempat ketiga pada pertandingan Akademi Fantasia musim ke-enam (AF6) lalu. Namun itulah merupakan satu-satunya pertandingan nyanyian yang dimasukinya dan berjaya pula ke tahap itu.

Lebih menarik, selepas keluar daripada akademi dan disunting menjadi artis Artistes United Records (AUR) dia mengecapi populariti mengalahkan juaranya, Stacy.

Tapi tahukah anda, Nubhan yang dikenali hari ini sebagai seorang penyanyi berbakat besar sebelum ini pernah melakukan pelbagai kerja.

Ini termasuklah mengutip telur ayam dan melakukan kerja kontrak untuk mencari duit poket bagi Nubhan meraikan sambutan Syawal.

“Itu antara kerja yang tak dapat saya lupakan. Ia bukan sahaja memenatkan malah saya pernah bekerja selama dua jam sahaja sebelum ‘cabut lari’,” kata Nubhan.

Menurut pemuda tinggi lampai yang mempunyai senyuman manis ini, dia bekerja kontrak selama hampir tiga minggu semata-mata untuk mencari wang poket semasa bulan Ramadan.

Dia melakukan pelbagai tugas termasuk membancuh simen dan mengecat rumah dengan bayaran upah sebanyak RM20 sehari.

“Punyalah penat. Bayangkan kerja kontrak dalam bulan puasa. Selain kerja kontrak, kerja kutip telur pun memeritkan. Kerja kutip telur saya lakukan selepas tamat persekolahan.

“Saya ikut kawan-kawan saya yang nak bekerja di ladang ternak ayam. Sudahlah busuk, rebannya pula panjang dan kita kena kutip sambil tundukkan badan. Kerja itu saya buat dua jam sahaja dan kemudian, saya dan kawan saya ‘lari,” ceritanya sambil ketawa.

Menurut Nubhan, selepas tamat persekolahan, banyak kerja lain yang dia lakukan termasuk bekerja membantu kakaknya di kantin sekolah. Dia juga pernah menjadi pembantu khidmat pelanggan di sebuah pasar raya sebelum bertukar kerja di sana sini termasuk di pusat tuisyen dan agensi pelancongan.

“Saya juga pernah cuba jadi pekerja pam minyak. Tapi selalunya semuanya tak bertahan. Masa itu budak-budak. Cuba cari kerja yang selesa dan selalunya sebulan dua sahaja saya kekal bekerja di satu-satu tempat,” katanya lagi.

Dan kerja terakhir yang dilakukan sebelum bergelar bintang AF adalah sebagai eksekutif di syarikat perbankan tetapi meletakkan jawatan selepas enam bulan bekerja semata-mata untuk menyertai AF6.

Nyata, pertaruhannya menjadi dan kini dia semakin dikenali walaupun bakatnya pernah diragui gara-gara suara ‘angsa’, gelaran yang diberikan pengetuanya, Ramli MS apabila nyanyiannya sumbang pada konsert mingguan.

Kini semakin popular dengan lagu hitsnya, Ada Untukmu, Nubhan mengakui menjadi artis merupakan kerjaya yang ingin dilakukan untuk masa depannya.

Justeru, kesempatan ditawarkan bernaung di bawah pengurusan Artistes United Records (AUR), milik Ning & Associates, sejak 16 Julai lalu, Nubhan mengakui tidak mahu mempersia-siakan peluang yang ada di depan mata.

“Ini peluang sekali seumur hidup. Bukan senang nak dapat dan bukan mudah pula memilih label terbaik.

“Tapi saya bertuah dan ia juga merupakan satu kepercayaan yang tidak boleh ditolak dan dipersia-siakan,” ujarnya.

Mahu mencontohi kejayaan bosnya, Ning baizura, Nubhan yang kini dalam proses pembikinan album perdananya mengakui bukan jalan mudah untuk bergelar artis popular.

Berjanji akan bekerja kuat untuk bergelar artis berwibawa, kini Nubhan juga sedang memantapkan skil vokal dan imejnya.

Kerana itulah, kata Nubhan, elaun yang diberikan selama tiga bulan terperap di akademi, digunakan untuk membina imej diri selain memberi sebahagian lagi kepada kedua-dua ibu bapa di kampung.

“Mungkin ketika ini saya masih belum begitu serius dalam kerja-kerja pembikinan album namun ketika inilah masa terbaik untuk menjalani latihan vokal dan persembahan.

“Ia menjadi aspek yang penting untuk menjadi artis yang berjaya seperti Kak Ning dan saya memang banyak belajar tentangnya daripada Kak Ning,” ujar Nubhan lagi.

Mengakui jalannya dalam bidang seni masih jauh, Nubhan juga bersedia melakukan beberapa perubahan terutama daripada segi sikapnya yang menjadi bualan ramai.

Dianggap tidak profesional, tidak peka pada majlis dan sebagainya adalah antara lontaran gosip yang kini mengena Nubhan.

Namun tidak mahu melatah, Nubhan mengakui, dia kini belajar untuk mengatasi sikap-sikap lurus bendulnya yang menjadi bualan ramai.

‘Blur’, menjadi antara perkataan yang dilontarkan kepada Nubhan dan tegas Nubhan, itulah perkara yang mahu dikikisnya apabila mula bergelar atas di pentas seni terbuka.

Mengakui tidak suka mengambil kisah hal sekelilingnya dengan alasan tidak mahu membebani otaknya dengan perkara remeh temeh, Nubhan akur bahawa untuk menjadi popular dan mengukuhkan nama di bidang seni perlu mengubah sikap yang satu ini.


Dipetik dari Pancaindera (Mingguan Malaysia)

Tuesday, September 2, 2008

Syahdu berbuka

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Tetap ligat ketika Ramadan: Puasa tak bataskan pergerakan Farah, Nubhan dan Aizat


RAMADAN datang lagi dan kali ini Hip dapat mengumpulkan tiga bintang comel, Farah, Aizat dan Nubhan yang dulunya bersaiz agak besar tetapi kini sudah langsing serta bergaya. Pada mulanya fokus Hip hanya pada isu itu tetapi akhirnya secara kebetulan, tanpa disedari mereka juga adalah anak seni yang mula melakar nama dalam program realiti nyanyian yang cukup popular iaitu Akademi Fantasia. Yang penting, mereka bertiga kurus secara sihat.

Di satu lokasi yang dirahsiakan, mereka dikumpulkan dalam suasana yang cukup gamat dan meriah. Mereka sama-sama berbuka puasa secara pot luck. Farah membawa ayam goreng kegemaran ramai, Kentucky Fried Chicken manakala Aizat pula membawa kuih karipap yang cukup enak hingga licin pinggan dihabiskan mereka. Nubhan pula tidak sempat membawa juadah berbuka gara-gara tersekat dengan kesesakan lalu lintas di jalan raya.

Tapi tidak mengapa, sikap profesional mereka memudahkan sesi fotografi berbuka puasa ini dijalankan kerana gelagat dan keletah masing-masing cukup menyeronokkan. Menurut Farah, biarpun dia jarang berjumpa dengan Aizat dan Nubhan, tetapi dia ternyata seronok dapat berbuka puasa bersama-sama. Kata Farah lagi, karipap yang dibawa Aizat memang sangat sedap. Tapi kalau Farah nak tahu, karipap itu Aizat beli khas untuk fotografi ini.


Kurus selepas lihat Rosma


FARAH memang antara bintang Akademi Fantasia musim kedua yang masih utuh meneruskan legasi seninya biarpun program realiti itu sudah bersiaran selama enam musim. Sepanjang hujung minggu di dalam bulan Ramadan ini, Farah, 23, sekali lagi terbabit bersama personaliti Astro dan bintang Akademi Fantasia dalam program Marhaban Di Astro.

“Selain itu, Farah akan berlakon drama untuk stesen radio ERA dengan beberapa orang pelakon termasuk Farish Aziz. Farah sudah selesai menjalani penggambaran tele filem yang judul sementaranya ialah Popular dan dijangka disiarkan selepas raya nanti.

“Julai lalu, Farah baru balik dari Taiwan untuk penggambaran program Rasa Halal Orient musim kedua yang akan disiarkan pada bulan puasa di Astro Oasis. Insya-Allah, kalau jadi raya kelapan nanti Farah akan ke Hong Kong pula untuk sambungan penggambaran program yang sama,” kata Farah yang masih setia menanti kemunculan album keduanya.

Berbanding Aizat dan Nubhan, Farah sebelum ini bukanlah dalam kategori berbadan yang sangat besar tetapi dianggap tembam. Motivasi untuknya tampil kurus datang dari dalam diri sendiri apabila melihat gadis lain boleh berpakaian cantik dan pandai melawa.

“Di awalnya Farah selalu membuat senaman di gim sambil mendapat bimbingan jurulatih peribadi. Tapi kini di atas kesibukan, Farah tidak mampu mengikut jadual untuk ke gim. Apabila Farah lihat orang lain yang kurus dan cantik, Farah mula bagi kata semangat kepada diri sendiri untuk menjadi seperti mereka. Sebagai contohnya, macam Farah tengok Rosma, dia boleh kurus sebab rajin buat senaman.

“Apa yang Farah nak tekankan kalau nak kurus sekalipun biarlah dalam keadaan sihat. Jangan paksa diri untuk berlapar takut memakan diri pula nanti. Sekarang ini, Farah belasah makan apa yang rasa teringin. Farah cuma jaga soal minuman saja dan jarang makan pada waktu malam,” kata Farah yang kini mempunyai berat badan ideal sebanyak 47 kg.


Tak dilayan kerana gemuk


AIZAT, 19, pula semakin meledak apabila lagu Hanya Kau Yang Mampu semakin menjadi perhatian dan siulan ramai. Aizat kini juga dalam perancangan untuk menghasilkan pembungkusan semula album sulungnya, Percubaan Pertama.

Kata Aizat, atas sebab tidak dapat menyertai pencalonan Anugerah Industri Muzik, Aizat ingin mencukupkan syarat dengan menambah dua lagi lagu. Ramadan ini selain mendapat undangan membuat persembahan di majlis berbuka puasa, Aizat akan cuba memastikan masanya bersama keluarga tetap ada.

“Insya-Allah kalau jadi, Aizat akan menyanyikan lagu tema untuk sebuah drama bagi slot Lagenda di TV3. Aizat juga sudah merakamkan dua lagu runut bunyi bagi filem Talentime arahan Yasmin Ahmad. Judul-judul lagu itu ialah I Go dan Just One Boys ciptaan sepenuhnya Pete Teo.

“Pada masa yang sama Aizat sudah mula belajar di ICOM, Setapak mulai 8 Ogos lalu. Aizat ambil bidang pra asas muzik,” kata Aizat yang berjaya mengurangkan berat badannya daripada 113 kg menjadi 78 kg.

Bulan puasa ini menjadi medan terbaik untuk mengurangkan berat badan tetapi perlu kena pada caranya, hal itu diakui sendiri Aizat. Tanpa berselindung, Aizat memberitahu dia pernah tidak dilayan, berdepan dengan diskriminasi yang tidak pernah dipinta.

“Pada kebiasaannya, saya akan berbuka dengan sekadar kurma, air kosong dan sembahyang maghrib. Selepas sembahyang, baru saya ambil makanan dalam kuantiti berat. Sebaik-baiknya selepas bersahur jangan tidur balik.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah rasa terpinggir sewaktu berbadan besar, kadang-kadang orang nak pandang sebelah mata pun tak ingin. Biarpun sudah kurus, saya rasa macam sama saja dan saya menghargai diri saya seadanya.

“Seboleh-bolehnya saya mahu penggemar muzik memberi fokus kepada lagu nyanyian saya berbanding soal wajah dan saiz saya kini. Jika dipuji yang positif, siapalah yang tak mahu. Itu satu nilai tambah untuk saya dan bagus untuk stamina saya di atas pentas termasuk aspek vokal,” ungkap Aizat.



Berat badan pernah cecah 100kg

MUNGKIN ada yang tidak sedar sebenarnya Nubhan, 22, pernah berbadan gempal hingga mencecah berat badan, 100 kg. Tapi kini, Nubhan sudah memiliki berat badan sebanyak 70 kg. Itu satu pencapaian hebat buat dirinya. Akui Nubhan, peluang berada jauh daripada keluarga kerana menuntut ilmu menjadi satu ruang untuk dirinya mengurangkan berat badan.

“Dua tahun saya belajar dalam sijil pelancongan dan duduk menyewa rumah di Ulu Selangor. Nak makan pun tak kedai jauh daripada rumah sewa. Jadi saya manfaatkan peluang ini untuk membuang lemak yang ada di badan. Bayangkan kalau saya ada di rumah, saya boleh melantak makan nasi sehingga lima kali. Tambah pula kalau ada masakan tempoyak, saya boleh jadi gila hingga tak ingat dunia.

“Cuma satu saja jangan tiru amalan saya apabila saya diet secara tidak seimbang dengan hanya memakan sayur saja, rambut saya mula gugur. Tapi kini, saya sudah mula mengambil makanan berkhasiat dan stabil. Saya tidak lagi pelahap seperti dulu,” kata Nubhan yang cukup meledak dengan lagu Ada Untukmu.

Kerjaya seninya kini semakin memuncak, apatah lagi sudah mula menyertai syarikat Ning Baizura, Artistes United Records selama tiga tahun. Kes Nubhan lebih kurang Dafi yang menyertai KRU Music biarpun masih di bawah naungan Maestro. Bulan Ramadan ini insya-Allah, Nubhan mula sibuk membikin album sulungnya.

“Saya bertuah dapat rezeki dilamar Ning Baizura kerana ini satu peluang untuk saya terus melangkah lebih jauh. Saya juga bersyukur lagu single, Ada Untukmu juga memberi impak yang cukup baik untuk saya memulakan pacuan seni. Lagu itu diiringi dengan lirik yang cukup puitis dan saya rasa amat senang dapat melantunkan lagu itu. Selain itu, saya juga terbabit mengalih suara satu watak untuk filem Teenage Mutant Ninja Turtles,” kata Nubhan yang mengatakan puasa adalah satu terapi terbaik untuk mengawal nafsu makan dan sebagainya.


Profil Farah AF2

* Nama sebenar: Farah Diana Anuar
* Nama komersial: Farah
* Umur: 23 tahun
* Tarikh lahir: 25 Januari 1985
* Tempat lahir: Kuala Lumpur
* Bilangan adik beradik: Anak ketiga daripada enam beradik
* Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk
* Album: Antara Dua dan 9 Langkah (belum lagi muncul)
* Drama: Akademi
* Filem: Man Laksa
* Pencapaian: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH05
* Laman web: www.farahfanclub.com
* Tagline di AF2: Breep breep
* Mekap Farah: E’sham (012-2869864)



Profil Aizat AF5

* Nama sebenar: Muhammad Aizat Amdan
* Nama komersial: Aizat
* Asal: Kuala Lumpur
* Umur: 19 Tahun
* Tarikh Lahir: 21 Januari 1989
* Kerjaya: Penyanyi & komposer
* Album: Percubaan Pertama
* Tagline di AF5: Kasi gegar
* Emel: run10_absolution@hotmail.com



Profil Nubhan AF6

* Nama sebenar: Ahmad Nubhan Ahamad
* Nama komersial: Nubhan
* Tarikh lahir: 2 April 1986
* Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
* Umur: 22 tahun
* Pencapaian: Tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam
* Emel: nubhanc@yahoo.com.my
* Tagline di AF6: Cayalah
* Laman web: www.cayalahnubies.com


Dipetik dari Berita Harian

Monday, September 1, 2008

Assalamualaikum Nubies.




Nubhan ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari dan memohon keampunan dan kemaafan daripada semua warga Nubies sekiranya ada salah dan silap, terkasar bahasa hingga menyinggung perasaan.

Harapan Nubhan, jalinan silaturrahim yang terbina antara kita semua tidak akan terputus begitu sahaja. Semoga Allah swt. mengampuni dosa kita dan senantiasa memberi rahmatNya kepada kita.

Akhir kata, semoga amal dan ibadah bulan yang mulia kita kali ini adalah yang terbaik dari yang terdahulu.

Selamat berpuasa.

Amin.