Monday, September 29, 2008

Rindu orang kampung

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Tiga bintang Akademi Fantasia kongsi cerita sebelum fajar Syawal menjelma


DUA hari saja lagi, umat Islam bakal menyambut Aidilfitri dan ketika ini warga kota mula sibuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Balik kampung memang satu kemestian, apatah lagi raya hanya disambut sekali dalam setahun.

Inilah peluang terbaik untuk bersama-sama keluarga dan rakan taulan, menginsafi diri dan sama-sama memohon supaya ukhwah yang sedia terjalin terus bersemi.

Tika ini ada yang sudah berada di kampung halaman menghitung hari terbitnya fajar Syawal dan ada juga yang terpaksa berkorban atas komitmen kerja hingga tidak dapat beraya dengan keluarga. Kalau dapat cuti sekalipun, mungkin selepas berlalunya raya pertama.

Bagi sesetengah golongan selebriti seperti Farah, dia hanya akan bergegas pulang beraya hanya pada malam raya sejurus selepas program Sampaikan Raya di TV3 selesai.

Tahun ini genaplah empat tahun, Farah beraya sebagai artis dan Aizat pula baru dua tahun. Berlainan dengan Nubhan yang sangat teruja menyambut raya buat pertama kali setelah bergelar artis. Keriuhan dan kegamatan beraya serta momen perjalanan balik kampung buat mereka memberi tafsiran dan pengalaman berbeza.


DARI kiri, Aizat, Farah dan Nurbahan

Hip tampilkan gaya istimewa versi balik kampung, gandingan tiga bekas graduan Akademi Fantasia, Farah, Aizat dan Nubhan. Hujan rahmat jatuh ke bumi mengiringi perjalanan seakan merestui ‘percutian’ mereka menanti kehadiran Syawal kelak.

Di Hong Kong pada hari raya kelapan

BAGI Farah Diana Anuar yang cukup diingati dengan tagline breep breep sewaktu berada di Akademi Fantasia musim kedua seperti kebiasaan dia akan pulang beraya di Guar Cempedak dan Sungai Petani, Kedah. Farahlah yang sentiasa dinanti kehadirannya oleh sanak saudara di kampung.

Kata Farah, dia akan bertolak ke Hong Kong pada raya kelapan nanti kerana terbabit dengan rakaman program Rasa Halal Orient musim kedua di Astro Oasis. Sebagaimana manusia lain, Farah dan keluarganya pernah merasai nikmat keseronokan pulang beraya menaiki bas.

“Ingat lagi masa Farah belajar di sekolah rendah dan pulang beraya dengan keluarga menaiki bas. Sebelum senang sedikit sekarang, Farah pernah melalui kehidupan macam orang biasa. Seronok sebenarnya naik bas sebab dapat tengok gelagat orang di perhentian bas.

“Bayangkan kalau kami naik bas, suara adik beradik Farah yang bergema paling kuat mengalahkan penumpang lain. Lagak bising kami, macam bas itu milik bapa Farah,” kata Farah sambil menampakkan barisan giginya yang cantik.

“Jika dulu, Farah dan adik beradik lain akan sama-sama berlumba mengumpul duit raya kerana duit itu akhirnya akan digunakan kami semua untuk membeli keperluan sekolah. Apabila bergelar artis, saudara mara bertambah prihatin dekat Farah sebab nak ambil peluang beraya bersama dan berjumpa. Setiap tahun, Farah macam biasa akan peruntukkan duit untuk membuat persiapan raya dan duit raya. Pertambahan bajet raya, bergantung kepada rezeki Farah.

“Tiap-tiap tahun Farah memang akan merancang membuat rumah terbuka di Putrajaya. Selalunya peminat yang tahu rumah Farah akan datang beraya,” demikian ungkap Farah yang sepanjang Ramadan lalu muncul dalam drama radio, Macam-Macam Cinta di Hot FM dan mengikuti Marhaban Di Astro.

Tak sabar beraya dengan peminat

NUBHAN pula berasa teruja dan berdebar menanti saat menjelangnya lebaran buat pertama kali menyambutnya sebagai artis. Nubhan juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka untuk peminat, namun belum pasti bila waktunya.

Nubhan akan beraya di Juaseh, Negeri Sembilan bersama keluarganya dan persiapan raya untuk dirinya dan keluarga tidak dilupakan. Musim raya ini juga, Nubhan akan muncul dengan beberapa program raya di Astro.

“Tahun ini saya membantu keluarga membuat persiapan raya dan hiasan rumah. Bantulah apa yang patut. Saya tidak sabar untuk beraya dengan peminat. Saya tidak lupa memperuntukkan duit raya untuk anak saudara dan peminat kecil.

“Beraya di kampung berbeza di bandar kerana meriahnya lagi seronok. Sebelum ini saya memang tidak pernah gagal untuk beraya di kampung. Saya sudah biasa pulang beraya menaiki bas dan motosikal sewaktu zaman belajar dan bekerja sebelum ini. Masa raya inilah kita dapat berkumpul dengan keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.

“Jangan lupa untuk menonton lakonan saya di dalam telefilem Ada Cinta Di Hari Raya, Gold Coast Special dan Jangan Lupa Raya, Insya-Allah semuanya untuk siaran Astro Ria. Album sulung saya, insya-Allah akan menyusul tak lama lagi,” kata Nubhan yang menyertai syarikat Ning Baizura, Artistes United Records selama tiga tahun.

Giliran hulur duit raya

AIDILFITRI tahun ini pastinya berbeza diraikan Aizat kerana abangnya Amar sudah kembali menetap dan bekerja di Malaysia. Cuma abangnya, Anas akan beraya di Australia. Jika tahun lalu, Aizat masih menerima duit raya, nampak gayanya pada tahun ini, Aizat akan memberi duit raya pula kepada orang lain.

Menurut Aizat yang berat badannya turun empat kilogram (kg) lagi daripada 80 kg menjadi 76 kg, peluang pulang beraya di Raub, Pahang pastinya dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Pulang beraya ini ibaratnya pergi ke tempat yang tenang seketika daripada kesibukan kota dan komitmen kerja. Paling dihargai apabila dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga dan sanak saudara di musim raya. Peluang begini selalunya akan saya gunakan sepenuh hati. Tahun ini kami akan naik hanya sebuah kereta untuk pulang beraya kerana tahun-tahun sebelum ini, kami pernah konvoi bersama-sama keluarga.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, selepas seminggu beraya, Aizat akan mengadakan rumah terbuka, menjemput rakan media dan peminat. Aizat teringin sebenarnya merasai pengalaman membeli tiket raya dan menaiki bas, tapi Aizat sudah dilahirkan sebegini,” kata Aizat yang dilahirkan dalam keluarga yang agak berada. Insya-Allah, Aizat akan muncul dengan album pembungkusan semula, Percubaan Pertama yang mungkin memuatkan dua lagu bonus selain dua atau tiga klip video.

Aizat juga tengah mencipta lagu untuk Jaclyn Victor dan Shawal. Aizat juga akan menyanyikan sebuah lagu tema untuk drama arahan Isma Yusof tidak lama lagi.


PROFIL: Farah AF2

Nama sebenar: Farah Diana Anuar

Nama komersial: Farah

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 25 Januari 1985

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Bilangan adik beradik: Anak ketiga daripada enam beradik

Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk

Album: Antara Dua dan 9 Langkah (belum lagi muncul)

Drama: Akademi

Filem: Man Laksa

Pencapaian: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH05

Laman web: www.farahfanclub.com

Tagline di AF2: Breep breep

Mekap Farah: E'sham (012-2869864)


PROFIL: Aizat AF5

Nama sebenar: Muhammad Aizat Amdan

Nama komersial: Aizat

Asal: Kuala Lumpur

Umur: 19 Tahun

Tarikh Lahir: 21 Januari 1989

Kerjaya: Penyanyi & komposer

Album: Percubaan Pertama

Tagline di AF5: Kasi gegar

Emel: run10_absolution@hotmail.com


PROFIL: Nubhan AF6

Nama sebenar: Ahmad Nubhan Ahamad

Nama komersial: Nubhan

Tarikh lahir: 2 April 1986

Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Umur: 22 tahun

Pencapaian: Tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam

Emel: nubhanc@yahoo.com.my

Tagline di AF6: Cayalah

Laman web: www.cayalahnubies.com


Dipetik dari Berita Harian

3 comments:

Anonymous said...

selamat hari raya..

Anonymous said...

balik kampung baik2 jalan yo nubhan. nanti nak minta tolong kemas2 rumah, calling2 erk. wakakakaka.... (sekali2 pasan ma) :P

Anonymous said...

a'kum nubhan.. salam Syawal dari Dublin, Ireland.. rajin2, singgah la my blog..