Sunday, September 28, 2008

Glamor raya Nubhan


Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Biasanya dua tiga hari sebelum hari raya seperti hari ini, lelaki berusia 22 tahun ini sudah ada di kampung, sekurang-kurangnya untuk memasang pelita di halaman rumahnya di Juaseh, Kuala Pilah. Kata Nubhan, memasang pelita menjadi tradisi keluarganya.

Namun, kebiasaan itu terpaksa dilupakan kerana tuntutan tugas artis yang memerlukannya menjayakan beberapa program, termasuk rakaman telefilem Ada Cinta Di Hari Raya di Batu Kikir dan memenuhi undangan berbuka puasa bersama anak yatim.

“Kalau ikutkan hati, saya nak balik awal. Nak buat semua kerja persiapan raya macam dulu. Namun apa nak buat, ada kerja perlu dilunaskan. Nasib baik keluarga faham dan mereka tidak kisahpun,” katanya yang akan pulang ke kampung sehari sebelum raya.

Kebiasaan juga buat keluarga Nubhan, mereka akan merebus tulang lembu untuk dibuat sup ‘gear box’. Proses rebusan biasanya dimulakan sehari sebelum sambutan Aidilfitri. Begitu juga dengan ketupat dan lemang hasil air tangan ibunya yang menjadi kegemaran Nubhan.

“Sodap bang!” katanya dalam loghat Negeri Sembilan ketika ditemubual pada minggu kedua Ramadan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, insiden dimasukkan ke Hospital Seremban pada 19 September lalu, sekurang-kurangnya mempertemukan lelaki ini dengan ahli keluarganya. Kecederaan tulang belakang akibat kemalangan jalan raya ketika berusia lima tahun kembali lagi.

Semalaman dia ditahan di wad. Mulanya bimbang juga, tetapi menurut Nubhan, doktor memberitahu yang kecederaannya tidak kronik dan penyakit berkaitan tulang belakang selalu terjadi kepada sesiapa. Dia dikira bernasib baik kerana tidak serius hingga membabitkan pembedahan.

“Memang takut juga sebab sakitnya makin teruk. Tak sangka langsung sebab saya selalu berasa sakit belakang tetapi tidak sangka sampai masuk hospital. Saya ingatkan sakit macam biasa, jadi saya tidak peduli sangat dan bertahan kerana biasanya akan reda sekejap lagi.

“Sakit kali ini saya rasa sejak dua tiga bulan lalu, ia datang sekejap-sekejap. Sebab itu saya buat tak tahu hinggalah selesai penggambaran Ada Cinta Di Hari Raya di Batu Kikir,” katanya yang menjalani rawatan fisioterapi susulan tiga hari sekali sebanyak lima sesi.

Insiden itu membuatkannya lebih berhati-hati, memberi pengajaran kepadanya supaya tidak memandang ringan mengenai sakit atau kesihatan diri.

Buat masa ini juga Nubhan tidak dibenarkan mengangkat benda berat dan tidak boleh berdiri terlalu lama atau berjalan jauh.

Ketika berbuka puasa dengan anak yatim di Subang Jaya, Isnin lalu, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk menemani mereka membeli-belah kelengkapan raya. Memang terkilan tetapi kesihatan harus diutamakan, katanya.

Malah, ketika berpindah ke rumah sewa baru di Bukit Serdang minggu ini juga, Nubhan meminta rakan serumahnya, Naim, untuk mengangkat barang. Nasib baik Naim memahami.

Bagaimanapun, gambar yang dipaparkan untuk muka depan Selebriti Metro Ahad hari ini dirakam awal puasa lalu. Proses fotografi yang memakan masa hampir empat jam dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Louis Vuitton Sdn Bhd (LV) ini memberi satu lagi pengalaman berharga buat Nubhan sebagai artis.

Biarpun mengakui penat (termasuk berpuasa), penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu ini tidak sedikitpun merungut kerana dia tahu bukan mudah mencari yang terbaik.

“Saya puas hati dengan kerja-kerja fotografi. Sebagai artis, saya tidak perlu merungut kerana ia menjadi sebahagian daripada tugas saya. Masing-masing ada tanggungjawab, kalau saya penat, wartawan dan jurugambar juga penat.

“Masing-masing tahu tugas sendiri dan kita semua mahu mencari hasil yang terbaik. Saya bangga kerana fotografi ini mendapat kerjasama pihak yang besar iaitu KTMB dan LV,” katanya.

LV membawa Koleksi Lelaki Musim Luruh 2008 dengan himpunan beg Damier Graphite, cermin mata Metalised Mahina dan Grey Aviators, cincin Emprente dengan emas putih dan jam tangan Speedy dan Tambour.

Fotografi berkonsepkan balik kampung dengan glamor ini turut dibantu oleh kereta api mewah, Eastern & Oriental Express yang kebetulan ‘berlabuh’ sementara di stesen lama KTMB.

Kebetulan, kata Nubhan, dia jarang menaiki kereta api. Biasanya balik kampung hanya dengan kereta dan dulu menggunakan bas. Jadi pengalaman ini akan diingati.

“Mungkin satu hari nanti, mana tahu saya akan naiki kereta api juga untuk ke destinasi di seluruh Malaysia,” katanya ketawa.


Dipetik dari Metro Ahad

No comments: