Wednesday, October 8, 2008

Cebisan Syawal Nubhan

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

NUBHAN kini mengalami transisi dalam hidup selepas bergelar artis.


AIDILFITRI 2008 yang disambut Rabu lalu nyata memperlihat detik manis buat Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih dikenali sebagai Nubhan.

Menyambut kehadiran lebaran sebagai anak seni buat pertama kali, pada pandangan mata kasar, ia sangat indah lalu sukar terucap dengan kata.

Apa tidaknya, transisi daripada seorang jejaka tipikal kampung yang tiada sesiapa kenal atau ambil peduli, sekarang Nubhan disanjungi, malah sosok tinggi lampai ini juga mulai dipuja peminat.

Berbicara lebih lanjut tentang cebisan Syawal ini, Nubhan mengaku cukup teruja berpeluang merayakan Hari Raya Aidilfitri sebagai artis buat julung kali dalam lipatan sejarah hidupnya.

"Perasaan seronok itu memang ada, tetapi saya lihat tiada sebarang yang istimewa ataupun indah untuk sambutan perayaan tahun ini.

"Persiapan raya dilakukan secara ala kadar sahaja, tanpa perlu berboros meskipun saya kini bergelar artis," ungkap Nubhan spontan, pantas naluri mudanya menghambur sikap merendah diri.

Gara-gara wajah manisnya mekar menghiasi kaca TV selama tiga bulan berturut-turut, nama Nubhan terus membasahi minda dan menjadi sebutan masyarakat.

Lalu, tidak hairanlah publisiti itu berhasil meletakkan empunya badan sebagai anak seni yang semakin meningkat popular setelah melangkah kaki keluar Akademi Fantasia 6 (AF6).

Set sofa untuk famili

Sudah menajdi lumrah, setiap anak mempunyai angan-angan mahu membahagiakan insan yang disayangi terutama ibu-bapa, yang sebelum ini bergolok-bergadai membesarkan mereka.

Anak muda berusia 22 tahun ini tidak terkecuali menanam impian sendiri, sama juga seperti anak-anak orang lain yang dilahirkan ke muka bumi ini.

Bibir nipisnya terus melantun baris ayat, menjelaskan setiap insan yang memegang status sebagai anak punya hasrat masing-masing.

"Kalau boleh saya hendak belikan mereka itu dan ini, termasuk rumah, kereta, meraikan ulang tahun perkahwinan mereka berdua dan bermacam lagi.

"Siapa saja tidak mahu menggembirakan hati kedua orang tua mereka, bukan?" ujar anak bongsu daripada lapan beradik ini dalam nada lembut.

Jejaka yang dilahirkan pada 2 April 1986 menghadiahkan set sofa buat keluarga di kampung setelah menerima gaji sebagai penyanyi.

"Pada bulan pertama, saya tidak dapat gaji lagi. Jadi saya terpaksa pendam niat untuk beli hadiah kepada mereka.

"Masuk bulan kedua, saya dapat gaji, tapi tidaklah banyak. Saya ambil keputusan untuk berikan mak dan ayah kerusi baru

"Mereka baru saja pindah rumah di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira lapan bulan lalu, jadi saya lihat pembelian perabot baru dapat mengisi ruang kosong dalam kediaman itu.

"Saya ajak keluarga pergi ke kedai dan cakap kepada mak untuk pilih mana satu sofa yang dia suka.

"Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada, saya lihat mak dan ayah seronok sangat apabila saya belikan mereka sofa baru," sahutnya jelas memperlihat riak gembira menerusi sinaran mata kuyunya.

TERUJA berhari raya sebagai artis pada Syawal kali ini.


Pertama kali beraya sebagai artis

Sesi fotografi di Pesta Taman, lokasi kediaman milik penulis novel terkenal Malaysia, Ahadiat Akashah di Gombak, Nubhan pantas menyelongkar bermacam kisah lebaran yang pernah dirai Nubhan sebelum ini.

Dengan pepohon hijau yang merimbun liar, sesekali terdengar jeritan nyaring sang cengkerik, menjadi saksi lantas melatari setiap bait bicara anak kelahiran Kuala Pilah ini.

Nubhan yang sebelum ini sarat sikap pemalu, bertukar sisi lain, kerap tertawa dan bercanda tatkala diminta berkongsi nostalgia sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tidak dinafikan, berbeza benar sambutan lebaran bagi Nubhan khususnya. Menjadi selebriti, selepas menjangkau usia 21 tahun bergelar orang kebanyakan, telah melontar dirinya untuk lebih bersedia pada Syawal ini.

Dia perlu bersedia dari pelbagai segi agar tiada kekurangan yang timbul saat menyambut tetamu datang berduyun-duyun kelak.

Ada sinar bahagia pada wajahnya apabila bercerita tentang kunjungan peminat yang beraya di terataknya kelak.

"Memang bahagia dan saya bersyukur kerana Tuhan melimpahkan rezeki sebegini kepada saya.

"Teruja rasanya menjalani pengalaman pertama berhari raya sebagai artis," tutur Nubhan sambil mengimbas perjalanan hidupnya yang berubah sekelip mata.

Justeru, sempena Aidilfitri tahun ini, dia sudah bersedia dengan bajet sendiri untuk disedekah kepada tetamu yang datang beraya.

"Saya mahu berkongsi rezeki yang Tuhan limpahkan pada saya," katanya yang pulang beraya di Juasseh.

Masih seperti tahun sebelum ini, Nubhan tidak ketinggalan mengagihkan sejumlah bajet untuk untuk diagihkan pada anak-anak saudara dan tetamu cilik.

Cuma tahun ini, nampaknya duit yang mengalir di koceknya lebih deras sejak memegang gelaran orang terkenal.

GLAMOR dalam busana raya bersama Yanie dan Nikki yang turut menjadi artis di bawah naugan syarikat milik Ning Baizura.


Dia hanya tersenyum saat soalan nakal tentang duit raya diajukan. Menyedut nafas dalam-dalam, Nubhan kemudian tersenyum dan bersuara.

"Sudah tentu saya keluarkan peruntukan untuk diberi kepada anak saudara seramai enam orang itu.

"Saya juga sediakan duit raya kepada peminat kecil yang datang ke rumah," jawab Nubhan yang hanya mengenakan sepasang baju Melayu untuk Syawal ini.

Rindu beraya dengan nenda

Mengenai saat yang paling dinanti setiap kali lebaran kata Nubhan, suasana malam raya begitu menggembirakan dirinya.

Kata Nubhan, sama seperti orang lain, dia sekeluarga bergotong-royong menyudahkan segala persiapan, bermula pembahagian tugas memasak hingga mengemas rumah.

"Biasanya tugas saya adalah memotong rumput di halaman rumah yang boleh tahan luasnya.

"Lepas itu, saya akan bakar rumput yang dipotong supaya laman kediaman saya kelihatan indah pada hari raya."

Ditanya tentang masakan tradisi keluarganya di pagi raya, kata Nubhan: "Biasanya saya dan seluruh keluarga makan rendang, nasi himpit, lemang dan ketupat.

"Tiada apa yang istimewa, sama saja macam makanan tempat lain."

Diberi kesempatan memberi ucapan raya, Nubhan menyusun sepuluh jari memohon keampunan kepada setiap individu yang mungkin tanpa silap, telah terguris hati dan perasaan dengan perilakunya.

"Pada kesempatan ini, saya ingin ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta maaf zahir dan batin.

"Kepada Nubbies dan peminat yang selama ini memberi sokongan, terima kasih banyak saya ucapkan.

"Jemput-jemputlah datang ke rumah Syawal ini," pesan Nubhan melabuh bicara.


Dipetik dari Kosmo!

2 comments:

HelmiLassim said...

bestkan jadi artis...
hehehehe...

knape kek joseh ghayo koduo...
ko kato den nie cikgu...
cikgu tu si zamani84 la...

ko dah silap org ok...
wakaka...

Kyrun Quiamco said...

meriah sungguh berglamor dlm busanaraya b'sama famili baru sambil b'cerita ttg famili sendiri di kg...
mmg baik org NuBhan ni...

add 1 lagi famili...Nubies!!!

very lucky guy!!!
~SELAMAT HARI RAYA 2008~