Sunday, October 12, 2008

Artis dan kad-kad Hari Raya


Oleh NIEZAM ABDULLAH

Bagaikan satu kemestian, setiap kali Hari Raya Aidilfitri, artis-artis kita tidak ketinggalan menyediakan kad ucapan Selamat Hari Raya untuk diberikan kepada mereka yang istimewa.

Selain peminat, kad yang ditempah khas itu tentu juga diberikan buat teman-teman wartawan. Pada tahun ini ramai artis sanggup memperuntukan masa menempah kad untuk insan yang mereka anggap istimewa itu.

Antara artis-artis yang mengirimkan kad raya seperti Amy Mastura, Deja Moss, Mila, Aizat, Riz, Nubhan, Faizal Ismail dan Izwan Pilus.

Tidak ketinggalan stesen radio dan televisyen yang menampilkan wajah personaliti mereka seperti Suria FM, Era FM dan Media Prima Berhad.

Datuk Siti Nurhaliza juga tidak melepaskan peluang mengabadikan kemeriahan Syawal dengan mengirimkan kad ucapan bersama artis dan petugas Siti Nurhaliza Production.

Sebelum ini antara artis yang dianggap paling istimewa kerana kad Hari Rayanya ditulis menggunakan tulisan tangan sendiri ialah Erra Fazira.

Mencari kelainan, setiap individu yang menerima kad daripada Erra akan membaca kata-kata dan ucapan yang berbeza. Tetapi pada tahun ini Erra tidak mengirimkan kadnya mungkin kerana kesibukan tetapi cukup ia diwakili oleh suaminya Engku Emran yang mengirimkan kad bagi pihak Erra.

Begitu juga Amy Mastura. Sejak bergelar artis, beliau tidak pernah lupa menempahkan kad khas sebagai tanda ingatannya untuk mereka yang banyak menyokong kerjaya beliau.

Dengan ucapan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin, Amy turut menitipkan kata-kata nasihat di dalam kadnya iaitu, “Sayangi jantungmu nikmati hidup” yang antara lain berkehendakkan kita menjaga kesihatan.

Bagi artis-artis baru, menghasilkan kadHari Raya adalah satu kepuasan kerana menganggap ia dapat menggembirakan hati penerimanya.

Izwan Pilus tempah 700 keping

Baru dua tahun bergelar artis, tahun ini merupakan kali pertama penyanyi Izwan Pilus mencetak kad ucapan Hari Rayanya sendiri.

Berlatarbelakangkan Masjid Wilayah Persekutuan, fotografi tersebut dilakukan ketika beliau menghadiri majlis perkahwinan Deja Moss dengan Fendy pada hujung Ogos lalu.

Menempah sebanyak 700 keping kad berbentuk poskad, Izwan memperuntukan kos sebanyak RM350 untuk diberikan kepada peminatnya.

“Ketika buat persembahan saya banyak terima kad-kad peminat dan saya kumpul semua kad mereka.

“Kedatangan Syawal ini saya ambil peluang membalas kad tersebut dengan mengirimkan kad ucapan daripada saya yang agak istimewa,” katanya.

Dapat harga murah – Mila

Berlatarbelakangkan warna merah jambu, tahun ini merupakan tahun kedua Mila menghasilkan kad ucapan selamat Hari Rayanya.

Mencetak sebanyak 500 keping Mila agak bertuah kerana pada tahun ini reka letak kad tersebut dihasilkan oleh peminatnya sendiri.

Dalam masa yang sama Mila dapat mencetak kad dengan harga murah iaitu 80 sen sekeping selepas berunding terus di tempat percetakan tanpa melalui orang tengah.

“Saya dapat buat kad dengan harga yang cukup murah kerana tak ada orang tengah. Kalau tak mesti mahal,” katanya.

Pada tahun lalu Mila memperuntukan sebanyak 1,000 keping kad tetapi pada tahun ini memadai 500 keping sahaja.

Fotografi untuk kad raya Mila tahun ini diambil selepas membuat rakaman rancangan Hari Raya di RTM pada bulan Ramadan lalu yang dirakamkan oleh seorang ahli kelab peminatnya.

Nubhan cari kelainan

Kali pertama menjadi artis, maka pertama kalilah penyanyi ini menghasilkan kad ucapan selamat Hari Rayanya. Menempah sebanyak 300 keping, urusan menghasilkan kad tersebut dilakukan oleh syarikat pengurusannya Artistes United Records.

Berbeza seperti kad-kad artis lain, Nubhan tidak berbaju Melayu sebaliknya mencari kelainan dengan memakai pakaian kasual berlatarbelakangkan stesen keretapi.

“Gambar ini diambil semasa saya mengadakan sesi fotografi Hari Raya dengan sebuah akhbar,” katanya.

Nak cari kelainan, sebab itulah saya tak pakai baju Melayu. Takut nanti sama macam orang lain pula,” katanya.

Akan mengadakan majlis jamuan raya di rumahnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 26 Oktober ini, Nubhan akan tetap memberikan kad-kad tersebut kepada peminat yang bakal berkunjung pada majlis itu nanti.

Ikut langkah artis senior – Riz

Melihat aris-artis senior lain menghasilkan kad ucapan Hari Raya, maka terbuka hati Riz untuk melakukan tindakan yang serupa.

Menghabiskan kira-kira RM350, Riz mencetak kira-kira 550 keping kad yang dibuat selepas berbincang dengan ahli kelab peminatnya.

Kad tersebut agak istimewa kerana gambarnya diambil ketika Riz menjalani penggambaran klip video di sebuah rumah kampung di Terengganu.

“Masa di rumah tu saya ambil kesempatan gunakan kamera saya untuk beraksi di beberapa sudut di rumah tersebut sebelum memilih gambar terbaik,” katanya.

Selain peminat dan wartawan, kata Riz kad tersebut turut dikirimkan kepada krew Astro yang sama-sama bekerja dengannya semasa di dalam Akademi Fantasia tak lama dulu.

Deja Moss tidak sempat tempah

Mungkin kerana kesibukan, pada tahun ini penyanyi Deja Moss hanya sempat membeli kad yang sudah siap untuk dikirimkan kepada rakan-rakannya.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini kad ucapan daripada Deja Moss tentu sekali akan menampilkan wajahnya sendiri.

Tetapi kali ini suaminya, Fendy hanya membelinya di kedai kerana kesuntukan masa untuk membuat tempahan seperti mana yang biasa dilakukan Deja.

“Tahun ni kami beli kad kira-kira 200 keping dengan bajet yang tidak sebesar mana pun,” kata Deja.

Cukup sekadar nama – Aizat

Tidak seperti artis baru lain yang menampilkan gambar tetapi Aizat mengambil langkah berbeza apabila dia hanya meletakkan namanya sahaja pada kad ucapan.

Nama yang tertera pada kad itu dilakarkan menjadi sebatang jalan raya berliku dengan sebuah kenderaan menuju ke kampung untuk pulang beraya.

Menggunakan wangnya sendiri, kad tersebut ditempah sebanyak 400 keping dengan harganya RM2 setiap satu.

Kata Aizat, memadai dia sekadar meletakkan nama tanpa ada gambarnya agar kad tersebut kelihatan lebih unik.

“Kad saya ringkas reka bentuknya tetapi ia menarik kerana lakarannya berbeza yang saya rasakan orang lain tak akan buat macam itu,” ujar beliau.


Dipetik dari Pancaindera

3 comments:

~AqUnUbiEsEtiA~ said...

nak kad raye itu...
nnti aku gi joseh 26/10 nie...
bagi aku yer...

~AqUnUbiEsEtiA~ said...

nak kad raye itu...
nnti aku gi joseh 26/10 nie...
bagi aku yer...

KakMas said...

akak x dpt pun kad raya nyer...huhuhu