Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my)
Nubhan komited dalam seni, minat pelancongan
HANYA satu single, Ada Untukmu cukup memperkenalkan anak muda berusia 23 tahun, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan dalam dunia showbiz.
Anak bongsu dari lapan beradik ini nyata beruntung kerana selepas dicungkil bakatnya dalam program realiti, Akademi Fantasia musim ke-6 (AF-6), Nubhan terus meraih kepercayaan mendaki puncak seni.
“Saya bersyukur kerana diberi banyak peluang mengetengahkan bakat nyanyian. Selepas sambutan baik terhadap single pertama Ada Untukmu, kini saya tampil dengan single kedua berjudul, Seadanya Aku.
“Setakat ini, lagu ini sudah dimainkan di stesen radio. Saya amat mengharapkan sokongan peminat dan pencinta muzik tempatan,” katanya yang bakal muncul dengan album penuh tidak lama lagi.
Mengulas impak bergelar artis, pemenang tempat ketiga AF-6 ini mengakui, tidak terlintas di fikirannya untuk mencapai tahap sekarang.
“Memang pada mulanya sedikit janggal atas perhatian yang diberi, sekarang semuanya dalam kawalan dan saya tidak malu lagi,” katanya tergelak mengenangkan detik awal bergelar artis.
Biarpun situasai tidak lagi seperti dulu, Nubhan memanfaatkan waktu terluang dengan keluar membeli-belah, bertemu rakan dan menonton wayang. Baginya inilah cara meredakan tekanan.
Bersama XY10 minggu ini, penyanyi bersuara husky ini berkongsi rahsia peribadi.
Terangkan personaliti diri Nubhan?
Saya seorang yang sangat sederhana dan tidak mudah mengambil pusing mengenai cerita. Apapun, prinsip saya cukup mudah iaitu nikmati gaya hidup sihat.
Apa perkembangan terbaru anda?
Sekarang ini saya sibuk mempromosi single terbaru, Seadanya AKu. Single ini boleh dianggap ucapan perkenalan sebelum muncul dengan album penuh.
Makna nyanyian bagi diri Nubhan?
Nyanyian sudah menjadi profesion saya. Saya percaya, melalui nyanyian dan lagu, ia membantu menenangkan jiwa dan mengurangkan tekanan.
Bagaimana kehidupan anda sebagai artis?
Seperti saya katakan, saya menganggap ini semua sebahagian kerja. Sama jugalah dengan mereka yang bekerja untuk sektor perbankan, peguam dan jurutera. Semua orang yang bekerja ada cabaran tersendiri.
Cuma saya tekadkan diri mengelak daripada gosip yang boleh menjejaskan karier nyanyian.
Hari-hari biasa dalam hidup Nubhan?
Hmm... Pulang ke kampung di Kuala Pilah, lepak bersama teman-teman, berenang, menonton wayang dan lakukan perkara berfaedah.
Keseronokan menjadi lelaki?
(Tergelak)... Mungkin ciri macho yang tidak ada dalam diri wanita. Apapun sebagai lelaki, cabaran sebagai ketua keluarga lebih penting dalam menentukan arah hidup.
Andai anda seorang wanita?
Semestinya saya mahu jadi wanita cantik dan tinggi seperti seorang model. Antara model yang menjadi inspirasi saya ialah Nasha Aziz!
Seksi mengikut tafsiran anda?
Ia bersifat subjektif. Tidak saja dari segi penggayaan dan pakaian, seksi masih boleh diterjemah melalui cara pergaulan, percakapan mahupun cara kita berjalan. Saya tidak suka wanita yang seksi berlebihan dan tidak menjaga tutur kata.
Rahsia atau bakat anda yang orang tidak tahu?
Saya sukakan suasana dan aktiviti menjurus kepada semula jadi. Saya gemar aktiviti camping di hutan, memanjat tembok dan kembara di lokasi mendamaikan.
Nubhan 10 tahun akan datang?
Saya merancang menubuhkan syarikat sendiri dalam sektor pelancongan. Selain memang minat saya dalam bidang ini, ia juga menjadi hasrat arwah ayah yang berhajat membuka agensi pelancongan.
Itulah azam saya dan saya sedang mengumpul modal. Jika ada masa, saya juga hendak melanjutkan pengajian dalam bidang pelancongan.
Profil
Nama: Ahmad Nubhan Ahamad
Umur: 23 tahun
Tarikh lahir: 2 April 1986
Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Pendidikan: Sijil Pelancongan dan Pengembaraan, Kolej Komuniti Ulu Selangor
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment