Monday, June 15, 2009

Seadanya Nubhan

Oleh FIRDAUS SAHAT

TIADA lagi gaya ranggi yang sinonim dengannya tatkala mengenakan sut lengkap Hugo Boss miliknya. Tampak lebih berkarisma, namun selaku anak seni katanya, gaya itu tidak sesuai dengan karier dan usianya ketika ini.

“Dah macam ahli perniagaan,” sepintas katanya di depan cermin. Bayangkan saja, tuan empunya diri terkejut dengan transformasi yang cuba diketengahkan Selebriti kali ini selepas tahun lalu tampil dengan ‘lagak model’ Louis Vuitton.

Pun begitu, Nubhan tidak pernah merungut. Kerana mahu mencuba sesuatu yang berbeza, penampilannya kelihatan matang dan serius.

Begitu juga dengan dunia muzik yang ingin dilalui dengan peningkatan positif. Bagaimanapun, buat masa ini anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini mengakui perjalanan seninya masih tidak menunjukkan apa-apa perubahan drastik.

Selain single Ada Untukmu yang berjaya mengangkat namanya di persada dunia nyanyian, Nubhan menampilkan pula dengan Seadanya Aku sebagai penyambung.

Yang menarik, Nubhan menjelaskan, Seadanya Aku ciptaan Sharon Paul dan ditulis oleh Azalia seakan-akan kesinambungan kepada Ada Untukmu. Walaupun mungkin secara kebetulan, Nubhan menyukai melodinya.

“Pertama kali mendengar lagu ini, saya dapat merasakan sesuatu. Selepas difikirkan kembali, baru saya mengerti kerana ia bagai penyambung cerita yang didendangkan menerusi single pertama dulu.

“Lagipun, sewaktu memilih lagu ini, saya tersentuh dengan lirik dan melodinya. Bagai ada sesuatu yang menangkap perhatian saya sewaktu memilih lagu mana yang sesuai untuk ditampilkan sebagai single. Begitupun, saya yakin lagu ini akan diterima peminat.

“Jika menerusi Ada Untukmu, perjalanan cinta yang diceritakan dalam lagu berkenaan bagai tidak kesampaian dan cinta itu akhirnya ‘mati’ tanpa berbalas. Bagaimanapun, Seadanya Aku pula menceritakan satu kisah hidup baru bersama harapan untuk kembali menggapai cinta.

“Sebab itu, jika diselami lirik kedua-dua lagu ini, pendengar pasti akan faham apa yang saya maksudkan,” katanya.

Selain singlenya, Nubhan dalam proses menyiapkan album penuhnya yang pertama dan bukan mini album seperti mana digembar-gemburkan sebelum ini.

Jelas Nubhan, sehingga kini pembikinan albumnya baru 50 peratus diselesaikan. Kesibukan aktiviti lain membantutkan kerja pembikinan dan dia harus lebih bersabar.

“Sebenarnya, ketika dalam proses menyiapkan album ini, saya turut berlakon dalam sebuah produksi filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

“Sebab itu proses menyiapkan album ini ditangguh seketika. Seboleh-bolehnya saya mahu album pertama ini dibuat dengan sebaik mungkin.

“Malah, saya terpaksa memilih lima lagu daripada pelbagai pilihan yang diberi. Lagipun, saya tidak mahu tersalah pilih.

“Insya-Allah jika tiada aral, ia bakal disiapkan dalam tempoh terdekat ini. Album sulung ini juga bakal menampilkan 10 lagu baru, termasuk dua single itu. Jika tiada aral, saya akan cuba buat lagu sendiri dan jika sesuai, ia akan turut dimuatkan dalam album berkenaan,” katanya.

Selain menyanyi, Nubhan sibuk di lokasi penggambaran. Selain beberapa drama yang pernah dilakonkannya tidak lama dulu, terbaru jejaka berusia 24 tahun ini diberi pula peluang menyerikan layar perak.

Akui Nubhan, menerusi filem yang diangkat daripada hasil karya Ahadiat Akasyah berjudul Legenda Budak Setan, dia diberi tugas memegang watak antara tiga budak nakal itu. Meskipun hanya watak sampingan, ia cukup untuk memberi pengalaman baru kepadanya.

“Walaupun wataknya tidak sebesar, ia cukup berharga buat saya. Sebagai orang baru di dunia seni berdasarkan bidang nyanyian, semestinya saya janggal dengan dunia lakonan.

“Sebelum ini saya pernah berlakon di dalam beberapa drama, namun perbezaannya dengan produksi filem berbeza. Penat, terkejut, janggal, teruja dan seronok semuanya bercampur-aduk.

“Namun, baru kini saya tahu bukan mudah untuk menjayakan sesebuah filem. Setiap babak harus dilakukan secara teliti untuk menjamin kualitinya.

“Jadi, sebagai pelakon saya juga perlu melakonkan babak berulang kali supaya kena dengan ‘moodnya’. Malah, untuk menjiwai karektor watak berkenaan juga bukan sesuatu yang mudah,” katanya.


Sumber: Metro Ahad

3 comments:

TokSky said...

Tahniah diatas single baru yg slalu didengar diradio now ni. Teruskan usaha......

Anonymous said...

soory nub..nak komen sikit je
lgu seadanya aku versi yg rancak
tu suara nub macam sengau sikitlah...mcm org selsema je..overall its ok.boleh di perbaiki lg..komen untuk kebaikan its ok kan...i suka dengar yg versi slow best sangat.sentiasa meyokong karier anda...goodluck

Anonymous said...

lagu ni best n ade byk makne..sdp sgt n mmg suara nubhan btol btol merdu