Friday, March 6, 2009

Hadiah mewah menanti pemenang


Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my



Bintang Paling Popular dapat barangan bernilai RM150,000, pembaca bertuah pula RM50,000

SEEKOR kumbang di sisi tiga kuntum bunga berbeza 'jenis' dan 'bau' menambat perhatian khalayak yang lalu lalang di depan Hotel Parkroyal petang Rabu lalu. Bukan saja wajah tiga kuntum bunga itu yang menawan kalbu, malah aksesori barang bertatahkan batu mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre turut diperhatikan.

Khabar gembira dimaklumkan dengan bangganya bahawa premis barang kemas terkemuka ini kembali menaja Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Rafflesia The Pearl Centre menawarkan aksesori barangan kemas bernilai lebih RM500,000 untuk hadiah kepada pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 12 April depan. Ini kali ketiga Rafflesia menjadi penaja ABPBH.

Majlis penyerahan replika cek itu disampaikan Pengarahnya, Winnie Sin kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail di pejabatnya, semalam. Ia turut dihadiri Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah selain empat calon yang berjaya ke peringkat akhir ABPBH 2008 iaitu Nurul Alis atau Kiki, Dynas, Stacy dan Nubhan.

Kumbang yang dimaksudkan ialah Nubhan, calon top 5 ABPBH 2008 menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular. Lagaknya ibarat watak adiwira yang gagah perkasa ibarat pengawal yang menjaga keselamatan tiga kelopak bunga berharga. Bunga harum mewangi itu merujuk kepada Dynas, Nurul Alis (Kiki) dan Stacy.

WINNIE SIN menyerahkan cek tajaan daripada Rafflesia The Pearl Centre kepada Manja.


Bagi Dynas, 26, dia semestinya sudah biasa menyarung koleksi Rafflesia dan ia berlainan dengan perasaan Kiki dan Stacy yang begitu teruja mengenakan aksesori anting-anting dan rantai leher Rafflesia buat pertama kalinya. Bagi Kiki, dia menyifatkan perhiasannya yang dikenakan begitu sesuai dengan imej dan rona kulitnya. Stacy pula mengakui sangat bertuah kerana tidak pernah memakai aksesori mewah. Usik Stacy, dulu dia hanya setakat mampu memakai barang kemas murah saja.

Dynas mengulangi pencapaian tahun lalu apabila berjaya disenaraikan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, malah kategori itu menjadi miliknya. Persoalannya, apakah ibu mengandung ini mampu mengekalkan trek rekod kejayaannya untuk menggenggam trofi yang sama pada tahun ini.

Bayi kandungannya sudah berusia lima bulan dan dijangka melahirkan anak perempuan pada 4 Julai ini. Besar kemungkinan, isteri kepada Mohd Hafizy Hafiz ini akan hadir pada malam kemuncak ABPBH 2008 ditemani ibu bapanya. Pelakon drama Susuk dan Di Bawah Ketiak Isteri ini akan melaram dengan busana rekaan Nik Erwan Roseli.

“Mungkin kejayaan saya ini rezeki anak dalam perut. Begitu juga dengan Rita Rudaini pesaing kategori sama yang turut berbadan dua. Saya tak sangka tercalon lagi tahun ini dan satu bonus kalau saya dapat pertahan kejuaraan kategori ini. Sekarang ini pun drama Julia Juli lakonan saya sedang disiarkan di TV3 & TV9,” katanya yang tetap kekal bergaya, berseri dan semakin cantik biarpun berbadan dua.



Ditanya apakah kekuatan dirinya berbanding empat lagi calon lain seperti Abby Abadi, Diana Danielle dan Rita Rudaini yang turut bolos dalam kategori yang sama, pelakon tinggi lampai ini mempunyai hujahnya yang tersendiri.

“Saya rasa apa juga kontroversi yang melanda mereka (Rita, Abby dan Danielle) bukan perkara yang dipinta mereka. Danielle sendiri tak akan menyangka teman rapatnya (Syamsul Yusof) akan bertindak sedemikian hingga menjadi perhatian ramai.

“Menang atau kalah, semuanya adalah rezeki masing-masing. Setiap dugaan yang diterima pasti ada hikmah terselindung. Saingan top 5 ini memang sengit belaka dan semuanya terpulang kepada peminat untuk memilih siapa yang mereka rasa layak untuk menang,” katanya yang sudah mempunyai hobi baru iaitu menjahit manik dan perincian di atas baju.

Aku Stacy buka mata khalayak

SEMENTARA itu bagi juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy, 19, yang tercalon dalam kategori Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular, kehadirannya kini sudah mula mendapat perhatian. Buktinya persembahan single pertamanya Aku Stacy yang dinyanyikan sewaktu pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 membuka mata ramai pihak yang sedar akan bakatnya.

Atas beberapa masalah yang tak dapat dielakkan, album sulungnya yang dirancang untuk dilancarkan di negeri kelahirannya hujung minggu ini, Sabah dibatalkan. Bagaimanapun menurut penyanyi yang semakin meledak dengan lagu Gagap ini, album sulungnya yang memuatkan tujuh buah lagu sudah pun berada di pasaran sejak awal Mac lalu.

“Syukur sejak persembahan di AJL 23, biarpun tak menang, ia sebagai batu loncatan untuk saya terus menunjukkan sisi bakat seni saya. Saya juga dapat membuktikan kepada pemerhati seni termasuk peminat bahawa saya boleh menari dan menyanyi pada masa yang sama. Saya bangga menjadi nyanyian dan tarian sebagai cap dagang persembahan,” katanya yang besar kemungkinan akan mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 ke Batu Pahat dan menggunakan khidmat pereka fesyen, Arma pada malam kemuncak nanti.

Selain Stacy yang mula menunjukkan sinar selepas menyertai program Akademi Fantasia, Nubhan juga antara yang mula menunjukkan kematangan tidak sampai setahun berada di dalam liga seni. Dicalonkan dalam dua kategori menerusi ABPBH 2008, dia ternyata gembira, terkejut dan tidak sangka mampu memboloskan diri ke senarai top 5.

“Untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular, saya harus bersaing dengan nama besar seperti Amy Search, Aizat, Mawi dan Adam. Manakala kategori Artis Baru Lelaki Popular, Nabil, Aiman, Riz dan Fizo menjadi saingan saya. Sudah tercalon pun, ia satu ruang terbaik untuk saya terus meningkatkan prestasi kewujudan diri dalam dunia seni.

“Saya kini boleh berbangga dengan diri sendiri kerana tidak lagi menggelabah, ketakutan dan kurang keyakinan diri apabila berada di depan orang ramai. Malahan, kerana sikap itu sendiri, saya pernah dilabel sombong. Dulu mungkin saya kekok dan pemalu. Sekarang saya sudah selesa dan percaya kepada diri sendiri untuk berdepan dengan pihak media, peminat mahupun berada di atas pentas,” katanya yang akan menyarung persalinan rekaan Jovian Mandagie.

Masih dibuai mimpi nama masuk Top 5

BAGI personaliti RTM, Nurul Alis Aidil Akhbar atau Kiki, dia terkejut apabila bolos buat pertama kali dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular. Hingga ke saat ini, ibu tunggal kepada tiga orang anak ini masih seperti dibuai mimpi kerana namanya tiba-tiba disebut sekelip mata.

Bayangkan selama 14 tahun membabitkan diri dalam dunia penyiaran, kehadirannya bagaikan ‘ada dalam tiada’. Biarpun memiliki pakej cantik bersesuaian untuk menerjah ke stesen TV swasta yang lebih glamor, Kiki masih begitu setia dengan RTM.

“Saya selesa bersama RTM. Malah saya rasa selamat tanpa perlu publisiti yang keterlaluan. Malah, saya pernah berkali-kali mendapat tawaran stesen TV lain tapi ketika itu, saya berasakan bekerja di RTM lebih terjamin. Bahkan, kerja saya juga tidak begitu ketat, bebas dan terikat. Saya boleh melakukan kerja sampingan sebagai pengacara majlis contohnya di luar tugasan kerja.

“Harapnya peluang saya berada di Top 5 kategori ini akan memberi anjakan paradigma untuk saya meluncur laju kerjaya ini. Mungkin juga saat ini, saya sudah boleh mula mempertimbangkan sebarang tawaran yang menjurus ke arah glamor contohnya seperti berlakon,” katanya yang pernah berlakon dalam drama dan telefilem produksi RTM.

Kiki juga kenal rapat dengan Dynas yang dikenali melalui Hafizy (suami Dynas). Selain minat dalam bidang penyiaran, Kiki juga aktif sebagai pelumba kereta di bawah pasukan AMN Motorsport milik Hafizy. Susuk tubuh ibu kepada Sonya, Sophea dan Shamal ini yang semakin kurus bukan disebabkan penat bekerja tapi usiknya penuh makna, mungkin disebabkan makan hati.

Perkahwinan yang dibina bersama Adian Yein, 35 selama lapan tahun berakhir apabila jodoh yang diharap berpanjangan berakhir pada September tahun lalu. Menyangkakan cinta yang terpateri selama ini akan terus bersemi, rupa-rupanya ternoktah dengan penuh keredaan.

“Kami berpisah secara baik dan mengikut prosedur perceraian yang sah. Kami bercerai bukan disebabkan orang ketiga sebaliknya disebabkan diri sendiri. Kami boleh bertolak ansur dalam soal penjagaan anak. Saya sudah berusaha untuk menjaga kebahagiaan rumah tangga ini, tapi kalau saya sendiri saja yang berusaha untuk menyelamatkannya, tiada gunanya.

“Kalau setakat bercakap tanpa diiringi tindakan pun lebih baik tak payah buat. Tak apalah, sudah tiada jodoh antara kami. Saya bahagia dengan kehidupan solo. Soal pengganti itu ‘on the way’ mungkin,” usik Kiki yang bakal menggayakan busana rekaan Zack Ismail pada 12 April nanti.

INFO: Dynas, Kiki, Nubhan dan Stacy

# Pembukaan butik DNA Celebrity Styles hasil perkongsian Dynas dengan Awal Ashaari juga semakin mendapat sambutan hingga terdetik di hati Dynas untuk memperbanyakkan koleksi pakaian mengandung dengan harga yang murah. Dynas sempat berpesan kepada peminat yang ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai aktivitinya bolehlah melayari blog peribadi di www.dynasmokhtar.blogspot.com. Carian untuk Facebook, sila taip nama Dynas Mokhtar.

# Kiki berasal dari Gombak dan sudah lima tahun menjadi penyampai berita Sukan. Mulai 19 hingga 26 Mac ini, Kiki akan terbabit sebagai pengacara dan pengulas untuk siri perlumbaan basikal, Jelajah Malaysia membabitkan lima ke enam negeri di dalam Malaysia.

# Selain lagu Gagap dan Aku Stacy, lagu lain yang dimuatkan dalam album sulung Stacy seperti Pakai Buang, Cinta Yang Ku Duga, Cerah dan Cinta Khayalan. Sering mendapatkan bantuan abangnya, Camellus Delleli Anam untuk menjadi penari latar, malah abangnya turut menjadi penari tetap untuk penyanyi Adam.

# Selepas meledak dengan lagu Ada Untukmu, single kedua, Seadanya Aku pula menyusul menguatkan trek seni Nubhan. Album sulungnya dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun ini. Nubhan juga sudah menyatakan persetujuan untuk mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 di Pasir Gudang, Terengganu dan Kuantan. Kini, Nubhan turut mengikuti uji bakat drama dan filem dan jika ada pihak yang ingin menawarkan watak kepadanya boleh berhubung terus dengan pengurusnya, Vernon Kedit Jolly.

INFO: Harapan Manja

# Beliau berharap kehadiran Rafflesia sebagai penaja akan terus memeriahkan lagi perjalanan anugerah berprestij ini menjelang 12 April nanti. Malahan, kerjasama baik yang terjalin di antara Berita Harian dan Rafflesia selama ini diharap akan terus menjadi kukuh.

# Dengan penajaan daripada Rafflesia ini, ia mampu menaikkan aura glamor dan kilau bintang yang cukup sinonim dengan penganjuran ABPBH. Premis barang kemas tersohor ini juga mampu menyumbang ke arah meningkatkan imej ABPBH pada masa mendatang.

# Suntikan hadiah barang kemas ini juga menjadi motivasi kepada finalis ABPBH 2008 dan pembaca Berita Harian Khususnya untuk terus mengundi artis kegemaran anda. Tapi harus diingat, hadiah yang ditawarkan tidak berdasarkan undian pilihan tepat sebaliknya kepada slogan kreatif.

Tajaan Rafflesia

# Bagi kategori Bintang Paling Popular pada tahun ini, Rafflesia menaja hadiah untuk pemenang bernilai RM150,000 manakala pembaca bertuah Berita Harian, RM50,000. Selain itu, sebahagian daripada calon Top 5 ABPBH 2008, penyampai anugerah dan artis yang membuat persembahan pada malam kemuncak turut akan ditaja Rafflesia.


Sumber: Berita Harian

XY 10: Mendaki puncak


Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my)



Nubhan komited dalam seni, minat pelancongan

HANYA satu single, Ada Untukmu cukup memperkenalkan anak muda berusia 23 tahun, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan dalam dunia showbiz.

Anak bongsu dari lapan beradik ini nyata beruntung kerana selepas dicungkil bakatnya dalam program realiti, Akademi Fantasia musim ke-6 (AF-6), Nubhan terus meraih kepercayaan mendaki puncak seni.

“Saya bersyukur kerana diberi banyak peluang mengetengahkan bakat nyanyian. Selepas sambutan baik terhadap single pertama Ada Untukmu, kini saya tampil dengan single kedua berjudul, Seadanya Aku.

“Setakat ini, lagu ini sudah dimainkan di stesen radio. Saya amat mengharapkan sokongan peminat dan pencinta muzik tempatan,” katanya yang bakal muncul dengan album penuh tidak lama lagi.

Mengulas impak bergelar artis, pemenang tempat ketiga AF-6 ini mengakui, tidak terlintas di fikirannya untuk mencapai tahap sekarang.


“Memang pada mulanya sedikit janggal atas perhatian yang diberi, sekarang semuanya dalam kawalan dan saya tidak malu lagi,” katanya tergelak mengenangkan detik awal bergelar artis.

Biarpun situasai tidak lagi seperti dulu, Nubhan memanfaatkan waktu terluang dengan keluar membeli-belah, bertemu rakan dan menonton wayang. Baginya inilah cara meredakan tekanan.

Bersama XY10 minggu ini, penyanyi bersuara husky ini berkongsi rahsia peribadi.

Terangkan personaliti diri Nubhan?

Saya seorang yang sangat sederhana dan tidak mudah mengambil pusing mengenai cerita. Apapun, prinsip saya cukup mudah iaitu nikmati gaya hidup sihat.

Apa perkembangan terbaru anda?

Sekarang ini saya sibuk mempromosi single terbaru, Seadanya AKu. Single ini boleh dianggap ucapan perkenalan sebelum muncul dengan album penuh.

Makna nyanyian bagi diri Nubhan?

Nyanyian sudah menjadi profesion saya. Saya percaya, melalui nyanyian dan lagu, ia membantu menenangkan jiwa dan mengurangkan tekanan.

Bagaimana kehidupan anda sebagai artis?

Seperti saya katakan, saya menganggap ini semua sebahagian kerja. Sama jugalah dengan mereka yang bekerja untuk sektor perbankan, peguam dan jurutera. Semua orang yang bekerja ada cabaran tersendiri.

Cuma saya tekadkan diri mengelak daripada gosip yang boleh menjejaskan karier nyanyian.

Hari-hari biasa dalam hidup Nubhan?

Hmm... Pulang ke kampung di Kuala Pilah, lepak bersama teman-teman, berenang, menonton wayang dan lakukan perkara berfaedah.

Keseronokan menjadi lelaki?

(Tergelak)... Mungkin ciri macho yang tidak ada dalam diri wanita. Apapun sebagai lelaki, cabaran sebagai ketua keluarga lebih penting dalam menentukan arah hidup.

Andai anda seorang wanita?

Semestinya saya mahu jadi wanita cantik dan tinggi seperti seorang model. Antara model yang menjadi inspirasi saya ialah Nasha Aziz!

Seksi mengikut tafsiran anda?

Ia bersifat subjektif. Tidak saja dari segi penggayaan dan pakaian, seksi masih boleh diterjemah melalui cara pergaulan, percakapan mahupun cara kita berjalan. Saya tidak suka wanita yang seksi berlebihan dan tidak menjaga tutur kata.

Rahsia atau bakat anda yang orang tidak tahu?

Saya sukakan suasana dan aktiviti menjurus kepada semula jadi. Saya gemar aktiviti camping di hutan, memanjat tembok dan kembara di lokasi mendamaikan.

Nubhan 10 tahun akan datang?

Saya merancang menubuhkan syarikat sendiri dalam sektor pelancongan. Selain memang minat saya dalam bidang ini, ia juga menjadi hasrat arwah ayah yang berhajat membuka agensi pelancongan.

Itulah azam saya dan saya sedang mengumpul modal. Jika ada masa, saya juga hendak melanjutkan pengajian dalam bidang pelancongan.

Profil

Nama: Ahmad Nubhan Ahamad

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 2 April 1986

Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Pendidikan: Sijil Pelancongan dan Pengembaraan, Kolej Komuniti Ulu Selangor



Sumber: Berita Harian