Saturday, January 10, 2009

Hasrat bahagia ayah tak tercapai


Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Bapa kepada penyanyi yang sedang popular dengan lagu Ada Untukmu itu, Ahamad Abdul Rahman, 67, meninggal dunia malam Rabu (7 Januari) kerana serangan sakit jantung.

Ahamad dilaporkan menghadiri kenduri doa selamat yang diadakan kenalan di Senawang.

Sewaktu menikmati juadah, tiba-tiba Ahamad jatuh pengsan.

Ahli keluarga lain yang kebetulan menemaninya, terus membawanya ke hospital.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Hospital Pakar Senawang, Ahamad disahkan doktor sudah meninggal sewaktu dalam perjalanan.

Berita kematian ayahnya, benar-benar membuatkan Nubhan terkejut memandangkan sebelum itu bapanya sihat dan tidak pernah mengalami sebarang komplikasi atau penyakit kronik.

"Kali terakhir saya bertemu dengan arwah ayah, dua minggu lalu. Namun waktu itu dia tidak menunjukkan apa-apa tanda. Malah, dia sempat berpesan pada saya agar pandai-pandai menjaga diri apabila pulang ke Kuala Lumpur nanti.

"Apa yang berlaku, saya anggap takdir, cuma terkilan dia pergi tanpa saya di sisinya," katanya sambil menahan tangis.

Kata Nubhan lagi, pada mulanya, dia berasa terkejut apabila kakaknya, Saadah memberitahu arwah bapanya rebah secara tiba-tiba di majlis kenduri berkenaan.

"Waktu itu saya baru saja hendak menikmati makan malam bersama Stacy dan seorang lagi teman. Bagaimanapun, selepas diberitahu saya terus bergegas untuk pulang ke Senawang.

"Dalam perjalanan tiba-tiba saya rasa luluh hati apabila kakak memberitahu yang ayah sudah meninggal," katanya.

Cerita Nubhan, dia sangat sedih kerana ayahnya pergi di saat kerjayanya baru hendak berkembang dan sebelum itu turut memasang niat untuk memastikan orang tuanya hidup lebih selesa.

"Saya bercadang untuk mengambil orang gaji bagi membantu ibu (Badriah Omar, 64) di kampung dan dalam waktu sama saya menyimpan duit untuk menukar kereta yang dipandu ayah. Tetapi segalanya sudah terlambat.

"Saya anggap apa yang berlaku ini sudah takdir. Ternyata Allah lebih menyayanginya. Sebagai hambanya saya reda dengan ketentuan-Nya," katanya.

Begitupun kenangan manis bersama arwah bapanya membuat Nubhan berasa begitu sedih.

Apatah lagi, dia anak bongsu lelaki dan sangat rapat dengan ibu bapanya.

"Hendak diikutkan, arwah bapa tidak berapa gemar apabila saya mengambil keputusan untuk menyanyi sepenuh masa. Malah, sebelum ini pun dia ada memberitahu pihak media yang dia tidak tahu saya boleh menyanyi.

"Bagaimanapun, apabila melihat kejayaan saya meraih tempat ketiga di Akademi Fantasia musim keenam pertengahan tahun lalu, arwah bapa terus memberikan perangsang. Saya percaya, kejayaan awal yang diraih itu atas doanya.

"Kini, saya akan terus merindukan ayah. Tiada apa yang dapat saya ungkapkan selain meminta peminat dan orang di luar sana agar sama-sama membacakan Al-Fatihah untuk arwah bapa dan semoga rohnya ditempatkan bersama orang beriman," katanya.


Sumber: Harian Metro




Kehilangan terbesar Nubhan


Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


PERMULAAN tahun 2009 bukan sesuatu yang indah buat penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan.

Semangat dan azam barunya meneruskan kejayaan cemerlang dalam bidang seni terbantut seketika apabila dia menerima perkhabaran mengenai pemergian bapa tersayang Ahamad Abdul Rahman pada 7 Januari lalu.

Kata jejaka berusia 23 tahun ini, dia merupakan anak bongsu dalam lapan adik-beradik dan hubungannya dengan ibu bapanya terlalu rapat. Kehilangan bapanya merupakan satu kehilangan terbesar dalam hidupnya.

Meskipun dia hilang semangat seketika saat memaksa diri menerima kenyataan tersebut, Nubhan akhirnya mampu menenangkan dirinya dan menganggap pemergian bapanya sebagai qada dan qadar yang telah ditentukan Ilahi.

Bagi menyelami lebih lanjut isi hati anak jati Negeri Sembilan ini, ikuti perbualan antara Nubhan dan Kosmo! sejurus selepas majlis pengebumian bapanya pada petang Khamis lalu.



Apa khabar? Macam mana keadaan Nubhan dan keluarga sekarang setelah pemergian bapa?

Sekarang semua okey, arwah abah telah selamat dikebumikan dan kami buat kenduri tahlil selama tiga hari. Sedih, memang sedih tetapi saya reda. Saya juga ambil cuti selama seminggu dan tangguhkan semua persembahan hujung minggu ini.


Bila Nubhan mengetahui keadaan ayah dan apa reaksi ketika menerima berita tersebut?

Semasa menerima berita itu, saya berada di sebuah restoran di Kuala Lumpur, dan kakak saya hubungi beritahu abah pengsan ketika menghadiri kenduri di rumah jiran sebelah rumah kami di Seremban. Selepas dapat tahu pada pukul 8.30 malam saya bertolak dari Kuala Lumpur, tetapi apabila sampai di Nilai, saya dapat panggilan telefon pada pukul 9.30 malam yang mengatakan bapa sudah meninggal dan saya terus ke hospital.


Arwah bapa Nubhan meninggal kerana disahkan sakit jantung pada usia 68 tahun, adakah Nubhan tahu bapa mempunyai penyakit jantung sebelum ini?

Bukan saya saja, semua ahli keluarga saya tidak tahu arwah abah ada sakit jantung kerana dia sihat saja sebelum ini, cuma ada penyakit darah tinggi dan sakit dada sikit-sikit. Emak beritahu, arwah abah menghadiri kenduri jiran dan ketika dia makan dia mengadu sakit dada dan terus saja rebah. Arwah abah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.


Bilakah kali terakhir Nubhan bertemu arwah bapa dan ada apa-apa tanda sebelum arwah meninggal dunia?

Saya jumpa arwah abah pada hari Ahad dua minggu lepas semasa pulang ke Seremban. Arwah seperti biasa, malah kami berbual macam selalu, sebab itu saya tidak perasaan apa-apa yang berlainan dengan dirinya. Dia memang sihat, itu yang saya terkejut sangat. Cuma saya ada rasa tidak sedap hati dua tiga hari sebelum arwah meninggal, hati saya memang rasa nak balik Seremban, kawan-kawan pun perasan perangai saya sedikit pelik seperti orang ada masalah, tetapi kerana ada rakaman album dan kerja saya tak dapat balik. Rasa tidak sedap hati saya terjawab bila dapat berita sedih itu. Memang sepatutnya saya kena balik, sebab itu saya terkilan sangat tak dapat jumpa arwah buat kali terakhir.


Apakah perancangan Nubhan untuk arwah bapa sebelum pemergiannya?

Tahun ini saya memang nak buat sambutan ulang tahun perkahwinan ibu dan abah pada Disember depan. Saya juga ingin beri pembantu rumah kepada mereka, tetapi nak buat macam mana Allah lebih sayangkan arwah abah. Bagaimanapun, saya bersyukur masih sempat berjasa pada arwah abah. Saya beli apa yang termampu, walaupun tidak sebesar mana. Arwah dapat merasa hasil titik peluh saya, termasuklah ketika saya bekerja sebelum menjadi penyanyi lagi.


Bagaimana pula kehidupan Nubhan dan keluarga selepas ini?

Selama ini hanya emak dan arwah abah yang tinggal di rumah kami di Seremban. Bila arwah abah sudah tiada, emak akan tinggal bersama kakak sulung saya di Kampung Juasseh kerana sebelum ini emak bergantung pada arwah abah saja. Bila arwah abah sudah tiada saya risau akan emak, sebab itu emak tinggal bersama kakak. Saya pula akan teruskan hidup seperti biasa walaupun sedih kerana saya kehilangan orang paling penting dalam hidup saya.


Sumber: Kosmo!




Dengarnya...: Salam takziah kepada Nubhan



NUBHAN (berkopiah) mengusung keranda bapanya ke Tanah Perkuburan Kampung Tebing Tinggi, Juasseh, untuk disemadikan.

PAGI semalam, Cik Normah baru saja menerima khabar sedih dari kawan Cik Normah yang mengatakan bapa kepada pemenang tempat ketiga program realiti Akademi Fantasia 6 (AF6), Nubhan iaitu Ahamad Abdul Rahman meninggal dunia akibat sakit jantung.

Menurut kiriman SMS yang teman Cik Normah terima, Ahamad yang berusia 67 tahun menghembuskan nafas terakhirnya malam kelmarin ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Salam di Senawang. Doktor di situ mengesahkan bapa Nubhan meninggal dunia pada jam 9.30 malam

Berita ini nyata mengejutkan Cik Normah dan kawan-kawan di sini.

Iyalah. selama ini apa yang Cik Normah lihat dalam televisyen arwah nampak sihat saja. Malahan sewaktu program yang disiarkan hari raya lalu, bukan main lagi Cik Normah tengok arwah berlakon bersama anak lelakinya itu.

Tapi itulah, ajal maut semuanya di tangan tuhan. Darinya kita datang, kepada-Nya kita kembali. Kita sendiri tak tahu bilakah waktu untuk kita kembali menghadap yang Esa.

Cik Normah diberitahu jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebing Tinggi di Juaseh selepas waktu Zuhur. Khabarnya ramai juga peminat dan rakan-rakan Nubhan datang untuk mengucapkan takziah. Buat Nubhan sekeluarga, Cik Normah dan rakan-rakan di Hip juga ingin mengucapkan salam takziah dan moga roh Allahyarham ditempatkan ditempatkan di sisi mereka yang beriman.

Banyakkan bersabar dan berdoa. Cik Normah faham benar perasaan Nubhan kerana Cik Normah juga pernah mengalami situasi kehilangan orang tersayang suatu waktu dulu. Apa yang berlaku ini tidak akan melemahkan semangat Nubhan untuk berjaya dalam seni.


Sumber: Berita Harian

5 comments:

Harney said...

hope nubhan tabah hadapi sume dugaan dariNya...kene redha ngan ape yg berlaku...

Anonymous said...

ermmm
sabar ek nubh
dugaan hidup

p/s: teringin nk bce blog hasil tulisan nubh.
mcm kt AF dlu.besh!!
;))

Anonymous said...

hai nubhan, syera n najwa gile sgt9000000x kat nubhan.dari af bemula lagi x jemu2 undi nubhan,plz sing me 1 more song..suara nubhan sedap sgt...

hannan_lfah said...

takziah dekat abg nubhan

Unknown said...

takziah nubhan walau dah terlambat pon.....tp kerjaya mesti diteruskan....jangan luper tlg blikan gelang tuk sayer skali...