Monday, August 11, 2008

Nubhan sudah ‘berubah’


Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
Harian Metro

Sebaik diumumkan pemenang tempat ketiga AF6, Nubhan sudah merasai bahang sebenar bergelar artis. Segala perbuatan dan penampilannya sering diperhatikan. Ada yang menerima, malah tidak kurang juga sentiasa menunggu untuk melihat pemuda bersuara gemersik itu melakukan kesilapan.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Ada Untukmu itu mengakui berdepan tekanan sedemikian. Bagaimanapun, dia menerimanya sebagai lumrah dalam dunia seni.

Justeru, sebagai individu yang baru berkecimpung dalam dunia seni, dia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Jelas Nubhan, dia mengambil inisiatif untuk memperbaiki diri.

“Saya perlu menjaga penampilan daripada seorang yang sempoi dan selekeh kepada imej selebriti. Bukan hipokrit atau perlu berpura-pura dalam soal ini.

“Saya kini merasai bahangnya apabila segala tindak- tanduk dan kelakuan kerap diperhatikan. Seolah-olah ada saja kelakuan yang tidak kena.

“Mungkin ada yang beranggapan saya sombong atau ‘besar kepala’. Sebenarnya saya selalu mencuba untuk tidak menghampakan sesiapa. Kalau boleh, saya mahu melayan semua orang.

“Adakala saya tidak sedar mungkin ada perbuatan yang boleh mengecewakan orang lain. Sebagai manusia, saya juga banyak kekurangan,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil untuk peminatnya di Masjid Al Iman As Shafie, Taman Maluri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis itu diadakan untuk dua peminatnya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser, Athira Kamalia Kamaruzaman, 15, dan Aina Nabila Aqasha, 20, kerana ditimpa kemalangan.

Katanya, dia bersimpati dengan nasib keluarga peminatnya itu lalu menganjurkan majlis berkenaan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan berita ini kerana mereka peminat saya. Bagi saya, peminat amat penting dalam kerjaya artis. Penganjuran majlis ini juga sebahagian daripada penghargaan saya kepada mereka,” katanya.

Lebih 200 orang menghadiri majlis ringkas anjuran Kelab Peminat Nubhan (Nubhan FC) yang turut dihadiri penaungnya, Datuk Khalid Yunos.

Mengulas perkembangan seninya, Nubhan bakal tampil dengan lagu single sempena menyambut Syawal tidak lama lagi. Di samping terbabit dengan undangan menjayakan persembahan, dia turut mendalami ilmu vokal bersama Ning Baizura di bawah Artistes United Records (AUR).

Sementara itu, Presiden Nubhan FC, Farah Mawar Mohd Ishak, 23, berkata, pihaknya menyokong penuh pembabitan penyanyi itu dalam dunia seni tanah air, malah merancang pelbagai aktiviti.

“Majlis ini sebagai inisiatif daripada pihak pengurusan kelab selepas mendapat tahu berita sedih atau kemalangan membabitkan peminat Nubhan. Selain majlis tahlil, kami juga mendermakan surah Yasin yang dicetak nama arwah sebanyak 200 naskhah kepada masjid berkenaan,” katanya.

Jika tiada aral, pihaknya dijangka merancang mengadakan kenduri kesyukuran selain majlis berbuka puasa pada masa akan datang. Setakat ini, lebih 3,000 bilangan ahli kelab dari seluruh Malaysia dan Brunei sudah berdaftar menerusi laman web http://cayalahnubies.com


Dipetik dari Harian Metro

7 comments:

Solly Salihah said...

wah..
mula-mula baca, ingat kan apa yang nubhan berubah...sespen juga..sebab ucu rasa dia sama jer macam nubhan ucu kenal dulu... upanya dia berubah dari segi penampilan... lega sikit!!!

ok lah semua nya, tapi nama far silap ker??farah mawar?? betul kan ucu kalau salah... setau ucu, Farah Nawar kan!! tak per lah kesilapan kecil, tapi nama macam tak best kalau silapkan...

tapi pape pun harap Nubhan FC akan terus maju ok!!!

Anonymous said...

Tittle artikel ni mcm nak provoke org je....hehehhe....

Anonymous said...

Nubhan.. Ko buat la lagu ala2 Dewa. Suara husky2 sikit.

Cael said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Cael said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

hi nubhan,

tak kan update blog setakat copy paste jer berita dalam paper.

baik kitoarang baca paper jer.. tak yah baca blog.. uhuhu...

Anonymous said...

hi nubhan,

tak kan update blog setakat copy paste jer berita dalam paper.

baik kitoarang baca paper jer.. tak yah baca blog.. uhuhu...