Saturday, January 31, 2009

Nubhan 'jual diri' kepada peminat.

Oleh Rudy Imran Shamsudin

imran@hmetro.com.my

Pelbagai perkara menarik bakal dilakukan artis ini pada majlis yang dikelolakan penganjur majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08), dalam usaha menarik perhatian pengunjung sekali gus membantu mengutip derma sebanyak mungkin.

Paling menarik apabila pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Ahmad Nubhan (Nubhan) Ahamad mahu 'menjual' dirinya kepada peminat bertuah.

Usah salah sangka dengan kenyataan berani Nubhan ini, sebaliknya penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu menegaskan yang dia tidak akan melakukan perkara yang melampaui batas.

Ketika dihubungi mengenai perancangannya itu, jelas Nubhan dia akan menjual masanya kepada pembida paling tinggi pada hari ini dan pembeli bertuah berpeluang menghabiskan masa bersamanya sejam.

"Saya memilih menghabiskan masa bersama penderma bertuah itu kerana berasakan ia lebih menarik daripada melelong barang milik peribadi.

"Selepas berjaya membeli, pembida itu sendiri boleh menentukan masa sesuai untuk mereka bertemu selama satu jam.

"Pembeli boleh menyuruh saya melakukan apa saja mengikut kehendak mereka sama ada keluar makan, mahu saya memasak untuknya, mengemas rumah atau bersiar-siar. Pendek kata saya milik mereka sepenuhnya dalam tempoh masa satu jam itu," katanya.

Bagaimanapun, menurut Nubhan, dia sedih kerana tidak akan berada di lokasi acara diadakan kerana terikat dengan persembahan yang sudah ditempah lebih awal di Kota Kinabalu, Sabah.

"Walaupun tidak dapat bersama dengan rakan lain, saya mengharapkan sokongan peminat untuk menjayakan majlis.

"Lelongan saya akan dilakukan penganjur ABPBH08 sambil disaksikan pihak pengurusan Artistes United Records and Management.

"Saya sendiri sebenarnya tidak sabar mahu melihat siapakah insan berhati murni yang mahu mendermakan wangnya bukan untuk saya semata-mata tetapi bagi membantu mangsa kekejaman Zionis di Gaza, Palestin," katanya.

Sementara itu Mohd Aizat (Aizat) Amdan memilih untuk menjual gitar lama dan dua jaket miliknya sewaktu menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

Kata Aizat, kedua-dua jaket itu sudah tidak boleh dipakai memandangkan dia kini sudah kurus dan cukup besar untuknya.

"Saya rasakan selain gitar yang akan dijual dengan harga beberapa ratus ringgit saja, jaket AF akan menjadi tumpuan pengunjung terutama kepada peminat setia rancangan itu sejak musim pertama.

"Kepada peminat AF, mereka pasti ingat corak jaket terbabit terutama di belakangnya ada tertera AF dan rasanya lakaran terbabit 'paling mahal' membuatkan ramai orang mahu membidanya apabila dilelong nanti," katanya.

Selain itu, kata Aizat bagi memberikan kesedaran kepada pengunjung, dia akan menjual lencana menunjukkan lambang tiada peperangan yang digayakan di Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23), baru-baru ini.

Penyanyi Farawahida yang peringkat awal bercadang mahu menjual roti jala bersama kuah kari terpaksa membatalkan hasratnya apabila pihak penganjur memintanya membantu menjual kek yang ditaja 10 hotel terkemuka.

"Saya akan melakukan apa saja, asalkan peminat bersedia mendermakan wang mereka untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza. Pada saya bukan saja sebagai artis tetapi secara peribadi berasakan ini satu tanggungjawab perlu dilakukan bagi membantu mereka kurang bernasib baik," katanya.


Sumber: Harian Metro

3 comments:

Tengku Speki said...

BILA ALBUM NUBHAN AKAN BERADA DI PASARAN??????

Anonymous said...

Lambatnya album kamu nak kuar nub...!!!!!

Unknown said...

beta ske r yg pic LV tuh..