Wednesday, October 29, 2008

Kisah gemuk Aizat, diva Nubhan

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my



DUA nama ini boleh dilihat agak 'besar' sejak kebelakangan ini. Siapa yang tidak kenal dengan Nubhan dan Aizat, dua jejaka kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF).

Meskipun tidak bergelar juara, tuah mereka datang tatkala program itu berakhir. Jika tidak masakan, lagu-lagu dendangan mereka berdua juga dengan mudah mendapat tempat di hati peminat.

Kebetulan kedua-dua bekas bintang AF ini bertemu apabila sama-sama terlibat dalam konsert anjuran LFI Event & Entertainment di Papar Sabah dan peluang ini digunakan dengan menggandingkan mereka dalam sesi fotografi yang berlangsung di Borneo Dinawan Island Resort.

Mereka dilihat memiliki karakter yang cukup berbeza. Kalau Nubhan lebih banyak berdiam diri, Aizat pula lebih banyak berkata-kata dan sesekali memetik gitar kesayangannya yang diusung ke hulu-hilir tanpa disuruh.

Walaupun bukan daripada AF musim yang sama, mereka berdua mempunyai cerita yang cukup menarik untuk dicungkil sedalam-dalamnya.

Bedah untuk kurus?

Pelatun lagu popular, Sahabat, Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita ini semakin hari semakin diminati. Bukan saja dek lagu dendangannya yang mesra telinga tetapi juga perubahan imejnya daripada seorang remaja yang 'bulat' kepada seorang remaja yang semakin susut berat badannya.

Malah, penampilannya juga semakin menarik. Sesuai dengan lagu-lagu yang dibawakannya.

Sungguhpun Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan yang kini berusia 19 tahun, semakin diminati, ada juga cerita-cerita kurang enak tentang pengurangan berat badannya yang dulu pernah mencapai sehingga 120 kilogram.

Ada yang mengatakan dia mengambil jalan mudah dengan melakukan pembedahan dan ada juga yang mendakwanya mengambil bahan terlarang untuk kurus dalam kadar segera.

Aizat yang mendengar soalan panas Kosmo! ini hanya mampu tergelak besar sambil mengatakan dia bukan gila untuk merosakkan diri sendiri.

"Tidaklah, mana ada saya buat bedah-bedah tu semua. Sebenarnya saya lagi takut dengan pembedahan sebab boleh mati. Saya tidak sanggup dan tidak percaya pada benda yang senang.

"Semua benda yang kita inginkan haruslah disertakan dengan usaha kalau tidak pasti tidak dapat apa yang kita nak. Macam saya bersenam, kurangkan makan. Selain untuk kesihatan bila saya kurus, itu satu perkara yang bagus sebab itu saya ingin kekalkan,"ujar Aizat.

Dia yang tidak berkecil hati dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya menganggap ia adalah lumrah dunia seni, dan sejak dia terlibat dalam AF musim ke lima dia sudah pun bersedia daripada metal dan fizikal.

"Benda ini biasalah, bukan semua benda yang saya buat orang suka. Saya tidak kisah pun sebab saya tidak lakukan apa-apa kesalahan kecuali mengecilkan sikit saiz badan saya (ketawa).

"Saya tidak pernah menipu, apa saja yang saya buat biarlah keluarga yang tahu segalanya. Sekarang ini, saya selesa dan bahagia dengan diri saya yang baru," terang Aizat.

Bukan diva! - Nubhan

Akhir-akhir ini, banyak pihak yang menyentuh tentang perangai dan sikap Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 22, yang dikatakan sombong, berlagak diva dan susah bergaul dengan orang sekeliling.

Semua cerita negatif ini sedikit sebanyak telah mencalarkan kredibiliti Nubhan sebagai seorang penyanyi profesional. Dia yang tekun mendengar semua tohmahan itu hanya terdiam kaku.

"DUA remaja yang masih mencari rentak selesa dalam dunia muzik dan lagu yang menjadi minat mereka."


Kemudian dia menjawab: "Cerita saya berlagak diva atau sombong itu saya tidak tahu nak cakap macam mana lagi. Sebenarnya saya memang jenis orang yang tidak banyak bercakap.

"Lagipun saya ni artis baru, saya takut dan tidak tahu apa yang mahu diborakkan dengan orang sekeliling. Nanti kalau saya cakap benda yang salah nanti takut pula orang fikir yang bukan-bukan, bila saya diam orang kata saya sombong pula.

"Lepas ini saya akan belajar untuk bercakap banyak sikit . Saya akui selain masih gemuruh di pentas saya juga masih dalam proses belajar terutamanya bab berkomunikasi dengan orang ramai," terangnya sambil tertawa kecil.



Dia yang merupakan artis naungan Artistes United Records (AUR) juga didakwa kurang berdisiplin dek kerana gagal menghadiri satu sesi fotografi yang telah diaturkan untuk sebuah majalah.

Masalah timbul apabila dia seharusnya digandingkan dengan seorang selebriti wanita, dan setelah cuba dihubungi sepanjang hari tiada jawapan yang diterima baik daripada Nubhan mahupun pihak pengurusannya.

"Sebenarnya masa hari itu, saya pakai kad sim yang lain, jadi memang tidak dapatlah kalau orang hubungi saya, lagi pun masa itu saya langsung tidak diberitahu tentang sesi fotografi. Kalau saya tahu memang saya akan datang.

"Saya sedar tentang hal ini, pada tengah malam apabila saya tukar balik kad sim lama dan lihat banyak pesanan. Memang saya risau, pagi-pagi buta itu juga saya terus telefon pihak pengurusan dan bertanyakan hal ini.

"Memang salah kami sebab pihak pengurusan pun terlupa dan mereka sibuk ketika itu, apa pun saya minta maaf sangat-sangat kepada pihak berkenaan," ujarnya.

Tambah Nubhan lagi, sejak daripada peristiwa itu dia mendapat pengajaran baru iaitu dia sendiri akan periksa jadual hariannya bukan saja bergantung sepenuhnya kepada pihak pengurusan.

"Itu memang sepatutnya, saya sedar yang lepas ini saya kena lebih peka dengan jadual sendiri dan apa yang berlaku. Tidak terlalu mengharapkan pihak pengurusan. Apa saya berharap perkara seumpama ini tidak akan berulang," kata anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi.

Saling kagum

Walau cerita kurang enak menyelusuri perjalanan seni dua anak muda ini, tetapi mereka berdua menganggap ia sebagai satu dugaan yang harus ditempuh apabila tekad untuk berada dalam dunia hiburan.

Aizat yang kini dalam proses membuat lagu untuk pembungkusan semula album perdananya Percubaan Pertama, manakala Nubhan yang sedang dalam proses merakam lagu untuk album pertamanya memberitahu mereka saling kagum dengan bakat seni masing-masing.

"Sebagai seorang penyanyi, saya cukup kagum dengan Nubhan, sebab saya rasa lagu nyanyiannya Ada Untukmu sesuai dengan nada suaranya. Suara dan genre lagu kami agak berbeza tetapi kalau mahu berduet boleh saja tetapi mahu ke Nubhan nak berduet dengan saya (ketawa)," ujar Aizat.

Nubhan yang berada di sebelah hanya tersenyum dan berkata, kalau ada rezeki pastinya dia tidak akan menolak untuk berduet sama dengan rakannya itu.

"Boleh saja, tetapi sekarang ini album pertama pun saya tidak lepas lagi, tunggulah dulu. Saya boleh saja, sebab saya pun suka lagu-lagu Aizat.

"Kalau boleh saya pun mahu belajar untuk cipta lagu macam Aizat, sebab sebagai penyanyi kalau cipta lagu sendiri kita lagi tahu apa yang kita mahukan dalam sebuah lagu. Sekarang ini saya masih sibuk, kalau ada masa terluang saya akan cuba untuk buat lagu sendiri," luahnya yang boleh bermain gitar.

Sebelum mengakhiri bicara dua pemuda ini sempat berkongsi istilah muzik pada mereka berdua.

"Muzik satu seni yang tiada titik noktah, ia juga menyatukan manusia, dan jika sudah minat, selagi mampu kita pasti akan teruskan, bukan saja untuk diri tetapi untuk semua orang yang menghayati muzik," kata Aizat sambil diiakan Nubhan.


Dipetik dari Kosmo!

7 comments:

HelmiLassim said...

anak bongsu selalunyer memang jenis yang tak banyak cakap...
lebih suke menyendiri...

tak pe ba'an...
ko blaja dari kesilapan ok...
terus kan usaha...

cayalah!!!!!

Ajoy said...

cayalah.................

Ajoy said...

cayalah.................

Harney said...

it's ok...dunia artis biase la...ade yg jeles kalo kite dah berjaya kan....xpe..lagipon nubhan kan baru lagi...

Anonymous said...

Sebab dia artis dan masih baru la ramai org nak tegur, bukan sebab dengki atau apa, tapi kalau btol2 n sah2 berlaku kat depan mata sendiri dan menjadi bualan ramai org, mmg perlu utk kita selidiki adakah betul atau tidak nubhan berangan Diva n etc.

Manusia mmg ada sifat pemalu, tidak dinafikan. Dato Siti Nurhaliza pun ada sifat pemalu, tetapi jangan jadikan itu alasan utk mengetepikan pandangan org sekeliling tentang apa isu yg diperkatakan.

Amik teguran tu sebagai pengajaran, kalau org ckp anda sombong maka berubahlah dan belajarlah utk jd lebih peramah. Jgn ckp tak boleh, mesti kena boleh! dah masuk industri ni mmg kena jd mcm tu. Ingat, Jatuh Bangun artis terletak di tangan peminat, wartawan & pemerhati yang lainnya.

InsyaAllah, anda boleh lakukan.
Sekadar pandangan ikhlas, be positive ya. Thanx.
good Luck.

Anonymous said...

nak kurus macam aizat...wawawa...

KuNora said...

Makcik suko nengokkan dak nubhan ni nyanyi.Pandai-pandai le jaga diri bila jadi artis yo dak nubhan. Selamat maju jayo!