Wednesday, July 23, 2008

Ning ‘pikat’ Nubhan

Oleh Rudy Imran Shamsudin
Harian Metro


Bakat dimiliki bintang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu sudah diperhatikan Ning sebaik konsert minggu pertama AF6 yang berlangsung akhir Mac lalu.

Ning punya kelebihan menilai potensi dimiliki penyanyi yang sedang popular dengan single Ada Untukmu itu apabila menjadi pengkritik tetap sepanjang konsert program realiti itu dijalankan.

Ditemui di majlis menandatangani kontrak antara AUR dan syarikat pengurusan Maestro Talent and Management yang diadakan baru-baru ini, jelas Ning pihaknya berminat melamar Nubhan kerana berasakan bintang muda itu mampu pergi jauh dengan vokal dimiliki.

“Malah hampir semua orang dalam industri muzik tempatan apabila saya tanya siapakah bakat muda dalam AF6 dilihat paling menonjol dan mampu pergi jauh. Rata-rata berkata Nubhan. Mendengarkan maklum balas itu membuatkan keinginan AUR melamar Nubhan semakin kuat,” katanya.

Proses untuk menandatangani perjanjian bersama syarikat pengurusan Nubhan turut mengambil masa kerana ke dua-dua belah pihak harus meneliti kontrak demi kebaikan artis yang dijaga.

“Secara asasnya perjanjian dibuat sama dengan apa yang pernah dilakukan Maestro Talent & Management atau KRU Records sebelum ini, di mana pengurusan dilakukan ke dua-dua belah pihak.

“Setiap bayaran persembahan diterima, sebagai artis Nubhan memperoleh 70 peratus sementara AUR dan Meastro akan berkongsi bakinya. Sementara tawaran yang diterima Nubhan sebagai jurucakap produk, bayaran 50 peratus akan diberikan kepada artis selebihnya akan dikongsi kedua-dua syarikat,” katanya.

Lebih menggembirakan Nubhan apabila perjanjian dilakukan di hadapan kedua ibu bapanya Ahmad Abdul Rahman dan Badariah Omar.

Menjelaskan mengenai usahasama dijalinkan, Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez berkata kontrak yang dimeterai selama tiga tahun itu akan memberi manfaat kepada Nubhan.

“Kepakaran dan pengalaman yang dimiliki AUR dan di gabung puladengan pengalaman pihak Maestro, kami percaya kolaborasi ini mampu mencetuskan sesuatu yang positif.

“Ini bukan kali pertama Maestro bergabung tenaga dengan syarikat rakaman lain dalam usaha mengembang dan mempertingkatkan lagi bakat yang ada. Maestro turut mengalu-alukan usaha sama begini dengan mana-mana pihak yang sudi melamar artis naungan kami.

“Menyentuh mengenai perancangan kerjaya seni Nubhan, segalanya akan dilakukan bersama termasuk pembikinan album juga penampilan imej. Buat permulaan saya menggalakkan agar kami menghasilkan beberapa single. Mengikut perancangan kos untuk pembikinan album akan dibiaya sama rata,” katanya.

Bapa Nubhan, Ahmad Abdul Rahman mengharapkan perjanjian yang dimeterai akan membawa kebaikan untuk kerjaya seni anaknya.

“Saya percaya dengan Ning dan syarikat rakamannya kerana mereka mempunyai pengalaman luas dalam dunia nyanyian. Kalau ikutkan hati saya tidak benarkan dia menceburi bidang seni kerana bimbang dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

“Sebagai bapa secara jujur saya tidak tahu yang Nubhan suka menyanyi. Malah tidak pernah saya mendengar dia menyanyi sehinggakan konsert minggu pertama AF6. Tetapi tidak mengapalah dia lelaki, tapi kalau anak perempuan memang saya tidak benarkan.

“Saya yakin kerjasama dibuat membolehkan perhatian lebih diberikan kepada Nubhan di samping mengawal segala gerak gerinya. Sebagai bapadan ibunya kami mendoakan segala yang baik untuknya,” katanya.


Dipetik dari Harian Metro

No comments: