Sunday, July 27, 2008

Nubhan & Toi macam abang, adik




Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


BIARPUN penampilan Nubhan lebih menonjol dan menjadi perhatian, tidak sedikitpun terdetik di hati Toi untuk menyimpan perasaan cemburu atas kejayaan rakannya itu. Malah, Toi sentiasa menjadi abang yang memberi tunjuk ajar kepada adiknya.

Antara Toi dan Nubhan, mereka bagaikan adik beradik. Bukan saja tinggal sebumbung, malah sama-sama mengharungi suka duka bergelar anak seni. Toi bukan saja kawan baik, malah menjadi abang dan teman setia yang sentiasa bersama Nubhan.

Mungkin nasib Toi tidak sebaik Nubhan yang kini disambar Artistes United Records (AUR) milik penyanyi terkenal, Ning Baizura sejurus keluar Akademi Fantasia (AF). Namun, Toi punya keistimewaan tersendiri, selain bergelar pemain angklung bertaraf dunia, bapa kepada dua cahaya mata itu sudah lama berkecimpung dalam arena dunia hiburan.

Bagi Nubhan, Toi bukan saja kawan baik, malah abang dan teman yang setia mendengar apa saja masalah yang membelenggu dirinya. Mereka saling memahami malah membuatkan persahabatan mereka lebih ikhlas, Toi tidak sedikitpun menyimpan perasaan iri hati terhadapnya.

Akui Nubhan, bukan mudah mendapat kawan baik seperti Toi yang sentiasa positif dengan setiap apa dilakukan. Toi juga banyak memberi tunjuk ajar memandangkan pengalamannya dalam bidang seni lebih meluas dan lama.

“Toi seorang happy go lucky dan pembersih. Dia bagaikan abang yang sentiasa menasihati saya. Jika ada masalah, saya senang meluahkan padanya kerana Toi seorang yang sering melihat sesuatu masalah dari sudut positif, bukannya menambah kekusutan. Saya bersyukur bertemu Toi. Saya akui bukan semua kawan boleh berkongsi apa saja dengan saya, ada antaranya lebih suka melihat kegagalan daripada kejayaan diperoleh. Jadi, dalam berkawan, saya sentiasa berhati-hati kerana rambut sama hitam tetapi hati lain-lain,” katanya.


Nubhan banyak berubah

Nubhan akui dirinya terkejut dengan senario yang berlaku selepas keluar AF. Walaupun sudah diberitahu tenaga pengajar, tetapi suasana yang dihadapi tidak pernah dijangka.

“Hidup saya banyak berubah. Bukanlah terkena badi kejutan budaya tetapi apa yang saya lalui hari ini tidak pernah saya duga sama sekali. Sebelum ini, saya bebas ke mana saja dan gaya pun ala kadar, tetapi bergelar penyanyi banyak merubah hidup saya.

“Selain kena jaga penampilan, saya juga kena jaga hati peminat. Kini, apa pun saya lakukan dipandang peminat, jika mula keluar AF dulu, setiap langkah saya pasti terhenti apabila ada saja peminat mengejar dan mahu ambil gambar,” katanya yang juga anak bekas imam masjid di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Bagi Toi pula, tiada istilah kejutan budaya pada dirinya memandangkan bukan setahun dua bergelumang dalam dunia hiburan. Sebelum menyertai AF6, Toi pernah menjelajah dunia dan dua kali diiktiraf sebagai pemain angklung terbaik dunia. Dia mula berjinak dalam dunia muzik tradisional dan moden sejak berusia lapan tahun lagi.

“Saya mungkin agak ketinggalan jika dibandingkan Nubhan. Dia lebih menonjol dan popular. Mungkin faktor usia dan sudah berumah tangga membuatkan peminat lebih memilihnya tetapi itu rezeki Nubhan. Saya juga ada cara yang tersendiri untuk menambat peminat saya. Tidak pernah terlintas di hati untuk iri hati dengan kejayaan Nubhan, malah saya akan terus menyokong dan memberi semangat kepadanya. Saya senang bersama Nubhan, dia seorang yang mendengar kata dan selalu berbincang untuk melakukan sesuatu.

“Saya mula berjinak-jinak dalam dunia muzik ketika berusia 13 tahun lagi. Ketika itu, saya sering mengikut kawan jamming di studio dan belajar menyanyi dan bermain alatan muzik seperti dram dan gitar. Selepas selesai persekolahan, saya mula bermain angklung. Saya belajar sendiri dengan mendengar sesebuah lagu dan gerak hati.

“Sejak pandai bermain angklung, saya aktif melakukan persembahan bersama Kumpulan Seni Budaya Johor hinggalah dibawa menjelajah dunia dengan kemahiran diberikan ini. Jika tiada persembahan budaya, saya akan kembali bermain muzik di kelab malam tetapi nasib saya berubah selepas menyertai AF6,” katanya.


Dipetik dari Bintang Popular

No comments: