Thursday, July 17, 2008

Nubhan Disunting Jadi Artis AUR




Teks oleh Haswari Ali

KUALA LUMPUR, 17 JULAI 2008: Meskipun hanya memenangi tempat ketiga, finalis Akademi Fantasia 6, Ahmad Nubhan Ahamad, tetap laris dan kini disambar oleh Artistes United Records (AUR) untuk bergelar artis ketiga naungan syarikat itu.

AUR yang dimiliki penyanyi popular Ning Baizura sebagai pengarah dan pernah menempatkan 2 lagi penyanyi muda iaitu Yanie dan Nicky melalui kolaborasi bersama Maestro Talent and Management Sdn Bhd (Maestro).

Kontrak yang diikat selama 3 tahun itu dipersetujui antara dua belah pihak yang akan memberi manfaat kepada Nubhan dalam memperkembangkan lagi bakat seninya.

Ditemui ketika majlis sidang media sempena kolaborasi berkenaan di sini semalam, Ketua Pegawai Operasi (CEO) Maestro, Freddie Fernandez berkata, kolaborasi itu adalah kesinambungan daripada kejayaan kerjasama yang pernah dibuat ke atas 2 artis naungan mereka, Dafi dan Adam.

"Ini adalah satu lagi kerjasama seperti mana kolaborasi yang pernah kami jalankan bersama KRU di mana Dafi dan Adam berkongsi pengurusan bersama kami. Sekarang pula giliran Nubhan dan ia tidak banyak bezanya," kata Freddie kepada pihak media.

Sementara itu, Ning berkata, kolaborasi bijak itu memberi peluang kepada pihaknya untuk mencipta nama Nubhan sebaris dengan penyanyi lelaki tempatan sedia ada.

Katanya, suara gemersik Nubhan yang jarang ada pada kebanyakan penyanyi lelaki tanah air selain latar belakang keluarga penyanyi muda itu, menambat hatinya untuk mengambil Nubhan bernaung di bawah AUR.

"Sebenarnya sejak pertama kali mendengar Nubhan menyanyi di AF6 lagi, saya mula tertarik untuk mengambil Nubhan sebagai artis saya. Kami percaya dengan bakat Nubhan. Sudah lama di Malaysia kita tidak ada penyanyi bersuara gemersik yang mampu memberi saingan sengit kepada penyanyi tempatan, Indonesia mahupun Singapura.

"Insya-Allah apa yang kita usahakan akan berhasil. Bagaimanapun itu terpulang dengan kerjasama yang diberikan artis itu sendiri," kata Ning.

Jelas Ning, Nubhan mencipta sejarah tersendiri apabila bergelar penyanyi lelaki pertama syarikatnya itu dan oleh kerana itu pihaknya sudah menyusun strategi tersendiri untuk menjana perkembangan kerjaya nyanyian Nubhan dari semasa ke semasa.

"Banyak perancangan sudah dibuat untuk Nubhan, antaranya memperkenalkan single kedua dan seterusnya. Kita akan memantau pasaran industri muzik masa kini, apatah lagi sekarang ini pasaran lebih kepada muat turun dan ringtones. Jadi sudah tentu kami miliki strategi yang berbeza untuk Nubhan.

"Untuk 2 hingga 3 bulan pertama, kita akan groom Nubhan dari segi imej dan vokal. Juga latihan nyanyian tanpa henti buatnya. Pendek kata tumpuan akan kami berikan sepenuhnya kepada Nubhan, bukan setakat 50-50," katanya.

Sementara itu Freddie berkata, tidak akan wujud persepsi 'kurang sedap didengar' apabila seorang lagi artis Maestro dipilih oleh syarikat luar untuk menjalankan kolaborasi bijak itu.

Kata Freddie, kejayaan seseorang penyanyi datang daripada kedua-dua belah pihak dan Maestro dalam masa yang sama memikul tanggungjawab serupa dalam memastikan artis mereka kekal menjadi pilihan peminat.


dipetik dari murai.com.my

No comments: