Friday, July 18, 2008

Nubhan milik Ning 3 tahun


Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

ANAK DIDIK: Ning mengusik Nubhan yang menjadi artis ketiga syarikat rakamannya, Artistes United Records.

Bintang Akademi Fantasia itu menganggap kerjasama itu bagai bulan jatuh ke riba

PERTAMA kali mendengar suara jejaka berusia 22 tahun ini, naluri penyanyi bersuara soprano Ning Baizura kuat menyatakan dia mempunyai bakat besar untuk diketengahkan sebagai penyanyi pelapis lelaki di negara ini.

Gemersik alunan serta memiliki nada yang berbeza dengan apa yang pernah didengarnya sebelum ini membuatkan Ning tidak teragak-agak untuk melamar pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan untuk menjadi artis ketiga bernaung di bawah syarikat rakamannya, Artistes United Records (AUR) selepas Nikki dan Yanie.

“Nubhan bukan saja mempunyai vokal yang bagus tetapi juga mempunyai latar belakang keluarga yang baik-baik. Pendek kata dia hadir bersama pakej iaitu pelengkap untuknya menjadi seorang artis yang diminati.

“Insya-Allah, kami akan cuba untuk menggilap bakatnya supaya boleh diketengahkan sebagai penyanyi lelaki yang hebat memandangkan industri ketika ini ketandusan penyanyi lelaki berbakat besar,,” ujar Ning yang juga Pengarah AUR pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat pengurusan Nubhan, Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro) di Bukit Damansara, Kuala Lumpur kelmarin.

Dalam perjanjian itu, Nubhan akan mengikat kontrak bersama AUR selama tiga tahun. Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez serta ibu bapa Nubhan, Ahamad Abdul Rahman dan Badariah Omar serta ahli keluarga lain.

RASMI: Nubhan menandatangani kontrak di samping Vernon, Freddie dan Ning Baizura.

Sebagai langkah awal, Ning berkata pihaknya sudah merancang pelbagai strategi untuk anak didiknya itu sebelum dia betul-betul bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang artis.

“Terus-terang saya katakan persediaannya untuk bergelar artis baru lima peratus. Masih banyak lagi yang perlu dia pelajari. Jadi kami akan peram dia selama dua hingga tiga bulan untuk dia berlatih terutama dari segi vokal, komunikasi serta membina keyakinan diri apabila berdepan dengan peminat kerana itu adalah perkara asas untuk bergelar penyanyi.

“Mengenai konsep album yang akan dirakamkan, kita akan tengok mana yang sesuai.Kalau ikutkan tuan punya diri, dia lebih menggemari irama Pop Rock. Dari segi imej pula, kami mahu bentuk dia sebagai penyanyi remaja yang nampak segar,” jelas si pelantun Awan Yang Terpilu ini.

Bagaimanapun, Ning menjelaskan walaupun Nubhan adalah artis naungan mereka namun dari segi pengurusan, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini masih tertakluk di bawah penjagaan Maestro.

“Ini adalah perkongsian bijak antara AUR dan Maestro dan bermakna semua urusan membabitkan Nubhan perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak. Begitu juga dengan soal keuntungan, prosedurnya tetap sama dengan apa yang diamalkan Maestro sebelum ini.

“Sebagai contoh, dalam menghasilkan single untuk Nubhan kami akan bergilir-gilir menerbitkannya. Mungkin untuk single kedua nanti selepas Aku Ada Untukmu, AUR yang akan terbitkan. Begitu juga dengan penghasilan album solonya di mana kami akan bekerjasama dengan Maestro untuk menerbitkannya,” jelas Ning sambil dipersetujui Freddie di sebelahnya.

Sementara itu, Nubhan ketika mengulas penyertaannya sebagai keluarga baru AUR menyifatkan tawaran itu ibarat bulan jatuh ke riba buatnya.

“Rasa bersyukur dan bertuah sangat kerana ada pihak yang percaya dengan bakat Nubhan apatah lagi orang yang ingin membimbing Nubhan itu seorang artis seperti Kak Ning yang kita lihat sebagai antara artis yang berjaya sehingga ke hari ini.

“Nubhan pandang pada kejayaan yang dicapainya dan itulah meyakinkan Nubhan untuk bernaung di bawah syarikatnya. Nubhan harap dengan bantuan Kak Ning dan pengurusnya, Vernon, cita-cita Nubhan akan tercapai. Insya-Allah Nubhan akan berusaha gigih, lebih fokus serta buat yang terbaik,” janji Nubhan yang muncul di majlis perjanjian itu dengan imej ala penyanyi Hong Kong.


Dapat restu keluarga


DAPAT RESTU: Perjalanan karier seni Nubhan disokong keluarga terutama ayah dan ibu.

DOA yang dibaca dengan penuh khusyuk oleh ayahnya pada majlis menandatangani perjanjian itu membuktikan betapa keputusan Nubhan untuk menjadi anak seni direstui seluruh keluarganya.

Menurut Ahamad, walaupun hasrat Nubhan itu bukanlah sesuatu yang dicita-citakannya, namun melihat kepada kesungguhan anak bujangnya itu, sebagai bapa dia hanya mampu memberi sokongan dari jauh.

“Saya memang tak tahu dia boleh menyanyi dan tak tahu dari mana dia belajar menyanyi sehinggalah saya dengar suaranya sewaktu di AF dulu.

“Kalaulah itu minatnya, sebagai bapa hanya doa yang saya berikan supaya dia terus berjaya dalam bidang ini. Cuma apabila saya lihat dia semakin berjaya, timbul perasaan bimbang di dalam hati takut dia terbabas,”jelas Ahamad mengenai anak bongsunya itu.

Ditanya apakah reaksinya jika Nubhan terpalit dengan gosip yang boleh mencalarkan maruah, Ahamad lebih bersikap positif berhubung perkara itu.

“Bagi saya, gosip itu perkara biasa dan sebagai artis memang tidak boleh lari dari tempias gosip. Lagipun, saya percaya masyarakat hari ini lebih bijak menilai apa sebenarnya yang berlaku. Apa yang saya harapkan, Nubhan pandai menjaga diri supaya tidak terbabas dan terleka,” katanya yang menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Nubhan.


dipetik dari Berita Harian

4 comments:

Solly Salihah said...

tahniah nubhan..
tahniah semua..
semoga terus berjaya...

p/s : ning & vern, kalau nubhan degil sila cubit telingan dia sehingga putus....

.:: Hani ::. said...

tahniah.. good luck.. semoga selalu berjaya

Anonymous said...

alhamdulillah..nmpknya keluarga pun merestui apa yg Nubhan inginkan....
semoga perjalanan karier Nubhan akan berjln lancar slps ni...
tak sabar nak tunggu single terbaru dari Nubhan...

Lucky Star said...

Mcm ayah Nubhan juga, Lucky pun harap Nubhan akan sentiasa berada di landasan yang betul dan tidak terbabas. Jadi artis ni terlalu byk dugaan.