Tuesday, September 2, 2008

Syahdu berbuka

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Tetap ligat ketika Ramadan: Puasa tak bataskan pergerakan Farah, Nubhan dan Aizat


RAMADAN datang lagi dan kali ini Hip dapat mengumpulkan tiga bintang comel, Farah, Aizat dan Nubhan yang dulunya bersaiz agak besar tetapi kini sudah langsing serta bergaya. Pada mulanya fokus Hip hanya pada isu itu tetapi akhirnya secara kebetulan, tanpa disedari mereka juga adalah anak seni yang mula melakar nama dalam program realiti nyanyian yang cukup popular iaitu Akademi Fantasia. Yang penting, mereka bertiga kurus secara sihat.

Di satu lokasi yang dirahsiakan, mereka dikumpulkan dalam suasana yang cukup gamat dan meriah. Mereka sama-sama berbuka puasa secara pot luck. Farah membawa ayam goreng kegemaran ramai, Kentucky Fried Chicken manakala Aizat pula membawa kuih karipap yang cukup enak hingga licin pinggan dihabiskan mereka. Nubhan pula tidak sempat membawa juadah berbuka gara-gara tersekat dengan kesesakan lalu lintas di jalan raya.

Tapi tidak mengapa, sikap profesional mereka memudahkan sesi fotografi berbuka puasa ini dijalankan kerana gelagat dan keletah masing-masing cukup menyeronokkan. Menurut Farah, biarpun dia jarang berjumpa dengan Aizat dan Nubhan, tetapi dia ternyata seronok dapat berbuka puasa bersama-sama. Kata Farah lagi, karipap yang dibawa Aizat memang sangat sedap. Tapi kalau Farah nak tahu, karipap itu Aizat beli khas untuk fotografi ini.


Kurus selepas lihat Rosma


FARAH memang antara bintang Akademi Fantasia musim kedua yang masih utuh meneruskan legasi seninya biarpun program realiti itu sudah bersiaran selama enam musim. Sepanjang hujung minggu di dalam bulan Ramadan ini, Farah, 23, sekali lagi terbabit bersama personaliti Astro dan bintang Akademi Fantasia dalam program Marhaban Di Astro.

“Selain itu, Farah akan berlakon drama untuk stesen radio ERA dengan beberapa orang pelakon termasuk Farish Aziz. Farah sudah selesai menjalani penggambaran tele filem yang judul sementaranya ialah Popular dan dijangka disiarkan selepas raya nanti.

“Julai lalu, Farah baru balik dari Taiwan untuk penggambaran program Rasa Halal Orient musim kedua yang akan disiarkan pada bulan puasa di Astro Oasis. Insya-Allah, kalau jadi raya kelapan nanti Farah akan ke Hong Kong pula untuk sambungan penggambaran program yang sama,” kata Farah yang masih setia menanti kemunculan album keduanya.

Berbanding Aizat dan Nubhan, Farah sebelum ini bukanlah dalam kategori berbadan yang sangat besar tetapi dianggap tembam. Motivasi untuknya tampil kurus datang dari dalam diri sendiri apabila melihat gadis lain boleh berpakaian cantik dan pandai melawa.

“Di awalnya Farah selalu membuat senaman di gim sambil mendapat bimbingan jurulatih peribadi. Tapi kini di atas kesibukan, Farah tidak mampu mengikut jadual untuk ke gim. Apabila Farah lihat orang lain yang kurus dan cantik, Farah mula bagi kata semangat kepada diri sendiri untuk menjadi seperti mereka. Sebagai contohnya, macam Farah tengok Rosma, dia boleh kurus sebab rajin buat senaman.

“Apa yang Farah nak tekankan kalau nak kurus sekalipun biarlah dalam keadaan sihat. Jangan paksa diri untuk berlapar takut memakan diri pula nanti. Sekarang ini, Farah belasah makan apa yang rasa teringin. Farah cuma jaga soal minuman saja dan jarang makan pada waktu malam,” kata Farah yang kini mempunyai berat badan ideal sebanyak 47 kg.


Tak dilayan kerana gemuk


AIZAT, 19, pula semakin meledak apabila lagu Hanya Kau Yang Mampu semakin menjadi perhatian dan siulan ramai. Aizat kini juga dalam perancangan untuk menghasilkan pembungkusan semula album sulungnya, Percubaan Pertama.

Kata Aizat, atas sebab tidak dapat menyertai pencalonan Anugerah Industri Muzik, Aizat ingin mencukupkan syarat dengan menambah dua lagi lagu. Ramadan ini selain mendapat undangan membuat persembahan di majlis berbuka puasa, Aizat akan cuba memastikan masanya bersama keluarga tetap ada.

“Insya-Allah kalau jadi, Aizat akan menyanyikan lagu tema untuk sebuah drama bagi slot Lagenda di TV3. Aizat juga sudah merakamkan dua lagu runut bunyi bagi filem Talentime arahan Yasmin Ahmad. Judul-judul lagu itu ialah I Go dan Just One Boys ciptaan sepenuhnya Pete Teo.

“Pada masa yang sama Aizat sudah mula belajar di ICOM, Setapak mulai 8 Ogos lalu. Aizat ambil bidang pra asas muzik,” kata Aizat yang berjaya mengurangkan berat badannya daripada 113 kg menjadi 78 kg.

Bulan puasa ini menjadi medan terbaik untuk mengurangkan berat badan tetapi perlu kena pada caranya, hal itu diakui sendiri Aizat. Tanpa berselindung, Aizat memberitahu dia pernah tidak dilayan, berdepan dengan diskriminasi yang tidak pernah dipinta.

“Pada kebiasaannya, saya akan berbuka dengan sekadar kurma, air kosong dan sembahyang maghrib. Selepas sembahyang, baru saya ambil makanan dalam kuantiti berat. Sebaik-baiknya selepas bersahur jangan tidur balik.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah rasa terpinggir sewaktu berbadan besar, kadang-kadang orang nak pandang sebelah mata pun tak ingin. Biarpun sudah kurus, saya rasa macam sama saja dan saya menghargai diri saya seadanya.

“Seboleh-bolehnya saya mahu penggemar muzik memberi fokus kepada lagu nyanyian saya berbanding soal wajah dan saiz saya kini. Jika dipuji yang positif, siapalah yang tak mahu. Itu satu nilai tambah untuk saya dan bagus untuk stamina saya di atas pentas termasuk aspek vokal,” ungkap Aizat.



Berat badan pernah cecah 100kg

MUNGKIN ada yang tidak sedar sebenarnya Nubhan, 22, pernah berbadan gempal hingga mencecah berat badan, 100 kg. Tapi kini, Nubhan sudah memiliki berat badan sebanyak 70 kg. Itu satu pencapaian hebat buat dirinya. Akui Nubhan, peluang berada jauh daripada keluarga kerana menuntut ilmu menjadi satu ruang untuk dirinya mengurangkan berat badan.

“Dua tahun saya belajar dalam sijil pelancongan dan duduk menyewa rumah di Ulu Selangor. Nak makan pun tak kedai jauh daripada rumah sewa. Jadi saya manfaatkan peluang ini untuk membuang lemak yang ada di badan. Bayangkan kalau saya ada di rumah, saya boleh melantak makan nasi sehingga lima kali. Tambah pula kalau ada masakan tempoyak, saya boleh jadi gila hingga tak ingat dunia.

“Cuma satu saja jangan tiru amalan saya apabila saya diet secara tidak seimbang dengan hanya memakan sayur saja, rambut saya mula gugur. Tapi kini, saya sudah mula mengambil makanan berkhasiat dan stabil. Saya tidak lagi pelahap seperti dulu,” kata Nubhan yang cukup meledak dengan lagu Ada Untukmu.

Kerjaya seninya kini semakin memuncak, apatah lagi sudah mula menyertai syarikat Ning Baizura, Artistes United Records selama tiga tahun. Kes Nubhan lebih kurang Dafi yang menyertai KRU Music biarpun masih di bawah naungan Maestro. Bulan Ramadan ini insya-Allah, Nubhan mula sibuk membikin album sulungnya.

“Saya bertuah dapat rezeki dilamar Ning Baizura kerana ini satu peluang untuk saya terus melangkah lebih jauh. Saya juga bersyukur lagu single, Ada Untukmu juga memberi impak yang cukup baik untuk saya memulakan pacuan seni. Lagu itu diiringi dengan lirik yang cukup puitis dan saya rasa amat senang dapat melantunkan lagu itu. Selain itu, saya juga terbabit mengalih suara satu watak untuk filem Teenage Mutant Ninja Turtles,” kata Nubhan yang mengatakan puasa adalah satu terapi terbaik untuk mengawal nafsu makan dan sebagainya.


Profil Farah AF2

* Nama sebenar: Farah Diana Anuar
* Nama komersial: Farah
* Umur: 23 tahun
* Tarikh lahir: 25 Januari 1985
* Tempat lahir: Kuala Lumpur
* Bilangan adik beradik: Anak ketiga daripada enam beradik
* Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk
* Album: Antara Dua dan 9 Langkah (belum lagi muncul)
* Drama: Akademi
* Filem: Man Laksa
* Pencapaian: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH05
* Laman web: www.farahfanclub.com
* Tagline di AF2: Breep breep
* Mekap Farah: E’sham (012-2869864)



Profil Aizat AF5

* Nama sebenar: Muhammad Aizat Amdan
* Nama komersial: Aizat
* Asal: Kuala Lumpur
* Umur: 19 Tahun
* Tarikh Lahir: 21 Januari 1989
* Kerjaya: Penyanyi & komposer
* Album: Percubaan Pertama
* Tagline di AF5: Kasi gegar
* Emel: run10_absolution@hotmail.com



Profil Nubhan AF6

* Nama sebenar: Ahmad Nubhan Ahamad
* Nama komersial: Nubhan
* Tarikh lahir: 2 April 1986
* Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
* Umur: 22 tahun
* Pencapaian: Tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam
* Emel: nubhanc@yahoo.com.my
* Tagline di AF6: Cayalah
* Laman web: www.cayalahnubies.com


Dipetik dari Berita Harian

5 comments:

Anonymous said...

eh! kita org pertama la komen. best2.
jap2, 100 kg? wakakaka...x pela, besar ke kecil, gemuk ke kurus, tinggi ke pendek, tetap sokong nubhan! oke! nak jadi nubies tegar gak! hehe...
(bestnya org pertama komen.. keh3)

Unie Selfiani said...

suka tengok pics nubhan..macam budak nakal..
Selamat Berpuasa juga buat Nubhan...

Unie Selfiani said...

suka dengan back ground muzik...

TokSky said...

Nubhan, if you are reading this, CONGRATULATIONS for walking at the right path. Keep going on the right track. I've always believe in your talent right from beginning.GOOD LUCK.

Anonymous said...

Emph.. X terlambat rasanyer nak wish Slamat Berpose utk ko Nubh...semoga terus sukses..raye neh buat la umah terbuka..mau jammed Juasseh...hehee.. Slamat Hari Rya DIk.. (Kak Min)