Wednesday, July 30, 2008

Nasihat buat Nubhan




PAPA hanya menggelengkan kepala sahaja apabila kawan Papa yang bermata redup tetapi bermulut bisa menyampaikan kisah ini yang berlaku di depan matanya.

Ceritanya tidaklah panas mana pun. Cuma dia pelik dan jelik melihat gelagat pemenang tempat ketiga AF6, Nubhan sewaktu majlis pelancaran kelab peminatnya baru-baru ini.

Bayangkan, sewaktu sidang media yang dihadiri oleh wartawan-wartawan media cetak dan elektronik, Nubhan dilihat seperti tidak fokus.

Manakan tidak. Apabila ternampak kelibat orang yang dikenali berlalu pergi, Nubhan siap mengangkat tangan.

Malah, sesiapa sahaja yang lalu di hadapannya juga akan ditegurnya.

Papa faham sangat, Nubhan mungkin mempunyai niat yang baik dan elok.

Namun, pada masa yang sama, Nubhan harus faham kerana majlis sidang media itu berlangsung, media elektronik sedang melakukan rakaman.

Jadi, kalau Nubhan buat begitu, bukankah susah mereka nak buat suntingan untuk berita nanti?

Dalam hal ini, sekali lagi Papa tidak mahu menyalahkan Nubhan kerana mungkin sudah menjadi sikap mesra penyanyi comel itu.

Papa percaya teman baik Papa, Vernon Kedit akan mengambil perhatian berhubung hal ini dan akan terus membimbing Nubhan menjadi seorang artis yang profesional dan berkarisma seperti mana Vernon membantu memasyhurkan penghibur Ning Baizura sehingga ke mercu kejayaan.

Apa apa pun, tahniah kepada Nubhan kerana lagunya, Ada Untukmu meletup sekarang ini.


Dipetik dari Utusan Malaysia

Monday, July 28, 2008

Anjakan terbaru Nubhan

Oleh AMIRUL ANNUAR ABIDIN

NUBHAN kini kian gigih menempa nama.



UNTUK menempa nama dalam industri hiburan yang penuh dengan pelbagai cabaran ini bukan sesuatu yang mudah.

Pelbagai perkara perlu dikorbankan dan dititikberatkan demi tuntutan keadaan yang senantiasa ada kalanya berada di luar kotak pemikiran.

Hakikat tersebut sememangnya diakui oleh pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6, Ahmad Nubhan Ahamad yang kini semakin laris bak pisang goreng panas walaupun tidak menjadi juara dalam program realiti kegemaran ramai itu.

Biarpun baru setahun jagung bergelumang dalam industri seni, anak jati Negeri Sembilan ini pantas disunting oleh Artistes United Records (AUR) milik pelantun soprano popular, Ning Baizura selaku pengarah yang turut menempatkan dua anak didiknya sebelum ini iaitu Nikki dan Yanie.

Bakal melalui satu fasa pengurusan yang baru, Nubhan kini tidak menoleh ke belakang lagi dengan termeterainya kontrak 3 tahun melalui kolaborasi antara (AUR) bersama Maestro Talent and Management Sdn Bhd (Maestro).

Ketika ditanya dengan kredibilti Ning sebagai pelantun bertaraf diva apakah tidak memberikan tekanan kepada dirinya, Nubhan menjelaskan, bahawa untuk melakukan sesuatu perkara pada permulaannya bukan mudah.

Semuanya bermula daripada pihak Maestro.

“Bagi saya, bukan senang untuk memulakan sesuatu perkara yang tanpa usaha, kerana itu saya menjadikan peluang keemasan ini sebagai platform untuk saya melakukan yang terbaik.

“Dimarahi itu adalah perkara biasa, tidak salah jika saya kata itu adalah adat yang perlu dilalui oleh bakat baru seperti saya,” jelas Nubhan ketika diminta mengulas mengenai disiplin dan pengalaman baru yang dilaluinya bersama pengursan AUR.

Rancak meneruskan bicara, Nubhan berkata, dia kini giat menjalankan sesi latihan vokal dan pihak AUR juga katanya, turut memberi tumpuan kepada imej yang lebih bersesuaian dengan jejaka berusia 22 tahun ini.

“Sekarang ini saya sudah mula menjalani latihan vokal demi untuk memantapkan lagi persembahan.

“Untuk album pula masih lagi dalam perancangan dan saya semestinya saya akan menumpukan latihan dari segi vokal bagi menghasilkan nada suara yang lebih baik,” kata Nubhan ketika ditemui dalam sesi majlis sepetang bersama Nubhan di Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Penubuhan kelab peminat

Bercerita pula tentang penubuhan kelab peminat, kata Nubhan, Objektifnya adalah untuk para peminat memberikan sokongan kepada dirinya dan menjalinkan hubungan dengan lebih Hadir sama di majlis mesra bersama peminat.

“Alhamdulillah, macam kelab-kelab peminat yang lain, ditubuhkan adalah untuk memberi semangat dan sokongan kepada artis itu,” jelasnya lagi.

Ketika ditanya tentang tema warna oren yang digunakan dalam kelab peminatnya yang sebelum ini turut digunakan oleh rakan senior seperjuangannya Zahid, apakah nanti Nubhan tidak takut akan dituduh menjadi peniru warna tema yang telah digunakan oleh Zahid.

“Bercakap tentang warna oren ini, saya rasa, suka warna oren kerana itulah saya memilih oren sebagai warna tema untuk kelab peminat saya,” kata Nubhan.


Dipetik dari Utusan Malaysia

Sunday, July 27, 2008

Kelab peminat Nubhan kacau bilau




Selepas pelancaran kelab peminat Nubhan (Nubhan FC) yang diadakan pada 19 Julai lalu di restoran Bora Ombak, Ampang, macam-macam SMS yang Niezam terima.

Ada di antara SMS yang mendakwa mereka tak puas hati dengan ahli jawatankuasa yang dilantik dalam kelab peminat tu.

Lepas tu pula ada orang kata majlis tersebut jadi kelam kabut apabila sebahagian ahli-ahli kelab tidak dilayan dengan baik.

Bukan itu saja, ada pula yang buat cerita kononnya mereka yang menganggotai jawatan kuasa berkenaan terdiri daripada kroni-kroni pihak tertentu.

Hai... apa nak jadi dengan kelab peminat ni Niezam pun tak tahu. Baru nak tubuhkan kelab dah macam-macam kacau bilau berlaku.

“Bukan itu saja bang, ada juga ahli jawatankuasa kelab itu orang yang belajar di seberang laut. Kalau belajar kat luar negara, macam mana nak jaga kelab peminat?

“Saya pun pelik apa la nak jadi dengan Nubhan FC ni. Belum apa-apa lagi dah jadi huru hara,’’ kata seorang ahli kelab.

Khabarnya dek kerana peristiwa itu, kelab peminat Nubhan sekarang dan terpecah dua. Yang menyokong dan yang memberontak. Hairannya bila ada artis keluar AF saja, berebut-rebut orang nak buat kelab peminat.

Setakat ini kalau nak dikira dah berpuluh-puluh kelab peminat artis yang ditubuhkan tapi setakat hangat-hangat dan busuk tahi ayam saja.

Apa yang hebat sangat kelab peminat ni pun tak tahulah? Harap-harap mereka yang nak tubuhkan kelab peminat tu buatlah betul-betul.

NIEZAM: Nak tubuh kelab bujang terlajak.


Dipetik dari Pancaindera




Penjelasan Presiden

Assalamualaikum.

Terlebih dahulu far mohon maaf dengan semua Nubies yang mungkin keliru dengan hal ini. Far faham, mungkin ini hanyalah sedikit salah faham yang timbul. Far harap semua Nubies bertenang dan dengarkan penjelasan dari far sendiri ya.


"Ada di antara SMS yang mendakwa mereka tak puas hati dengan ahli jawatankuasa yang dilantik dalam kelab peminat tu"

- Perlantikan dibuat oleh Nubhan atas nasihat dari penasihat2. Far yakin Nubhan dan penasihat sudah memikirkan secara mendalam tentang hal ini dan perlantikan tidak dibuat sambil lewa oleh mereka. Far mohon semua Nubies supaya sentiasa berdiri di belakang Nubhan kerana tujuan kelab ini ditubuhkan adalah untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Nubhan.


"Lepas tu pula ada orang kata majlis tersebut jadi kelam kabut apabila sebahagian ahli-ahli kelab tidak dilayan dengan baik"

- Far ingin meminta maaf pada Nubies ini yang mungkin merasakan gathering yang dianjurkan tidaklah seperti yang diharapkan. Kalau ada kekurangan,tak cukup makan, tak dilayan dengan baik dan sebagainya,far mewakili AJK dengan seikhlas dan serendah hati benar-benar mohon maaf. Walaubagaimanapun, kami sudah membuka thread (dengan pertolongan eddy) untuk Nubies meluahkan pendapat,meninggalkan komen tentang perjalanan gathering. Yang baik mahupun yang buruk, kami terima dengan hati terbuka dan post mortem dah pun dijalankan. Penyelesaian kepada komen2 yang ditinggalkan sudah pun dicari dan dibentang oleh Ucu dlm laporan mesyuarat yg dibentangkan. Nubies boleh rujuk dalam thread Laporan Aktiviti.


"Bukan itu saja, ada pula yang buat cerita kononnya mereka yang menganggotai jawatan kuasa berkenaan terdiri daripada kroni-kroni pihak tertentu"

- Ingin far tegaskan di sini tidak wujud kroni2 dalam AJK Nubhan FC. AJK2 yang ada sebelum ini pun tidak mengenali antara satu sama lain tetapi boleh berbaik dan menjadi sebahagian keluarga Nubies demi Nubhan. Bukan sahaja di dalam AJK, di kalangan ahli Nubies sendiri pun far tidak merasakan wujudnya kroni2. Mungkin ya,semasa gathering ada pihak yang merasakan setiap Nubies ada gang nye sendiri tapi itu pada far lebih kepada kerana kita masih belum mengenal sesama sendiri. Insya-Allah dlm post mortem yang dibuat oleh AJK, kami ada merancang untuk mengadakan sesi berkenalan dan ice breaking sesama Nubies. Sekiranya Nubies merasakan wujud jurang antara Nubies dan AJK, jangan khuatir kerana pihak AJK ada bercadang untuk mengadakan sesi ramah mesra AJK bersama Nubies.Far harap Nubies boleh bersabar dan menunggu bilakah pengumuman berkenaan hal itu akan disebarkan. Like I always said, after all Nubies ARE ONE FAMILY. Tiada jurang,kroni maupun kumpulan2 tertentu.Marilah kita bersatu secara kuat DEMI Nubhan,dan bukan kerana perkara lain.


"Bukan itu saja bang, ada juga ahli jawatankuasa kelab itu orang yang belajar di seberang laut. Kalau belajar kat luar negara, macam mana nak jaga kelab peminat?"

- Far akui perkara ini terkena pada batang hidung far sendiri. Ya,mmg far belajar di luar negara tetapi far sudah pun balik for good di Malaysia dan bakal bekerja bermula 1 Ogos ini.Far sendiri hadir pada majlis gathering tu dan ada bersama-sama AJK lain semasa perlantikan dibuat. Mmg benar ada seorang lagi AJK Nubhan FC yang berada di luar negara. Nadiya Akmal (atau yaya) yang kini berada di US.Bagaimana seorang yang berada di luar negara boleh dilantik menjadi AJK?Yaya dilantik menjadi AJK ONLINE kerana disebabkan zone masa di US yang berlainan dengan Malaysia, Yaya boleh monitor website dari jauh.Ketika orang Malaysia sedang nyenyak tidur, yaya berjaga dan memerhatikan website. Tambahan pula, AJK online hanyalah melibatkan kerja2 online dan website Nubhan FC. Selagi ada internet connection, yaya mampu menjalankan tugasnya sebagai AJK. Meeting2 dalam conference di yahoo messenger selalu dihadiri oleh yaya tanpa gagal. Beliau juga sanggup bersengkang mata untuk bersama-sama dengan AJK lain dan berbincang perihal kelab apabila ada meeting secara online. Ini juga sudah menunjukkan betapa yaya komited dlm tugasnya untuk kelab.Jadi far harap Nubies lain dapatlah bersama-sama meneruskan sokongan kepada AJK, kelab dan Nubhan.


"Saya pun pelik apa la nak jadi dengan Nubhan FC ni. Belum apa-apa lagi dah jadi huru hara"

- Huru hara? Far rasa kita sentiasa aman damai di sini.


"Khabarnya dek kerana peristiwa itu, kelab peminat Nubhan sekarang dan terpecah dua. Yang menyokong dan yang memberontak"

- Alhamdulillah..setakat yang far nampak dalam forumotion,semuanya menyokong kelab dan AJK.Tidak wujud persengkataan atau apa2 yang kurang enak dalam kelab pada ms ni.Mungkin wujud sebahagian kecil yang kurang berpuas hati namun apa yg far boleh sarankan,marilah berdepan dengan kami.Kami semua open minded,terbuka dan boleh menerima kritikan dan teguran.Menggunakan media untuk meluahkan rasa tidak puas hati akan memberi kesan buruk kepada nama Nubhan. Kita semua mahu menyokong Nubhan dari belakang dan perkara berkaitan hal kelab boleh diselesaikan secara baik dengan pentadbiran kelab.Kami sentiasa berlapang dada dan mana2 Nubies selepas ini yang ingin menyuarakan rasa tidak puas hati,bolehlah berbuat demikian dan bersemuka dengan AJK.Jika tidak mahu berdepan, kotak email dan private messages kami sentiasa dibuka.



Far harap penjelasan far ini dapat menjernihkan keadaan dan menjelaskan segala kekeliruan yang ada. Perkara seperti ini kurang sihat sebenarnya kerana ini boleh menjejaskan nama Nubhan yang baru saja mahu memulakan langkah sebagai anak seni. Far yakin kita semua sayangkan Nubhan dan mahu Nubhan berjaya. Sokongan yang padu daripada peminat amat penting buat Nubhan jadi far memohon pertolongan semua Nubies supaya sentiasalah berdiri di belakang Nubhan dan memberi sokongan kepada pentadbiran kelab. Jika timbul rasa kurang senang dengan pentadbiran kelab, far alu-alukan sangat anda semua luahkan supaya AJK dapat improve di masa akan datang. Mmg kami masih baru, masih hijau dan banyak benda yang harus dipelajari tetapi insya-Allah selagi kami masih bertanggungjawab terhadap kelab,kami akan membuat yang terbaik untuk kelab,untuk Nubies dan untuk Nubhan.


Ikhlas,
farfar

Presiden Nubhan FC.




Nubhan & Toi macam abang, adik




Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


BIARPUN penampilan Nubhan lebih menonjol dan menjadi perhatian, tidak sedikitpun terdetik di hati Toi untuk menyimpan perasaan cemburu atas kejayaan rakannya itu. Malah, Toi sentiasa menjadi abang yang memberi tunjuk ajar kepada adiknya.

Antara Toi dan Nubhan, mereka bagaikan adik beradik. Bukan saja tinggal sebumbung, malah sama-sama mengharungi suka duka bergelar anak seni. Toi bukan saja kawan baik, malah menjadi abang dan teman setia yang sentiasa bersama Nubhan.

Mungkin nasib Toi tidak sebaik Nubhan yang kini disambar Artistes United Records (AUR) milik penyanyi terkenal, Ning Baizura sejurus keluar Akademi Fantasia (AF). Namun, Toi punya keistimewaan tersendiri, selain bergelar pemain angklung bertaraf dunia, bapa kepada dua cahaya mata itu sudah lama berkecimpung dalam arena dunia hiburan.

Bagi Nubhan, Toi bukan saja kawan baik, malah abang dan teman yang setia mendengar apa saja masalah yang membelenggu dirinya. Mereka saling memahami malah membuatkan persahabatan mereka lebih ikhlas, Toi tidak sedikitpun menyimpan perasaan iri hati terhadapnya.

Akui Nubhan, bukan mudah mendapat kawan baik seperti Toi yang sentiasa positif dengan setiap apa dilakukan. Toi juga banyak memberi tunjuk ajar memandangkan pengalamannya dalam bidang seni lebih meluas dan lama.

“Toi seorang happy go lucky dan pembersih. Dia bagaikan abang yang sentiasa menasihati saya. Jika ada masalah, saya senang meluahkan padanya kerana Toi seorang yang sering melihat sesuatu masalah dari sudut positif, bukannya menambah kekusutan. Saya bersyukur bertemu Toi. Saya akui bukan semua kawan boleh berkongsi apa saja dengan saya, ada antaranya lebih suka melihat kegagalan daripada kejayaan diperoleh. Jadi, dalam berkawan, saya sentiasa berhati-hati kerana rambut sama hitam tetapi hati lain-lain,” katanya.


Nubhan banyak berubah

Nubhan akui dirinya terkejut dengan senario yang berlaku selepas keluar AF. Walaupun sudah diberitahu tenaga pengajar, tetapi suasana yang dihadapi tidak pernah dijangka.

“Hidup saya banyak berubah. Bukanlah terkena badi kejutan budaya tetapi apa yang saya lalui hari ini tidak pernah saya duga sama sekali. Sebelum ini, saya bebas ke mana saja dan gaya pun ala kadar, tetapi bergelar penyanyi banyak merubah hidup saya.

“Selain kena jaga penampilan, saya juga kena jaga hati peminat. Kini, apa pun saya lakukan dipandang peminat, jika mula keluar AF dulu, setiap langkah saya pasti terhenti apabila ada saja peminat mengejar dan mahu ambil gambar,” katanya yang juga anak bekas imam masjid di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Bagi Toi pula, tiada istilah kejutan budaya pada dirinya memandangkan bukan setahun dua bergelumang dalam dunia hiburan. Sebelum menyertai AF6, Toi pernah menjelajah dunia dan dua kali diiktiraf sebagai pemain angklung terbaik dunia. Dia mula berjinak dalam dunia muzik tradisional dan moden sejak berusia lapan tahun lagi.

“Saya mungkin agak ketinggalan jika dibandingkan Nubhan. Dia lebih menonjol dan popular. Mungkin faktor usia dan sudah berumah tangga membuatkan peminat lebih memilihnya tetapi itu rezeki Nubhan. Saya juga ada cara yang tersendiri untuk menambat peminat saya. Tidak pernah terlintas di hati untuk iri hati dengan kejayaan Nubhan, malah saya akan terus menyokong dan memberi semangat kepadanya. Saya senang bersama Nubhan, dia seorang yang mendengar kata dan selalu berbincang untuk melakukan sesuatu.

“Saya mula berjinak-jinak dalam dunia muzik ketika berusia 13 tahun lagi. Ketika itu, saya sering mengikut kawan jamming di studio dan belajar menyanyi dan bermain alatan muzik seperti dram dan gitar. Selepas selesai persekolahan, saya mula bermain angklung. Saya belajar sendiri dengan mendengar sesebuah lagu dan gerak hati.

“Sejak pandai bermain angklung, saya aktif melakukan persembahan bersama Kumpulan Seni Budaya Johor hinggalah dibawa menjelajah dunia dengan kemahiran diberikan ini. Jika tiada persembahan budaya, saya akan kembali bermain muzik di kelab malam tetapi nasib saya berubah selepas menyertai AF6,” katanya.


Dipetik dari Bintang Popular

Wednesday, July 23, 2008

Ning ‘pikat’ Nubhan

Oleh Rudy Imran Shamsudin
Harian Metro


Bakat dimiliki bintang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu sudah diperhatikan Ning sebaik konsert minggu pertama AF6 yang berlangsung akhir Mac lalu.

Ning punya kelebihan menilai potensi dimiliki penyanyi yang sedang popular dengan single Ada Untukmu itu apabila menjadi pengkritik tetap sepanjang konsert program realiti itu dijalankan.

Ditemui di majlis menandatangani kontrak antara AUR dan syarikat pengurusan Maestro Talent and Management yang diadakan baru-baru ini, jelas Ning pihaknya berminat melamar Nubhan kerana berasakan bintang muda itu mampu pergi jauh dengan vokal dimiliki.

“Malah hampir semua orang dalam industri muzik tempatan apabila saya tanya siapakah bakat muda dalam AF6 dilihat paling menonjol dan mampu pergi jauh. Rata-rata berkata Nubhan. Mendengarkan maklum balas itu membuatkan keinginan AUR melamar Nubhan semakin kuat,” katanya.

Proses untuk menandatangani perjanjian bersama syarikat pengurusan Nubhan turut mengambil masa kerana ke dua-dua belah pihak harus meneliti kontrak demi kebaikan artis yang dijaga.

“Secara asasnya perjanjian dibuat sama dengan apa yang pernah dilakukan Maestro Talent & Management atau KRU Records sebelum ini, di mana pengurusan dilakukan ke dua-dua belah pihak.

“Setiap bayaran persembahan diterima, sebagai artis Nubhan memperoleh 70 peratus sementara AUR dan Meastro akan berkongsi bakinya. Sementara tawaran yang diterima Nubhan sebagai jurucakap produk, bayaran 50 peratus akan diberikan kepada artis selebihnya akan dikongsi kedua-dua syarikat,” katanya.

Lebih menggembirakan Nubhan apabila perjanjian dilakukan di hadapan kedua ibu bapanya Ahmad Abdul Rahman dan Badariah Omar.

Menjelaskan mengenai usahasama dijalinkan, Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez berkata kontrak yang dimeterai selama tiga tahun itu akan memberi manfaat kepada Nubhan.

“Kepakaran dan pengalaman yang dimiliki AUR dan di gabung puladengan pengalaman pihak Maestro, kami percaya kolaborasi ini mampu mencetuskan sesuatu yang positif.

“Ini bukan kali pertama Maestro bergabung tenaga dengan syarikat rakaman lain dalam usaha mengembang dan mempertingkatkan lagi bakat yang ada. Maestro turut mengalu-alukan usaha sama begini dengan mana-mana pihak yang sudi melamar artis naungan kami.

“Menyentuh mengenai perancangan kerjaya seni Nubhan, segalanya akan dilakukan bersama termasuk pembikinan album juga penampilan imej. Buat permulaan saya menggalakkan agar kami menghasilkan beberapa single. Mengikut perancangan kos untuk pembikinan album akan dibiaya sama rata,” katanya.

Bapa Nubhan, Ahmad Abdul Rahman mengharapkan perjanjian yang dimeterai akan membawa kebaikan untuk kerjaya seni anaknya.

“Saya percaya dengan Ning dan syarikat rakamannya kerana mereka mempunyai pengalaman luas dalam dunia nyanyian. Kalau ikutkan hati saya tidak benarkan dia menceburi bidang seni kerana bimbang dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

“Sebagai bapa secara jujur saya tidak tahu yang Nubhan suka menyanyi. Malah tidak pernah saya mendengar dia menyanyi sehinggakan konsert minggu pertama AF6. Tetapi tidak mengapalah dia lelaki, tapi kalau anak perempuan memang saya tidak benarkan.

“Saya yakin kerjasama dibuat membolehkan perhatian lebih diberikan kepada Nubhan di samping mengawal segala gerak gerinya. Sebagai bapadan ibunya kami mendoakan segala yang baik untuknya,” katanya.


Dipetik dari Harian Metro

Sunday, July 20, 2008

SEBELUM DAN SELEPAS


MALAM SEBELUM MAJLIS.

Persiapan dan briefing di hotel De Palma bersama AJK.






SELEPAS MAJLIS.

Makan malam bersama Majlis Tertinggi, bakal VINs dan Tetamu Khas Kak Liza Penasihat RizFC (baju biru).






(semua gambar hakmilik mamapip/cutiepie)


Ada lagi gambar gambar menarik di blog Kak Liza.

Saturday, July 19, 2008

MAJLIS TERTINGGI PENTADBIRAN NUBHAN FC


Perlantikan telah diumumkan oleh Nubhan petang tadi, dan Majlis ini berkuatkuasa untuk selama setahun dari sekarang.


Penaung : YBhg Datuk Khalid Yunus


Penasihat I : Encik Vernon Kedit-Jolly
Penasihat II : Puan Fatimah Abu Bakar
Penasihat III : Cik Genervie Kam
Penasihat IV : Encik Mohd Shari Radiman


Presiden : Cik Farah Nawar Mohd Ishak (farfar)

Naib Presiden: Puan Nor Ashikin Jamaludin (mamapip/cutiepie)

Setiausaha : Cik Salihah Ideris (ucu)

Naib Setiausaha : Cik Noor Fadhila Zulkarnain (dyla)

Bendahari : Puan Rozalina Zainal Abidin (deng)

Naib Bendahari : Cik Haszarinah Hashim (zar)

Ahli Jawatankuasa : Encik Mohd. Azlan Zamri (lan)

Ahli Jawatankuasa : Cik Noorsalizawaty Nordin (waty)

Ahli Jawatankuasa : Cik Nur Athirah Abdul Rahman (tira)

Ahli Jawatankuasa : Cik Rohaila Basir (ella)

Ahli Jawatankuasa Wakil Brunei : Encik Mohd. Hairol Hasmi Karim (jymz/ninilaki/jim)

Ahli Jawatankuasa Online : Cik Anis Hayati Azmi (anis)

Ahli Jawatankuasa Online : Puan Fazilah Amir (luckystar)

Ahli Jawatankuasa Online : Cik Nadiya Akmal Baharum (irie_nad/yaya)

Pemerhati Wakil Keluarga : Cik Ruzilawati Baharin (ruzi)



Makan malam bersama AJK dan VIN di Warung Tom Yam Wak di Ampang Point.



VIN = Very Important Nubie

Friday, July 18, 2008

Rakaman AC DI SINI untuk tayangan pada Jumaat 25 Julai






Nubhan milik Ning 3 tahun


Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

ANAK DIDIK: Ning mengusik Nubhan yang menjadi artis ketiga syarikat rakamannya, Artistes United Records.

Bintang Akademi Fantasia itu menganggap kerjasama itu bagai bulan jatuh ke riba

PERTAMA kali mendengar suara jejaka berusia 22 tahun ini, naluri penyanyi bersuara soprano Ning Baizura kuat menyatakan dia mempunyai bakat besar untuk diketengahkan sebagai penyanyi pelapis lelaki di negara ini.

Gemersik alunan serta memiliki nada yang berbeza dengan apa yang pernah didengarnya sebelum ini membuatkan Ning tidak teragak-agak untuk melamar pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan untuk menjadi artis ketiga bernaung di bawah syarikat rakamannya, Artistes United Records (AUR) selepas Nikki dan Yanie.

“Nubhan bukan saja mempunyai vokal yang bagus tetapi juga mempunyai latar belakang keluarga yang baik-baik. Pendek kata dia hadir bersama pakej iaitu pelengkap untuknya menjadi seorang artis yang diminati.

“Insya-Allah, kami akan cuba untuk menggilap bakatnya supaya boleh diketengahkan sebagai penyanyi lelaki yang hebat memandangkan industri ketika ini ketandusan penyanyi lelaki berbakat besar,,” ujar Ning yang juga Pengarah AUR pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat pengurusan Nubhan, Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro) di Bukit Damansara, Kuala Lumpur kelmarin.

Dalam perjanjian itu, Nubhan akan mengikat kontrak bersama AUR selama tiga tahun. Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez serta ibu bapa Nubhan, Ahamad Abdul Rahman dan Badariah Omar serta ahli keluarga lain.

RASMI: Nubhan menandatangani kontrak di samping Vernon, Freddie dan Ning Baizura.

Sebagai langkah awal, Ning berkata pihaknya sudah merancang pelbagai strategi untuk anak didiknya itu sebelum dia betul-betul bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang artis.

“Terus-terang saya katakan persediaannya untuk bergelar artis baru lima peratus. Masih banyak lagi yang perlu dia pelajari. Jadi kami akan peram dia selama dua hingga tiga bulan untuk dia berlatih terutama dari segi vokal, komunikasi serta membina keyakinan diri apabila berdepan dengan peminat kerana itu adalah perkara asas untuk bergelar penyanyi.

“Mengenai konsep album yang akan dirakamkan, kita akan tengok mana yang sesuai.Kalau ikutkan tuan punya diri, dia lebih menggemari irama Pop Rock. Dari segi imej pula, kami mahu bentuk dia sebagai penyanyi remaja yang nampak segar,” jelas si pelantun Awan Yang Terpilu ini.

Bagaimanapun, Ning menjelaskan walaupun Nubhan adalah artis naungan mereka namun dari segi pengurusan, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini masih tertakluk di bawah penjagaan Maestro.

“Ini adalah perkongsian bijak antara AUR dan Maestro dan bermakna semua urusan membabitkan Nubhan perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak. Begitu juga dengan soal keuntungan, prosedurnya tetap sama dengan apa yang diamalkan Maestro sebelum ini.

“Sebagai contoh, dalam menghasilkan single untuk Nubhan kami akan bergilir-gilir menerbitkannya. Mungkin untuk single kedua nanti selepas Aku Ada Untukmu, AUR yang akan terbitkan. Begitu juga dengan penghasilan album solonya di mana kami akan bekerjasama dengan Maestro untuk menerbitkannya,” jelas Ning sambil dipersetujui Freddie di sebelahnya.

Sementara itu, Nubhan ketika mengulas penyertaannya sebagai keluarga baru AUR menyifatkan tawaran itu ibarat bulan jatuh ke riba buatnya.

“Rasa bersyukur dan bertuah sangat kerana ada pihak yang percaya dengan bakat Nubhan apatah lagi orang yang ingin membimbing Nubhan itu seorang artis seperti Kak Ning yang kita lihat sebagai antara artis yang berjaya sehingga ke hari ini.

“Nubhan pandang pada kejayaan yang dicapainya dan itulah meyakinkan Nubhan untuk bernaung di bawah syarikatnya. Nubhan harap dengan bantuan Kak Ning dan pengurusnya, Vernon, cita-cita Nubhan akan tercapai. Insya-Allah Nubhan akan berusaha gigih, lebih fokus serta buat yang terbaik,” janji Nubhan yang muncul di majlis perjanjian itu dengan imej ala penyanyi Hong Kong.


Dapat restu keluarga


DAPAT RESTU: Perjalanan karier seni Nubhan disokong keluarga terutama ayah dan ibu.

DOA yang dibaca dengan penuh khusyuk oleh ayahnya pada majlis menandatangani perjanjian itu membuktikan betapa keputusan Nubhan untuk menjadi anak seni direstui seluruh keluarganya.

Menurut Ahamad, walaupun hasrat Nubhan itu bukanlah sesuatu yang dicita-citakannya, namun melihat kepada kesungguhan anak bujangnya itu, sebagai bapa dia hanya mampu memberi sokongan dari jauh.

“Saya memang tak tahu dia boleh menyanyi dan tak tahu dari mana dia belajar menyanyi sehinggalah saya dengar suaranya sewaktu di AF dulu.

“Kalaulah itu minatnya, sebagai bapa hanya doa yang saya berikan supaya dia terus berjaya dalam bidang ini. Cuma apabila saya lihat dia semakin berjaya, timbul perasaan bimbang di dalam hati takut dia terbabas,”jelas Ahamad mengenai anak bongsunya itu.

Ditanya apakah reaksinya jika Nubhan terpalit dengan gosip yang boleh mencalarkan maruah, Ahamad lebih bersikap positif berhubung perkara itu.

“Bagi saya, gosip itu perkara biasa dan sebagai artis memang tidak boleh lari dari tempias gosip. Lagipun, saya percaya masyarakat hari ini lebih bijak menilai apa sebenarnya yang berlaku. Apa yang saya harapkan, Nubhan pandai menjaga diri supaya tidak terbabas dan terleka,” katanya yang menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Nubhan.


dipetik dari Berita Harian

Thursday, July 17, 2008

Sila undi!




Nubhan Disunting Jadi Artis AUR




Teks oleh Haswari Ali

KUALA LUMPUR, 17 JULAI 2008: Meskipun hanya memenangi tempat ketiga, finalis Akademi Fantasia 6, Ahmad Nubhan Ahamad, tetap laris dan kini disambar oleh Artistes United Records (AUR) untuk bergelar artis ketiga naungan syarikat itu.

AUR yang dimiliki penyanyi popular Ning Baizura sebagai pengarah dan pernah menempatkan 2 lagi penyanyi muda iaitu Yanie dan Nicky melalui kolaborasi bersama Maestro Talent and Management Sdn Bhd (Maestro).

Kontrak yang diikat selama 3 tahun itu dipersetujui antara dua belah pihak yang akan memberi manfaat kepada Nubhan dalam memperkembangkan lagi bakat seninya.

Ditemui ketika majlis sidang media sempena kolaborasi berkenaan di sini semalam, Ketua Pegawai Operasi (CEO) Maestro, Freddie Fernandez berkata, kolaborasi itu adalah kesinambungan daripada kejayaan kerjasama yang pernah dibuat ke atas 2 artis naungan mereka, Dafi dan Adam.

"Ini adalah satu lagi kerjasama seperti mana kolaborasi yang pernah kami jalankan bersama KRU di mana Dafi dan Adam berkongsi pengurusan bersama kami. Sekarang pula giliran Nubhan dan ia tidak banyak bezanya," kata Freddie kepada pihak media.

Sementara itu, Ning berkata, kolaborasi bijak itu memberi peluang kepada pihaknya untuk mencipta nama Nubhan sebaris dengan penyanyi lelaki tempatan sedia ada.

Katanya, suara gemersik Nubhan yang jarang ada pada kebanyakan penyanyi lelaki tanah air selain latar belakang keluarga penyanyi muda itu, menambat hatinya untuk mengambil Nubhan bernaung di bawah AUR.

"Sebenarnya sejak pertama kali mendengar Nubhan menyanyi di AF6 lagi, saya mula tertarik untuk mengambil Nubhan sebagai artis saya. Kami percaya dengan bakat Nubhan. Sudah lama di Malaysia kita tidak ada penyanyi bersuara gemersik yang mampu memberi saingan sengit kepada penyanyi tempatan, Indonesia mahupun Singapura.

"Insya-Allah apa yang kita usahakan akan berhasil. Bagaimanapun itu terpulang dengan kerjasama yang diberikan artis itu sendiri," kata Ning.

Jelas Ning, Nubhan mencipta sejarah tersendiri apabila bergelar penyanyi lelaki pertama syarikatnya itu dan oleh kerana itu pihaknya sudah menyusun strategi tersendiri untuk menjana perkembangan kerjaya nyanyian Nubhan dari semasa ke semasa.

"Banyak perancangan sudah dibuat untuk Nubhan, antaranya memperkenalkan single kedua dan seterusnya. Kita akan memantau pasaran industri muzik masa kini, apatah lagi sekarang ini pasaran lebih kepada muat turun dan ringtones. Jadi sudah tentu kami miliki strategi yang berbeza untuk Nubhan.

"Untuk 2 hingga 3 bulan pertama, kita akan groom Nubhan dari segi imej dan vokal. Juga latihan nyanyian tanpa henti buatnya. Pendek kata tumpuan akan kami berikan sepenuhnya kepada Nubhan, bukan setakat 50-50," katanya.

Sementara itu Freddie berkata, tidak akan wujud persepsi 'kurang sedap didengar' apabila seorang lagi artis Maestro dipilih oleh syarikat luar untuk menjalankan kolaborasi bijak itu.

Kata Freddie, kejayaan seseorang penyanyi datang daripada kedua-dua belah pihak dan Maestro dalam masa yang sama memikul tanggungjawab serupa dalam memastikan artis mereka kekal menjadi pilihan peminat.


dipetik dari murai.com.my

Nubhan jadi artis Ning




Oleh ROSLI MANAH Foto: SHARIFUL HAFIZAL

Semasa menjadi pengkritik tetap di Akademi Fantasia 6, Ning Baizura sering memuji suara pemenang tempat ketiga, Nubhan sebagai mempunyai tone yang baik serta tersendiri. Kekurangannya, Nubhan dilihat sentiasa gagal memberikan persembahan terbaik seterusnya tidak menonjolkan kelebihan yang ada padanya.

Kata-kata dan komen Ning itu bukanlah sekadar mahu menyedapkan komen dan merancakkan persembahan. Ning buktikan memang dia percaya dengan bakat dalam diri Nubhan. Ning melamar Nubhan untuk bernaung di bawah syarikat miliknya, Artiste United Records. Nubhan menjadi artis lelaki pertama di bawah Ning selepas Nikki dan Yanie.



Majlis menandatangani kontrak kerjasama di antara Maestro Records & Talents dan Artiste United Records diadakan pada 16 Julai 2008. Nubhan menjadi artis Ning untuk tempoh kontrak selama tiga tahun.

"Peluang menggilap bakat Nubhan ini sesuatu yang baru memandangkan Nubhan artis lelaki pertama syarikat kami. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menjadikan Nubhan seorang superstar.

"Kami percaya kepada Nubhan kerana dia mempunyai kelainan," kata Ning pasal remaja dari Negeri Sembilan itu.

Nubhan juga akan berusaha memperbaiki diri dan berharap kerjasama itu bakal melicinkan perjalanan seninya yang baru bermula. Siapa sangka, pengkritik yang selalu tidak puas hati dengan nyanyiannya kini menjadi bosnya pula.



Nubhan, 22, bukanlah artis pertama yang dilepaskan oleh Maestro kepada pihak ketiga. Sebelum ini mereka bekerjasama dengan KRU Records untuk menaungi Adam (AF2) dan Dafi (AF5).

"Kita lihat rekod baik syarikat Ning selama ini dan kita alu-alukan kerjasama untuk membuka peluang kepada artis-artis demi masa depan mereka yang lebih cerah.

"Dengan kepakaran dan pengalaman yanga ada pada Ning dan syarikatnya, digabung pula dengan pengalaman Maestro, kami percaya kerjasama ini mampu mencetuskan sesuatu yang sangat positif," kata Freddie Fernandez dari Maestro.


dipetik dari mangga online

Perlantikan AJK Nubhan FC


Assalamualaikum.

Adalah dengan ini dimaklumkan, perbincangan telah diadakan bersama dengan penasihat-penasihat Nubhan FC dan Nubhan berkenaan dengan pentadbiran dan perjalanan kelab Nubhan FC. Setelah diperbincangkan, kami memutuskan bahawa ahli jawatankuasa (AJK) untuk pentadbiran kelab Nubhan FC akan dilantik oleh Nubhan diatas nasihat penasihat-penasihat Nubhan FC iaitu Vernon Kedit-Jolly, Fatimah Abu Bakar dan Genervie Kam. Keputusan untuk melantik AJK ini telah diambil kerana kami berasakan Nubies yang bakal dilantik adalah di kalangan orang yang telah dikenali dan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Walaubagaimanapun, jawatan AJK di dalam pentadbiran kelab akan dibuka untuk dibawa bertanding oleh mana-mana individu yang berminat selepas jangka masa setahun. Jangka masa setahun yang diberikan kepada AJK yang dilantik adalah supaya kelab dapat berdiri dengan lebih kukuh sebelum mengaplikasikan sistem demokrasi pada tahun hadapan di mana AJK untuk kelab Nubhan FC akan dipilih oleh Nubies sendiri.

Senarai penuh AJK yang bakal dilantik untuk tahun ini akan diumumkan semasa majlis “Sepetang Bersama Nubhan” yang bakal diadakan pada 19 Julai 2008 ini. Semua Nubies dijemput hadir untuk memeriahkan acara dan sekaligus mengenali lebih dekat AJK-AJK yang akan bekerja untuk kelab.

Sekian terima kasih.

Nubhan

Thursday, July 10, 2008

Cikgu Ramli


Fatty Crab, Taman Mega, PJ



Wednesday, July 9, 2008